Kursi Untuk Melahirkan Lebih Ramai Pemimpin Sekular Wanita Diperkenal!

Najib setuju penubuhan Kursi Kepimpinan Wanita

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini bersetuju dengan cadangan Wanita Umno untuk menubuhkan Kursi Kepimpinan Wanita di salah sebuah universiti awam di negara ini. Presiden Umno itu berkata, kewujudan Kursi itu nanti akan menjadi sumber kekuatan intelektual, minda, pemikiran dan tuntutan wanita pada masa kini.

Saya beri sokongan yang sepenuhnya. Tubuhlah kursi ini, carilah wanita yang hebat untuk mengisi kursi tersebut dan saya yakin memang ada wanita yang hebat yang boleh penuhi kursi itu.

Ongkosnya kita boleh bincang. Susah kita nak tolak permintaan wanita,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Wanita Umno bertemakan ‘Wanita Umno Nadi Transformasi dan Inovasi Negara‘ di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein; serta beberapa ahli Majlis Tertinggi Umno.

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, dalam ucapannya sebelum itu berkata tujuan utama penubuhan Kursi itu adalah untuk memberi tumpuan dalam mengembangkan dan mempertingkatkan kebolehan wanita memimpin di pelbagai peringkat iaitu tempatan, negeri, kebangsaan, serantau dan antarabangsa melalui pendidikan, penyelidikan dan latihan.

Katanya, penyandang Kursi itu akan dipilih di kalangan tokoh ilmuan kepimpinan yang akan bertanggungjawab dalam mengembangkan ilmu seni kepimpinan wanita Malaysia.

Ilmu seni ini akan merangkumi pemahaman urus tadbir, pengurusan strategik, pengurusan kewangan dan ICT dan pembinaan serta pengembangan jaringan,” katanya.

Beliau berkata, program yang diatur oleh penyandang Kursi akan juga mencakupi ilmu sistem politik di Malaysia, sistem pilihan raya, kepekaan gender dan pembuatan dasar-dasar.

Di samping itu, penyandang Kursi Kepimpinan Wanita akan memberi kuliah di peringkat prasiswazah dan siswazah di dalam menganjurkan kursus pendek dan program latihan kepimpinan.

Program ini akan melayakkan penubuhan sebuah pusat penyelidikan dan latihan kursus untuk kepimpinan wanita dalam masa yang terdekat,” katanya

Bercakap kepada pemberita kemudian, Shahrizat berkata sejumlah dana akan diberikan kepada institusi yang bertanggungjawab bagi membiayai pelaksanaan program-program di bawah Kursi Kepimpinan Wanita.

Saya difahamkan sekurang-kurangnya dana yang diperlukan adalah dalam RM2 juta dan berkemungkinan jumlah ini akan menjadi lebih. Saya akan buat satu kertas kerja bagaimana untuk mendapatkan jumlah itu dalam masa setahun ini,” katanya.

Beliau berkata, Kursi itu adalah satu pelaburan dan simbol kepada usaha wanita dalam menentukan transformasi dan inovasi negara yang diterajui oleh Wanita Umno.

Ini Kursi akademik yang akan ditubuhkan di salah sebuah universiti dalam negara berdasarkan cadangan yang terbaik dari kalangan universiti. Jadi pihak wanita kita akan mula mengutip dana sebagai ‘endowment’ kepada mana universiti yang akan membuat bidaan,” katanya.

Untuk itu Shahrizat berkata, setiap anggota Wanita Umno akan memberikan sumbangan mereka walaupun RM1 kerana ia adalah saham yang boleh mengarus-perdanakan kepimpinan wanita Malaysia. – Bernama

Sumber: Berita Harian, 20 Februari 2010



Kursi Untuk Melahirkan Lebih Ramai Pemimpin Sekular Diperkenal!

Kursi Kepimpinan Wanita- satu lagi usaha terbaru kerajaan, khususnya Pergerakan Wanita UMNO untuk merekrut dan mendoktrinkan para wanita di negara ini dengan teori kepimpinan dan politik versi ideologi sekular-kapitalisme.

Seperti yang dinyatakan sendiri oleh Datuk Seri Shahrizat, para wanita yang terlibat akan didedahkan dengan ilmu sistem politik di Malaysia, sistem pilihanraya versi demokrasi, isu-isu berkaitan gender, malah sehingga ke pembuatan dasar-dasar negara. Melihat program-program yang dirancang, maka dengan mudah kita boleh meneka bahawa objektif  Kursi ini tidak lain adalah supaya generasi pemimpin wanita yang akan dilahirkan di masa hadapan adalah golongan yang akan mewarisi dan mempertahankan pemikiran-pemikiran politik serta kepimpinan sistem demokrasi sekular yang sedang berjalan hari ini.

Pengenalan badan baru ini juga dilihat sebagai usaha serampang dua mata Pergerakan Wanita UMNO; selain dapat mendoktrinkan generasi muda dengan idea politik demokrasi sekular sejak di peringkat pra-siswazah lagi, usaha ini juga dilihat sebagai taktik untuk menembusi IPT-IPT negara dan meraih sokongan dari generasi mahasiswa yang layak untuk  mengundi di dalam pilihanraya musim hadapan.  Jika mahasiswa pro pembangkang terlibat dengan hal-hal politik atau menjemput wakil-wakil dari barisan pembangkang untuk berforum di kampus, maka dengan mudahnya mereka diancam dengan AUKU, tetapi jika pihak kerajaan cuba menyebarkan pengaruh mereka di kampus, dengan mudahnya mereka diberi ruang dan peluang seluas-luasnya.

Justeru, bukanlah sesuatu yang menghairankan jika Najib dan Shahrizat tidak kisah dengan berapa banyak pun wang rakyat yang akan dihabiskan untuk tujuan ini!

Wahai umat Islam, khususnya para wanita! Politik sekular adalah sangat bertentangan dengan politik Islam yang diajarkan Rasulullah SAW kepada kita. Politik sekular versi demokrasi yang bakal didoktrinkan kepada kalian ini bukan sahaja membelakangkan Al-Quran dan sunnah Rasulullah, malahan meletakkan perlembagaan dan undang-undang yang digubal oleh akal manusia sebagai kuasa tertinggi di dalam negara. Suara manusia (rakyat) dianggap sebagai suara Tuhan, malah suara majoriti mampu menenggelamkan nas-nas Al-Quran dan hadis yang Qathi’e.

Renungkanlah peringatan Allah ini,

Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al-Ma’idah (5):50].

“…dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir/ zalim/fasik” [TMQ al-Ma’idah (5):44/45/47].

Politik sekular ini sangat berbeza dengan aktiviti politik Islam yang bertujuan semata-mata untuk menguruskan urusan-urusan umat sesuai dengan hukum-hukum KitabuLlah dan bukan yang lain. Wanita muslimah juga wajib berpolitik, sama dengan kewajiban kaum muslimin. Islam juga telah meletakkan kerangka dan batas-batas yang jelas di dalam aktiviti politik umat Islam, termasuklah di dalam hal kepimpinan.

Wahai para pemimpin kaum muslimin, hentikanlah perbuatan sia-sia yang kalian lakukan ini. Kalian bukan sahaja menempah tempat kalian di neraka lantaran kemaksiatan dan pengabaian hukum-hukum Allah selama ini, malah kalian ingin pula mengheret umat Islam yang lain masuk ke kubang dosa bersama-sama kalian!. Belum tibakah peringatan Allah SWT kepada kalian di dalam kitabNya,

Dan barang siapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta.”Berkatalah ia: “Ya Tuhanku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulunya adalah seorang yang melihat? Allah berfirman: “Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, maka kamu melupakannya, dan begitu (pula) pada hari ini kamu pun dilupakan”. Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak percaya kepada ayat-ayat Tuhannya. Dan sesungguhnya adzab di akhirat itu lebih berat dan lebih kekal.” [TQS Taaha (20) : 124-127]