Mayat wanita tanpa kaki, kepala ditemui
Mayat wanita berusia dalam lingkungan 20-an dan dalam keadaan bogel itu ditemui orang awam yang melalui laluan berkenaan pada jam 2.40 petang.
“Kita mendapati kedua-dua kaki mangsa dikerat pada paras peha dan tangannya pada paras bahu manakala kepala pula pada paras pangkal leher.
“Siasatan mendapati mangsa dibunuh di tempat lain dan mayatnya kemudian dicampakkan ke kawasan itu dalam tempoh kurang 24 jam sebelum ditemui,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.
Beliau berkata, polis turut menemui beg dipercayai milik mangsa dengan beberapa helai pakaian berselerak di sebelahnya, namun tiada dompet serta dokumen pengenalan ditemui bersamanya.
Ditanya sama ada wanita itu dirompak atau dirogol sebelum dibunuh, Arjunaidi enggan mengulas lanjut dan berkata polis akan menyiasat motif pembunuhan daripada pelbagai sudut.
Kelmarin, sekumpulan pengangkut sampah menemui kaki kanan dipercayai milik seorang wanita, juga dipercayai dikerat, sebelum dicampak ke dalam sebuah tong sampah di Jalan Hang Tuah 4, Taman Salak Selatan di sini.
Berdasarkan keadaannya, polis percaya ia dikerat dalam tempoh kurang 24 jam sebelum ditemui. Polis bagaimanapun tidak menemui anggota badan lain atau senjata di sekitar tempat itu.
Mengulas lanjut, Arjunaidi berkata, polis akan menyiasat sama ada mayat ditemui semalam ada kaitan dengan kes penemuan kaki di Jalan Hang Tuah dengan menjalankan ujian DNA.
Mayat wanita itu kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: Berita Harian 20/05/08
Ulasan:
Masya Allah! La haula wa la quwwata illa billah! Apa nak jadi dengan manusia sekarang? Kalau perkara sebegini berlaku di kalangan binatang, mungkin ia bukan merupakan kejutan bagi kita, namun apabila ia berlaku ke atas seorang manusia, lidah kita akan terkelu tak tahu apa yang nak di kata!
Ini dari satu aspek. Dari aspek yang lain, orang ramai sudah cukup takut untuk meneruskan kehidupan seharian apabila dihidangkan dengan kisah-kisah begini, yang saban hari mengisi dada akhbar dan televisyen. Di manakah keamanan, keselamatan dan kemakmuran? Orang-orang politik pandai menabur janji, hakikatnya asyik sibuk bergaduh untuk berebut kuasa dan pangkat, orang-orang korporat sibuk berjuang untuk menggunungkan harta, orang-orang muda sibuk berpacaran dan khayal dengan dunia cinta maksiat mereka, pihak polis pula sibuk memantau dan menangkap penyebar dakwah, manakala pembunuh dan pelaku maksiat merajalela. Kes jenayah dan maksiat semakin meningkat dan menakutkan, namun pihak polis dan kerajaan masih sibuk mengejar dan memburu mereka yang berjuang untuk menegakkan Islam. Inilah realiti kehidupan pada zaman Kapitalis.
Dengan adanya pemimpin yang tidak menerapkan Islam seperti sekarang, maka inilah realiti kehidupan yang terpaksa kita tempuh. Sistem kufur-sekular yang diterapkan sekarang selamanya akan gagal memberi kesejahteraan kepada manusia, kecuali kepada golongan Kapitalis. Pemerintah hidup dengan kaya raya, pangkat dan kekuasaan di tangan mereka, bodyguard penuh di sekeliling, rumah mereka di awasi 25 jam sehari, jadi mereka tentunya tidak akan terdedah sedikit pun kepada bahaya. Yang mereka takuti ialah jatuhnya mereka dari kekuasaan. Selama mana berlaku maksiat dan jenayah tetapi jika tidak menggugat kekuasaan mereka, maka hal ini tidak perlu diperhatikan. Mereka bukannya memerintah untuk menjaga rakyat, tetapi untuk menjaga diri sendiri, anak bini dan kroni.
Sudah tiba masanya pemerintah dan sistem yang busuk ini dibuang. Sudah tiba masanya kita menggantikan segala keburukan ini dengan cahaya Islam. Ayuhlah kita bergerak untuk menerapkan Islam, untuk menerapkan agama Allah ini ke dalam kehidupan secara kaffah. Dan tidak ada cara lain untuk merealisasikan ini semua kecuali dengan berusaha untuk menegakkan Daulah Khilafah yang akan menyebarkan cahaya dan rahmat Allah ke seluruh alam.