Malaysia satu-satunya negara Islam urus ekonomi dalam aman?.. atau

 
altPUTRAJAYA 6 Julai – Malaysia adalah satu-satunya negara Islam di rantau ini yang ekonominya dapat diurus dengan baik, dalam suasana aman, kata pakar ekonomi, Datuk Mohd. Salleh Majid. Bekas presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini dikenali sebagai Bursa Malaysia) itu berkata, hasil bumi negara dari daratan dan lautan, boleh diurus dengan baik dan harus dikekalkan. 
“Timur Tengah, lokasi sekumpulan negara Islam, terus bergolak berikutan krisis politik dalaman yang gagal ditangani. Rantau itu sudah boleh dianggap sebagai “hapus kira,” katanya.  Beliau diminta mengulas cadangan perhimpunan Bersih di pusat bandar Kuala Lumpur, yang dijangkakan boleh membawa keburukan kepada ekonomi dan menjejaskan pelaburan domestik dan asing.  Atas desakan pelbagai pihak, perhimpunan itu akan dijalankan di dalam stadium.  Mohd. Salleh berkata perhimpunan itu sudah pasti “lebih menarik” media asing untuk datang ke negara ini dan membuat laporan yang rata-ratanya lebih memburukkan Malaysia. – Bernama

Sumber : Utusan Malaysia : 06/07/11
 

Aman Dalam Memaksiati Allah SWT.
Sejak merdeka sehingga kini Malaysia adalah pengamal tegar sistem ekonomi kapitalisme. Inilah kejayaan kuffar Barat dalam mencorakkan pemikiran umat Islam  sehingga mereka begitu berbangga dengan sistem ekonomi kapitalisme yang diterapkan oleh pemerintah sekular yang sedia ada. Golongan ekonomis sekular ini memandang dan melihat persoalan ekonomi hanya dari sudut dan cara pandang  kapitalisme semata-mata. Sedangkan bagi seorang Muslim kejayaan sesuatu perkara itu diukur dengan ukuran Islam. Untuk itu bagi membincangkan persoalan ekonomi sebagai contoh, maka sewajibnya kita menjadikan Islam sebagai asas dan kayu ukurnya. Dan jika kita melihat kepada fakta sistem ekonomi yang ada pada hari ini ternyata, Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalisme bermula dari akar hingga ke dedaunnya.

Bagi Islam asas kepada sistem ekonomi itu dilihat kepada persoalan kepemilikan, pengelolaan kepemilikan dan juga pengagihan kekayaan di tengah-tengah masyarakat. Di Malaysia dan negeri-negeri umat Islam yang lain, mekanisma ekonomi yang diterapkan tidak diasaskan kepada aqidah Islam. Isu kepemilikan sebagai contoh, banyak harta cuba diswastakan. Harta yang sewajibnya menjadi milik awam seperti minyak, air dan elektrik telah dihadiahkan kepada pihak individu atas nama pengswataan, yang telah berjaya mengaut keuntungan berbilion-bilion ringgit dengan merompak dan merampas hak rakyat itu. Praktik ini amat bertentangan dengan hadis Rasulullah,

“Manusia itu bersyarikat (bersekutu) dalam tiga perkara (iaitu) air, padang ragut dan api” [HR Abu Daud & Ahmad].

Kegiatan yang berasaskan riba dan judi sudah dianggap biasa dan mendarah daging bagi para pemimpin sekular yang berkuasa. Pihak pemerintah yang berkuasa hari ini hati alpa dengan peringatan Allah SWT dan rasulNya sedangkan dengan cukup tegas Rasulullah SAW melaknat golongan yang terlibat dengan riba. Sabda Rasulullah SAW:

“Telah dilaknat iat pemakan riba, ornag yang menyerahkannya, para saksi dan pencatatnya” [HR Ibn Majah]. Mata para pemimpin ini seolah-olah buta dengan peringatan yang tegas dari Rasulullah SAW dengan membiarkan kegiatan arak dari A hingga Z beroperasi dengan bebasnya.: “Ada sepuluh bahagian yang dilaknat berhubung dengan arak iaitu zatnya, peminumnya, penghidangnya, penjualnya, pembelinya, pembuatnya dan pemesannya” [HR Ahmad]. 

Telinga-telinga para pemimpin sekular ini seolah-olah sebu dengan peringatan dan ancaman ayat-ayat Allah SWT:

“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu.

Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan:

“Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. [TMQ al-Baqarah (2) : 275].

Dalam sistem ekonomi kapitalisme yang ada pada hari ini semua perkara-perkara ini halal dan telah dihalalkan oleh pemerintah, jika ianya membawa keuntungan kepada mereka tanpa mereka melihat pertimbangan dosa dan pahala serta syurga dan neraka. Untuk itu sebagai seorang Muslim kita sewajarnya tidak melihat hanya kepada persoalan kesejahteraan semata-mata dengan mengenepikan persoalan redha dan murka Allah SWT.