Kuliyyah Muslimah: Kehancuran Generasi Tanggungjawab Siapa?
Kuliyyah Muslimah yang bertajuk Kehancuran Generasi, Tanggungjawab Siapa bertempat di Khilafah Centre, Taman Sri Putra, Johor Bahru. Pengerusi majlis memulakan acara dengan ucapan alu-aluan kepada semua peserta yang dapat hadir. Seterusnya bacaan al-Quran diperdengarkan dan terjemahan daripada surah Al-Luqman ayat 12-16.
Ustazah Nurul Ilmi selaku penceramah memulakan ceramah beliau dengan mengupas isu-isu kerosakan yang berlaku pada masa kini yang khususnya melibatkan wanita dan generasi muda. Beliau juga mengungkap kesalahfahaman umat Islam terhadap beberapa isu seperti Hijabista, Jihad itu terroris dan lain-lain sehingga perkara-perkara tersebut telah membuatkan umat semakin jauh daripada Islam. Seterusnya penceramah membongkar siapa yang perlu bertanggungjawab menyelesaikan segala permasalahan yang terjadi. Penceramah menghuraikan tentang tiga peranan utama iaitu individu yang bertaqwa, masyarakat yang melaksanakan amar maa’ruf nahi mungkar dan pemerintah yang menerapkan hukum Islam. Ketiga-tiga ini memainkan peranan masing-masing dalam menjamin kesejahteraan umat dengan melaksanakan perintah Allah SWT.
Acara diteruskan dengan persembahan video dan pameran. Setelah itu, sesi soal jawab diadakan dan beberapa soalan telah dikemukakan. Antaranya tentang peranan seorang wanita bagi memastikan anak dan generasi muda dapat terdidik dengan baik dan cara untuk memastikan anak yang telah terdidik dengan Islam akan selamat jika berada di persekitaran yang rosak. Bagi meningkatkan pemahaman dan tumpuan peserta terhadap apa yang dibentangkan, satu sesi kuiz diadakan. Peserta yang dapat menjawab soalan dan memberi pandangan diberikan hadiah menarik.
Majlis diakhiri dengan bacaan doa untuk memperoleh keberkatan Allah dan moga Khilafah segera tertegak kerana tiada kemuliaan tanpa Islam. MHTM mengucapkan Jazakumullah khayran kepada semua peserta yang hadir dan memberikan respon yang amat baik.