Malaysia Tidak Campur Tangan Isu Mesir Bukti Racun Nasionalisme
Dalam kegawatan politik yang melanda Mesir, Timbalan Menteri Luar Malaysia, Datuk Hamzah Zainuddin berkata bahawa Malaysia tetap dengan pendiriannya untuk tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara berkenaan. Ungkapan senada juga pernah diluahkan oleh Bekas Menteri Dalam Negeri Malaysia, Hishamuddin Tun Hussein satu ketika dahulu tatkala memberi respon terhadap konflik yang berlaku di Selatan Thai.
Inilah wajah sebenar para pemimpin umat Islam di seluruh dunia saat ini. Mereka menganggap masalah umat Islam di Mesir, Thailand, Afghanistan, Iraq, Myanmar, Palestin, Syria dan lain-lain adalah masalah setempat mereka dan ia perlu diatasi oleh mereka sendiri. Kalau pun umat Islam prihatin terhadap mereka, maka badan kufur PBBlah tempat mereka mengadu serta meminta jalan penyelesaian, dan bukannya kembali kepada Allah SWT dengan mengambil jalan yang diperintahkan olehNya dalam menyelesaikan masalah umat tersebut.
Umat Islam adalah umat yang satu. Mereka tidak terpisah oleh sebarang batas sempadan negara assabiyah. Mereka adalah bersaudara sepertimana yang difirmankan oleh Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara, maka damaikanlah antara kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.” (TMQ al-Hujuraat [49]: 10)
Mereka juga bagaikan satu tubuh bangunan yang saling menguatkan satu sama lain seperti sabda Nabi SAW:
“Seorang mukmin terhadap mukmin (yang lain) bagaikan satu bangunan, satu sama lain saling menguatkan.” (HR Al-Bukhari dan Muslim).
Umat Islam di seluruh dunia khususnya para penguasa mereka perlu sedar bahawa masalah yang menimpa ke atas mereka saat ini adalah berpunca daripada tidak wujudnya kesatuan negara yang dipimpin oleh seorang Khalifah ke atas mereka. Mereka terpecah-belah kepada negara-negara bangsa dan dikobarkan kepada mereka semangat nasionalisme dan patriotisme yang telah ditanam sejak sekian lama oleh para penjajah kufur di negeri-negeri mereka masing-masing.
Justeru, tidak ada jalan lain bagi umat Islam untuk kembali meraih semula izzah (kemuliaan) sepertimana yang pernah dikecapi oleh para pendahulu mereka selama lebih daripada 1300 tahun melainkan dengan kembali bersatu di bawah satu naungan pemerintahan iaitu Daulah Khilafah Islamiyyah.
Sumber: Berita Harian 11/07/13