Memang Lumrah Demokrasi

altPULAU PINANG 16 April – Mohammad Fairus Khairuddin hari ini mengumumkan perletakkan jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Penanti berkuatkuasa hari ini bagi menumpukan lebih perhatian kepada usahanya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat pasca siswazah serta untuk memberinya lebih masa bersama keluarga.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang difakskan kepada Bernama di sini hari ini.

Sumber : Utusan Malaysia, 16/04/09

 

Kebobrokan Demokrasi Yang Melahirkan Politikus Yang Merugikan Rakyat.

 

Demokrasi itu busuk! Demokrasi itu Menipu! Demokrasi itu mengundang 1001 macam masalah! Demokrasi itu sistem kufur! Inilah kebusukan demokrasi dan politik sekular yang mencemari pemikiran masyarakat dan para pemainnya pada hari ini. Sudah terlampau banyak cerita dan kisah yang dapat dilihat oleh masyarakat di Malaysia selepas berakhirnya pesta demokrasi yang ke – 12 pada 8 Mac 2008 sehinggalah ke hari ini. Ada yang menang dan ada yang kalah. Ada yang suka dan ada juga yang duka. Dari satu cerita sensasi ke satu cerita sensasi yang lain. Dari satu pilihanraya kecil ke satu pilihanraya kecil yang lain. Namun apa yang jelas, nasib dan keadaan umat masih juga di takuk lama. Sistem yang diterapkan juga masih sama, sistem Kapitalisme yang berasaskan kepada aqidah sekular. Ketika dunia dilanda krisis kewangan global dan Malaysia juga turut terbatuk dan deman kerana krisis tersebut, nampaknya para pelakon politik tanah air pula sibuk dengan agenda masing-masing. Dari satu episod politik ke episode politik yang lain.

 

Antaranya adalah krisis kemelut politik di Perak dengan ‘lompatan’ 4 orang badut dari satu tangga ke tangga yang lain sehingga berlaku pertukaran kerajaan negeri. Krisis di Bukit Selambau pula memaparkan adunnya yang cabut lari dan melepaskan jawatannya. Itu belum lagi kes panas exco dan adun Bukit Lanjan. Yang terkini dan sensasi kini adalah lakonan lawak di Pulau Pinang oleh TKM1nya dan cerita jenaka 10 adun BN yang takut untuk hadir ke dewan undangan negeri di Terengganu. Tidak terkecuali di Perlis – isu “produk haram”, label yang diberikan kepada MBnya. Apa selepas ini, kita sama-samalah tunggu skrip sensasi yang seterusnya.

 

Nampaknya pesta lakonan demokrasi di Malaysia ini akan terus berpanjangan. Bilakah ianya akan berakhir? Renungilah firman Allah SWT: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa”. [TMQ Al An’am (6) : 153].

 

Sudah pasti selagi ada pelakon dan peminatnya, maka selagi itulah nampaknya filem demokrasi yang penuh hipokrasi ini akan terus berlangsung. Inilah kesan dan natijah yang terhasil apabila ramai dari umat Islam tersedut “kentut busuk demokrasi”. Mereka kabur dengan hakikat penipuan demokrasi.

 

Wahai umat Islam! Di manakah tegak duduknya anda sekarang? Adakah anda termasuk golongan yang mengatakan “tidak ada masalah dengan demokrasi’? Ataupun anda dari kelompok yang mengatakan bahawa demokrasi memang bukan dari Islam tetapi kita boleh menggunakannya demi kemaslahatan umat! Atau dari golongan yang menolak sama sekali demokrasi dengan kefahaman bahawa demokrasi adalah anak kandung sekularisme dan sudah pasti bertentangan dengan Islam.

Tempatkanlah diri anda ke dalam golongan mereka yang benar-benar memahami apa itu demokrasi agar anda tidak mendapat murka Allah SWT.