Logo Lebih Penting dari Kehalalan dan Kehalalan Hanya Terfokus Pada Makanan!!!
AKTA Perihal Dagangan 1972 (APD 72) akan dipinda Jun ini bagi mewujudkan satu badan tunggal saja dibenar mengeluarkan sijil dan logo halal dikenali sebagai ‘Logo Halal Malaysia’, sekali gus dijangka mengakhiri sebarang tindakan memalsukan sijil serta logo halal yang berleluasa sejak kebelakangan ini.
Dengan pindaan itu, akan memberi kuasa kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melantik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) sebagai pihak bertanggungjawab mengeluarkan sijil dan logo halal Malaysia.
Pengarah Hab Halal Jakim, Saimah Mokhtar, berkata sebelum pindaan itu dilakukan Jun ini pihaknya akan mendapat persetujuan semua negeri untuk menyeragamkan undang-undang berkaitan sijil dan logo halal kerana hal berkaitan agama adalah dalam bidang kuasa Jain masing-masing.
Sumber : Berita Harian, 16/02/2010
Logo Lebih Penting dari Kehalalan dan Kehalalan Hanya Terfokus Pada Makanan!!!
Setiap kali para pelancong melalui jalan-jalan di Malaysia pasti mereka akan diperkenalkan pelbagai jenis makanan dan sekiranya pelancong tersebut adalah seorang Muslim, kehalalan makanan tersebut pasti akan ditekankan.
Malaysia juga terkenal dengan hub halalnya serta ketegasan dalam menetapkan tanda halal untuk menggambarkan negara ini mengamalkan proses memastikan kehalalan yang sistematik untuk mengekalkan status ‘negara Islam’nya.
Kesan daripada itu, pihak yang terlibat untuk mengekalkan status tersebut begitu bersungguh-sungguh dan berusaha untuk mengenalpasti kelemahan dan menaik taraf produk-produk dengan menetapkan peraturan yang lebih ketat, dan yang pasti kebanyakan produk yang ditekankan ini adalah produk makanan.
Persoalannya kini adalah, mengapa penentuan ‘halal’ ini begitu terfokus kepada makanan? Bagaimana dengan perkara-perkara lain? Bukankah konsep halal/haram itu mencakupi seluruh aspek kehidupan? Bagaimana dengan Bursa Saham dan pelbagai skim-skim perniagaan yang tumbuh seperti cendawan hari ini? Adakah terdapat proses penentuan kehalalannya? Bagaimana dengan perkara-perkara yang bersangkutan dengan isu-isu sosio-politik negara yang berada di bawah sistem kapitalis seperti hari ini? Dan yang paling besar dan utama – keberadaan parlimen yang berjalan di atas prinsip demokrasi yang menggubal undang-undang dari akal manusia!! Bukankah ini juga, secara rasionalnya tercangkup di bawah penentuan ‘logo’ halal/haram dan perlu dikaji bagi menentukan statusnya!!!
Adalah merupakan suatu yang ‘bias’ apabila isu halal dan haram ini hanya terfokus pada bidang tertentu sahaja. Hakikatnya, bukan logo yang merupakan perkara yang perlu ditekankan tetapi pendekatan pemerintah dalam mengembalikan kehidupan Islam. Seluruh perbuatan, interaksi, barangan makanan, pakaian, perkhidmatan dan lainnya harus diperhatikan dengan perhatian Islam. Semuanya tertakluk kepada halal dan haram, bukan hanya makanan. Seterusnya, hukuman yang berdasarkan uqubat islam, perlu dilaksanakan bagi setiap perbuatan haram yang dilakukan. Inilah yang sepatutnya menjadi tolok ukur dan standard yang menjadi panduan kita dalam menjalankan kehidupan yang Islami.