Limbang Milik Kita!
“Hari ini adalah hari yang cukup bersejarah kerana Brunei telah menggugurkan tuntutan ke atas Limbang dan dengan ini Limbang akan menjadi sebahagian dari wilayah kita.”
Apa yang lebih menggembirakan lagi ialah isu-isu sempadan dan perkara-perkara pokok yang berlarutan begitu lama sejak 1995 telah dapat diselesaikan,” kata Perdana Menteri kepada pemberita Malaysia di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini.
Bagi pemerhati yang berada dalam wilayah jajahan yang terpecah belah dengan sempadan kebangsaan (nation state) berita ini adalah berita gembira. Kegembiraan itu lahir akibat dari semakin luasnya wilayah negara yang mereka diami dan cintai. Sekaligus mungkin ada rasa gembira akibat ‘menang’ dalam kes perebutan daerah di sempadan-sempadan setelah beberapa kali mengalami ‘kekalahan’. Inilah manifestasi nasionalisme yang masih terjajah dalam jiwa sebahagian besar kaum Muslimin. Semangat kebangsaan yang sentiasa mencipta perpecahan tanpa mengira bangsa, keturunan, bahasa dan sebagainya.
Walhal, sejarah tamadun manusia mencatatkan bahawa kaum Muslimin menikmati keluasan wilayahnya bermula dari Sepanyol (Andalusia) hingga ke Indonesia, lebih kurang dua pertiga dari daratan mukabumi. Kemakmuran dan keamanan yang tercipta dari penerapan Islam sepenuhnya menjadikan negara Islam (Khilafah) menempa julukan ‘Superpower’ dunia suatu waktu dahulu, ketika aqidah Islam benar-benar menjadi asas ikatan umat Islam. Namun ia sirna akibat kelalaian umat dalam mempertahankannya setelah diserang oleh kufur Barat (secara fizikal dan idea) ke atas kaum Muslimin.
Kesan serangan itu dapat dilihat sampai ke hari ini. Betapa ‘gembiranya’ umat Islam di Malaysia apabila diisytihar ‘menang’ dalam merebut sempadan dengan Brunei yang sebenarnya tidak seharusnya direbut bahkan digembirakan! Di sisi Islam, Brunei dan Malaysia sebenarnya hanyalah merupakan sebahagian dari negeri-negeri umat Islam dan kesatuan seluruh negeri-negeri umat Islam inilah yang membentuk wilayah Islam yang dinamakan Khilafah. Selagi kita masih terjajah dengan nasionalisme mahupun patriotisme, selagi itulah perasaan dan jiwa kita dipermainkan oleh kufur Barat. Kita ‘gembira’ dalam kehinaan, kita ‘menang’ dalam kekalahan. Biarpun Malaysia meraih Limbang dari Brunei, persoalannya, apakah nanti akan diterap seluruh hukum Allah di sana sedangkan di Malaysia sendiri hukum sekular masih bertapak kukuh??
Inilah kehinaan yang dilontar kufur Barat ke atas kaum Muslimin. Bukan sekadar Malaysia, Brunei sahaja bahkan seluruh negeri umat Islam bermula dari Maghribi hingga ke Indonesia. Kita dipecahkan oleh ideologi ciptaan manusia seperti nasionalisme, patriotisme sedangkan Islam itu merupakan pengikat seluruh kaum Muslimin tanpa diasing-asing berdasarkan sempadan, bangsa, warna kulit, keturunan mahupun bahasa. Tidakkah kaum Muslimin tatkala ini menginginkan kembalinya suasana mulia dengan menyatukan diri mereka di dalam ikatan Islam? Ayuh, tegakkan kesatuan dalam diri kita dan satukanlah semula sempadan negeri-negeri ini menjadi Khilafah. Sesungguhnya kemuliaan Islam dan manifestasi ikatan aqidah Islam hanya akan benar-benar termanifestasi dengan berdirinya Daulah Khilafah yang diredhaiNya.