Mekanisme Sistem Islam Tangani Implikasi Covid-19 Terhadap Ekonomi – Siri 2

Mekanisme Sistem Islam Tangani Implikasi Covid-19 Terhadap Ekonomi – Siri 2 (akhir)

Dalam siri penulisan terdahulu, kita telah membincangkan penyelesaian asas daripada Islam dalam menghadapi impak wabak seperti Covid-19, iaitu dengan memastikan keperluan asas (primer) rakyat yang meliputi makanan, pakaian, dan tempat tinggal dipenuhi.

Selain daripada memenuhi keperluan-keperluan asas di peringkat individu, negara juga wajib memenuhi keperluan-keperluan jama’ie (keperluan umum) seperti keamanan, kesihatan, dan pendidikan. Negara bahkan wajib menyediakannya secara percuma kepada rakyat. Ketiga-tiga sektor tersebut juga dapat membantu mengembangkan ekonomi dan menyediakan ruang yang kondusif kepada rakyat untuk memenuhi keperluan sekunder mereka.

Malangnya, perkhidmatan dalam sektor seperti kesihatan dan pendidikan tidak disediakan secara percuma sepenuhnya. Hal ini menyebabkan sebilangan rakyat tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan dalam sektor-sektor tersebut.

Sektor Kesihatan

Dalam sektor kesihatan, sungguhpun negara ini diperakui mempunyai perkhidmatan kesihatan antara yang terbaik di dunia, namun masih terdapat segmen dalam masyarakat yang terpaksa mengeluarkan belanja isi rumah bagi mendapatkan rawatan. Peratusan perbelanjaan isi rumah bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan (out of pocket) yang merupakan perbelanjaan kesihatan (health expenditure) kedua tertinggi di negara ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa penyaluran perkhidmatan kesihatan di negara ini tidak begitu efektif serta menyeluruh.

Sementara itu, wabak Covid-19 ini pastinya memberikan implikasi terhadap sektor kesihatan, kerana banyak sumber dikerahkan bagi membendung penularan dan juga merawat pesakit yang dijangkiti virus tersebut. Dalam keadaan sebegini, terdapat keperluan bagi menggembleng usahasama dengan pihak hospital dan klinik swasta demi memastikan penyaluran perkhidmatan kesihatan tidak terjejas.

Di samping memastikan kapasiti pekerja kesihatan dan bekalan perubatan serta peralatan mencukupi, pembangunan infrastruktur bersasar perlu dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan. Pastinya peruntukan yang diberikan ini dibuat setelah penilaian keperluan kesihatan (health needs assessment) dijalankan. Ia wajar dibuat bagi memastikan pengagihannya benar-benar mengikut keperluan tanpa adanya campur tangan dan pertimbangan kepentingan politik – misalnya pembinaan infrastruktur di sesebuah kawasan atas permintaan ahli politik demi dijadikan ‘mercu kejayaan’ di sepanjang tempoh mereka berkuasa, sedangkan ada kemungkinan infrastruktur sedia ada masih memadai untuk memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada penduduk di sana.

Bagi jangka masa panjang pula, negara perlu melaksanakan pembaharuan sektor penjagaan kesihatan (healthcare reform) bagi menstruktur semula mekanisme pembiayaan kesihatan dan meningkatkan kerjasama antara sektor awam dan swasta. Hal ini kerana, seperti ketika kegawatan ekonomi yang lalu, rakyat negara ini lebih cenderung mendapatkan rawatan di klinik dan hospital awam berbanding swasta. Perkara ini juga berkemungkinan akan terjadi pasca krisis Covid-19 yang berlatarbelakangkan ketidaktentuan ekonomi.

Maka, negara wajar menyediakan dana kepada pesakit yang tidak berkemampuan, bagi mendapatkan rawatan di klinik atau hospital swasta demi mengurangkan beban tugas di hospital dan klinik kerajaan. Bantuan tersebut boleh dibuat melalui sebuah badan yang menguruskan peruntukan dan tuntutan daripada pihak swasta bagi menampung kos rawatan yang diberikan kepada pesakit yang tidak berkemampuan untuk membiayainya. Langkah sebegini juga dapat membantu pihak hospital dan klinik swasta untuk bertahan dalam suasana ekonomi yang tidak menentu.

Sektor Pendidikan

Dalam sektor pendidikan pula, walaupun persekolahan di peringkat rendah dan menengah disediakan dengan yuran yang dikatakan rendah, namun ia tetap membebankan keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana, apatah lagi mereka yang mempunyai anak ramai.  Lebih malang di peringkat pengajian tinggi apabila biasiswa hanya disediakan kepada segelintir pelajar sahaja, manakala sebahagian besar yang lain terpaksa membuat pinjaman untuk meneruskan pengajian. Jumlah yuran pengajian yang tinggi, ditambah pula dengan riba, menyebabkan graduan terus menanggung beban hutang sejurus menamatkan pengajian walaupun mereka belum tentu mendapat pekerjaan.

Keadaan sebegini menunjukkan betapa negara sebenarnya “berniaga” dengan rakyat, khususnya generasi muda dalam sektor pendidikan. Sedangkan menurut Islam, negara wajib menyediakan pendidikan secara percuma kepada warganya. Hal ini sebagaimana polisi yang ditunjukkan oleh Nabi (saw) sebagai ketua negara, yang meletakkan syarat kepada tawanan perang Badar agar menebus diri mereka dengan mengajar kaum Muslimin membaca dan menulis, sedangkan tawanan perang adalah hak Baitul Mal. Perbuatan Rasulullah (saw) ini menjadi dalil yang menunjukkan pembiayaan pendidikan dalam Islam wajib disediakan oleh negara secara percuma kepada rakyatnya.

Dalam pada itu, polisi pendidikan pula sewajarnya memberikan fokus kepada pembentukan keperibadian Islam di samping melahirkan graduan yang berdaya saing dalam urusan duniawi. Jurusan dan sukatan pembelajaran diserasikan mengikut keperluan semasa, sejajar dengan perkembangan sains dan teknologi. Bidang-bidang kritikal yang diperlukan bagi membangunkan negara ketika berdepan dengan kemelut ekonomi diberikan keutamaan, manakala bidang yang tidak relevan perlu dihentikan.

Sektor pendidikan juga berkait rapat dengan peluang pekerjaan bagi graduan. Justeru, negara wajar membuat analisis keperluan semasa dan membuat unjuran keperluan sumber manusia pada masa akan datang bagi memastikan masalah pengangguran dapat diatasi secara berkesan. Negara bertanggungjawab untuk menyediakan peluang pekerjaan jika berlaku pengangguran bagi memastikan setiap individu mempunyai pendapatan dan dapat menyediakan nafkah untuk dirinya dan tanggungannya. Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah (saw) bersabda kepada seorang lelaki Ansar yang tidak mempunyai pekerjaan sedangkan beliau mempunyai keluarga untuk ditanggung:

“Belilah makanan dengan satu dirham ini lalu berikan kepada keluargamu, dan bakinya belilah kapak lalu bawalah kepadaku. Kemudian lelaki tersebut datang kepada baginda dengan membawa kapak. Maka baginda memasang kepala kapak tersebut dengan sebatang kayu dengan tangan baginda, lalu bersabda, “Pergilah cari kayu bakar dan juallah, dan datang semula kepadaku selepas lima belas hari” [HR Abu Daud].

Sektor Keamanan

Keamanan merupakan elemen yang penting bagi menjamin keselamatan rakyat serta kestabilan ekonomi. Negara wajib memelihara keamanan dalam negeri, serta menjaga daripada pencerobohan musuh. Peranan memelihara keamanan ini dipikul oleh pihak berwajib terutamanya polis.

Krisis ekonomi dan kesempitan hidup berkemungkinan mendesak pihak-pihak tertentu untuk mengambil jalan keluar yang salah, misalnya dengan mencuri, merompak, atau melakukan penipuan ke atas orang ramai yang naif dan turut sama dalam keadaan terdesak. Maka, selain memantau, menangkap dan membawa ke muka pengadilan, langkah-langkah pencegahan mesti diambil bagi membendung jenayah daripada berleluasa. Hal ini termasuklah dalam sektor teknologi maklumat yang bukan sahaja menjadi medium baru untuk aktiviti-aktiviti penipuan (scam), bahkan turut terdedah kepada serangan-serangan siber oleh musuh-musuh negara.

Penyediaan prasarana dan pemudahcara bagi merancakkan aktiviti ekonomi

Di samping memelihara ketenteraman awam, pemantauan terhadap perjalanan aktiviti perniagaan perlu dilakukan secara berterusan oleh agensi-agensi yang berkenaan. Amalan-amalan batil dalam urusniaga seperti riba, menipu timbangan, monopoli, menyembunyikan barang dan sebagainya perlu dibanteras, lebih-lebih lagi dalam kekalutan ekonomi yang melanda. Justeru, dengan mewujudkan institusi hisbah, yang antara lain berperanan dalam memantau aktiviti perdagangan, negara akan dapat membanteras kegiatan-kegiatan tersebut.

Sementara itu, kenaikan harga barang juga boleh terjadi ekoran penularan wabak. Bagi menangani masalah ini pemerintah perlu mengambil inisiatif mengimport barangan ke dalam negara, sebagaimana yang dilakukan oleh Khalifah Umar al-Khattab yang mengimport keperluan barangan semasa musim kebuluran di Madinah dari Syam dan Mesir sehingga dapat menurunkan harga, tanpa perlu meletakkan harga siling untuk barangan [An-Nabhani, Nizamul Iqtisadi fil Islam].

Bagi memastikan perdagangan berjalan lancar, negara juga berperanan menyediakan prasarana yang dapat merancakkan aktiviti ekonomi. Pembinaan pasar, pusat perdagangan, dan kemudahan-kemudahan seperti jalan raya adalah penting bagi menggerakkan aktiviti perdagangan. Dalam pada itu, negara juga berhak untuk memberikan harta milik negara sebagai insentif untuk dimanfaatkan oleh warganya (iqtha’ ad-Daulah), misalnya melalui pemberian tanah untuk dikelolakan bagi menjana pendapatan.

Selain itu, negara boleh menyediakan pegawai-pegawai yang bertindak sebagai pemudahcara bagi menghubungkan pihak-pihak yang berminat untuk membentuk syirkah, misalnya dengan mengaturkan pertemuan antara penyumbang modal (sahibul mal) dan pengusaha (mudharib) bagi mengikat akad mudharabah, atau dengan membuka platform yang menyediakan latihan dan perkongsian pengalaman perniagaan kepada mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan tertentu.

Beralih dari matawang fiat kepada dinar dan dirham

Penggunaan matawang fiat tanpa sandaran daripada emas dan perak boleh menyebabkan kekayaan individu dan negara hilang sekelip mata disebabkan inflasi dan kejatuhan nilai matawang. Ia juga menjadi punca utama krisis-krisis ekonomi dunia, yang sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan matawang. Sebaliknya, penggunaan matawang yang disandarkan kepada emas dan perak (dinar dan dirham) menjamin kestabilannya, sekali gus dapat menghindari tercetusnya krisis ekonomi seperti yang terjadi dalam sistem kapitalisme mahupun sosialisme.

Namun perlu ditegaskan bahawa peralihan kepada penggunaan matawang berasaskan dinar dan dirham semata-mata dalam kerangka sistem ekonomi kapitalis tidak akan menjamin kesejahteraan umat dan kestabilan ekonomi. Demi melaksanakan agenda perubahan kepada sistem ekonomi Islam secara menyeluruh, tidak dapat tidak kita wajib untuk mengubah keseluruhan sistem kehidupan termasuklah dalam aspek pemerintahan.

Penyelesaian-penyelesaian jangka pendek dan sederhana yang dijelaskan di sini tidak akan membawa kepada penyelesaian tuntas bagi menangani permasalahan yang dihadapi umat Islam, termasuklah ketika berhadapan dengan implikasi ekonomi ekoran penularan wabak Covid-19 ini, sekiranya perubahan menyeluruh tidak dilakukan. Hanya dengan perubahan (dari sistem kapitalisme kepada sistem Islam) yang bersifat menyeluruh barulah sistem Islam dapat diterapkan secara kaffah. Seterusnya, dengannya barulah rahmah akan tersebar ke seluruh alam dan kemelut-kemelut yang melanda akan dapat ditangani mengikut tatacara yang digariskan oleh hukum syarak.

Baitul Mal: struktur negara yang mengatur pendapatan dan perbelanjaan negara

Baitul Mal adalah salah satu struktur dari sistem pemerintahan Islam yang merupakan tempat penyimpanan dan pengeluaran harta negara. Ia terdiri dari dua Qism (sektor) utama iaitu Qism Al-Waradat (Sektor Pendapatan Negara) dan Qism Al-Nafaqat (Sektor Perbelanjaan Negara). Secara ringkasnya, struktur Baitul Mal dapat dilihat berdasarkan gambarajah-gambarajah berikut:

Sumber pendapatan negara dan kedudukan Dharibah

Pendapatan negara dijana melalui ghanimah, fai, kharaj, jizyah dan lain-lain sebagaimana diperuntukkan oleh nas. Selain itu, di saat kecemasan apabila harta Baitul Mal tidak ada atau tidak mencukupi, negara boleh memungut dharibah. Dharibah adalah sejenis pungutan yang dibenarkan oleh syarak untuk dipungut oleh negara dan menjadi tanggungjawab negara untuk membelanjakannya dengan benar. Tidak seperti sumber-sumber lain, dharibah hanyalah bersifat sementara dan bukan merupakan pungutan tetap. Pemungutan dharibah ini dilakukan dari sisa nafkah (setelah ditolak biaya keperluan hidup) daripada harta kaum Muslimin yang kaya iaitu dari baki pemenuhan keperluan primer dan sekundernya yang makruf. Apabila keperluan Baitul Mal telah dipenuhi dan Baitul Mal sudah mampu memenuhi kewajipan-kewajipannya dari sumber-sumber pendapatan rutin, maka pungutan dharibah mesti dihentikan.

Perlu difahami bahawa dharibah hanya dipungut dalam keadaan negara yang amat terdesak sehingga jika tidak dipungut, maka sebuah kewajipan akan terabai. Dharibah hanya boleh dipungut dalam keadaan-keadaan berikut sahaja:

  • Untuk memenuhi keperluan asas rakyat (makanan, pakaian dan tempat tinggal) khususnya fakir dan miskin;
  • Untuk pembiayaan jentera pentadbiran negara agar negara tetap berfungsi sebagai pemelihara rakyat seperti gaji kakitangan dan prasarana pentadbiran;
  • Untuk penyediaan kemudahan awam seperti jalan raya, hospital, masjid, sekolah dan seumpamanya;
  • Untuk pemulihan situasi selepas rakyat ditimpa bencana alam seperti banjir, ribut taufan, gempa bumi, tanah runtuh, wabak dan seumpamanya;
  • Untuk keperluan jihad fi sabilillah.

Justeru, jika negara sudah kehabisan pendapatan di saat kecemasan, termasuklah dalam keadaan wabak yang melanda seperti sekarang, maka negara boleh memungut dharibah bagi memastikan kemaslahatan negara dan rakyat terus terpelihara. Jika Baitul Mal masih mencukupi untuk menampung sebarang perbelanjaan, maka haram untuk negara memungut dharibah daripada kaum Muslimin.

Di samping itu, negara-negara Muslimin juga dikurniakan Allah dengan kekayaan sumber hasil bumi seperti minyak dan gas, serta galian lain. Kesemua kekayaan ini merupakan milik umat dan wajib dimanfaatkan demi memenuhi kemaslahatan umat. Malangnya, kesemua kekayaan alam tersebut dibolot dengan rakusnya oleh syarikat-syarikat kapitalis yang bersekongkol dengan penguasa yang kleptokrat, yang menyebabkan sebahagian rakyat terus menderita.

Justeru, apa yang diperlukan pada hari ini adalah keazaman politik bagi mengubah sistem kapitalisme yang dipaksakan ke atas kita ini untuk menuju perubahan hakiki melalui penegakan semula negara Khilafah Rasyidah ‘Ala Minhaj Nubuwwah, sebuah negara yang akan menjaga rakyatnya berdasarkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya. Negara ini tidak akan dapat didirikan kecuali kita berusaha mendirikannya dengan bersungguh-sungguh, dengan jalan yang ditunjukkan oleh junjungan mulia, al-Mustafa Rasulullah (saw).

Wallahu a’lam.

 

Dr. Muhammad Fauzi

 

Rujukan:

  1. Malaysia National Health Accounts Health Expenditure Report (1997-2015), Ministry of Health Malaysia
  2. As-Sirah an-Nabawiyah, Ibnu Hisham
  3. Nizamul Iqtisadi fil Islam, Taqiyuddin an-Nabhani
  4. Sautun Nahdhah 279: Pendapatan Dan Perbelanjaan Dalam Negara Islam (Khilafah), Hizbut Tahrir Malaysia