Langkah Dubai: Menambah senarai kejijikan politik di Malaysia

Kejijikan politik di Malaysia masih berterusan dengan perkembangan terbaru menyaksikan Langkah Dubai yang dikaitkan dengan cubaan untuk menjatuhkan kerajaan melalui pintu belakang. Benar atau tidak Allah sahaja yang tahu selain daripada pihak-pihak yang terlibat dalam “drama” ini.

Sungguh aneh dengan Langkah Dubai ini kerana kerajaanlah yang mendedahkannya, membesarkannya, dan berkeras mempertahankan kebenarannya tanpa apa-apa bukti pun. Manakala di pihak pembangkang pula, sebahagian menafikannya dan sebahagian lagi secara berkias mengakui seolah-olah wujudnya langkah sedemikian walaupun tempat pertemuan bukannya di Dubai.

Bertambah aneh apabila melihat kerajaan sendiri yang menggambarkan langkah ini sebagai suatu yang buruk, tanpa sedar bahawa Perdana Menteri yang ada sekarang ialah antara orang yang telah beberapa kali menyatakan “I have the numbers” dalam rangka menjatuhkan kerajaan, semasa beliau berada di kerusi pembangkang dahulu.

Sungguh melucukan apabila berapa ramai daripada kalangan politikus yang pernah terlibat dalam “Langkah Sheraton” yang berjaya menggulingkan Mahathir, serta “langkah tak bernama” yang berjaya menggulingkan Muhyiddin, ternyata apabila mereka berada dalam kerajaan, mereka ialah antara orang yang memburuk-burukkan langkah untuk menjatuhkan kerajaan.

Para politikus ini, setelah mereka sendiri yang menimbulkan ketidakstabilan politik di Malaysia dengan perangai buruk mereka, lalu mereka menggubal undang-undang anti lompat parti sehingga terwujudnya Akta Anti Lompat Parti, kini mereka melakukan apa yang dulunya mereka cuba cegah. Walaupun mereka tidak melompat parti, tetapi mereka memanfaatkan kelompangan yang ada dalam akta tersebut untuk mereka menukar sokongan, yang kesannya sama sahaja seperti melompat parti.

Begitulah kejijikan politik demokrasi yang dapat kita saksikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, yang nampaknya masih berterusan hingga kini.

Sesungguhnya demokrasi hanya melahirkan para politikus yang rakus kekuasaan, dan sanggup melakukan apa sahaja demi kerusi. Jika tidak lama dulu tindakan seumpama ini (tukar parti / sokongan) dilihat sebagai tidak bermaruah, tidak berprinsip dan suatu yang sangat memalukan, kini ia sudah menjadi trend dan tidak ada apa-apa lagi yang perlu dimalukan. Kini sudah ramai yang melakukannya, malah mereka melakukannya secara berulang-ulang kali. Soal maruah dan integriti sudah tidak wujud lagi apabila hal ini sudah menjadi norma baru dalam politik demokrasi di Malaysia.

Apa yang kita saksikan ini hanyalah sebahagian daripada ajaran demokrasi di mana tujuan kewujudan sesebuah parti politik hanyalah untuk meraih kekuasaan. Dengan kaedah “matlamat menghalalkan cara” yang diamalkan oleh para penganut ajaran demokrasi, maka dari sinilah munculnya segala kejijikan yang telah dan sedang terjadi di depan mata kita sekarang.

Sedangkan dalam Islam, tujuan kewujudan sesebuah parti politik ialah untuk menyeru kepada kebajikan, melakukan amar makruf nahi mungkar sebagaimana dijelaskan oleh Allah (swt) di dalam Al-Quran:

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung” [Ali Imran (3): 104].

Manakala tujuan kekuasaan pula ialah untuk menerapkan hukum Allah, dan tidak ada siapa atau mana-mana parti politik pun yang boleh menjatuhkan pemerintah selama mana pemerintah menerapkan hukum Allah. Hal ini sangat berbeza dengan politik demokrasi yang mana secara tradisinya, setiap pembangkang mesti menjatuhkan kerajaan, dan kedua-dua pihak akan saling berebut kuasa, tidak kira semasa pilihan raya atau sebelum pilihan raya.

Apa yang penting untuk difahami oleh umat Islam ialah kejijikan politik demokrasi adalah mustahil untuk dihapuskan, selagi ia tidak dibuang dan diganti dengan politik Islam. Sebaik mana sekali pun seseorang politikus itu, sesungguhnya dia tidak akan dapat mengamalkan politik Islam dalam sistem demokrasi, umpama mustahilnya untuk dia membersihkan najis dari dalam tongnya.

Oleh itu satu-satunya cara untuk melihat politik tanahair kembali bersih ialah dengan kembali kepada politik Islam, yang tidak ada campuran dan tidak boleh dicampur-adukkan sedikit pun dengan selain Islam. Persoalannya, wujudkah politikus demokrasi pada hari ini yang sanggup melakukannya? Jawapannya cukup mudah untuk diagak..

Wallahu a’lam.