Memorandum Peringatan: Wahai Perdana Menteri Malaysia! Jihad Adalah Jawapan Atas Kekejaman Rejim Komunis China Terhadap Muslim Uighur
Seluruh dunia ketika ini sedang berbicara mengenai kekejaman yang dilakukan oleh rejim China ke atas Muslim Uighur di Turkestan Timur (Xinjiang). Sudah banyak gambar dan video yang bocor dan berlegar di alam maya mengenai penyeksaan yang dilakukan oleh rejim China terhadap saudara-saudara seakidah kita di sana. Kekejaman rejim komunis itu sudah ke tahap luar batasan kemanusiaan. Malaysia seharusnya membuka mata terhadap kekejaman ini, apatah lagi Malaysia dapat mendengar sendiri pengakuan daripada saudara-saudara kita di Turkestan Timur itu apabila sekumpulan 11 orang Muslim Uighur yang berjaya melarikan diri ke negara ini pada awal tahun lepas. Kerajaan seharusnya campur tangan untuk membenarkan mereka tinggal di sini, malangnya mereka dihantar ke Turki setelah melalui proses mahkamah.
Kami dengan ini ingin menarik perhatian anda kepada sepucuk surat terbuka oleh Muslim Uighur yang ditujukan kepada kerajaan Malaysia yang dimuat naik ke laman sesawang [http://www.hoylam.net/malaysiya_hokumitige_ochuq_xet/] di mana mereka merayu agar kerajaan Malaysia melindungi mereka dan tidak menghantar mereka pulang. Mereka menjelaskan bagaimana kerajaan China menzalimi dan menyeksa mereka, hingga ada yang dibunuh oleh rejim komunis China dan organ-organ mereka dijual. Segala kekejaman itu dilakukan hanya kerana agama mereka adalah Islam dan dituduh terlibat dengan aktiviti keganasan. Dalam surat terbuka tersebut, mereka seterusnya menegaskan bahawa lebih baik kerajaan Malaysia membunuh sahaja mereka daripada mengekstradisi mereka ke China, kerana setidaknya mereka akan dikebumikan dengan cara Islam jika dibunuh oleh kerajaan Malaysia di sini. Begitulah antara rayuan mereka kepada kerajaan Malaysia yang tidak diendahkan oleh kerajaan Barisan Nasional pada waktu itu.
Umat Islam sudah sedar dan bangkit untuk bersuara demi membela nasib Muslim Uighur. Namun malangnya para pemimpin umat Islam yang berjumlah lebih 50 orang masih lagi terleka, malah menutup mata dengan apa yang berlaku. Lebih buruk, para pemimpin ini terus menjalin hubungan diplomatik dan sentiasa meningkatkan hubungan dagang dengan rejim China kerana kepentingan ekonomi dan kepentingan duniawi yang ingin diraih, tanpa mempedulikan hubungan ukhrawi. Atas dasar itu, kami menghantar memorandum peringatan ini untuk mengingatkan anda bahawa Allah (swt) meletakkan tanggungjawab ukhrawi yang besar kepada anda untuk menyelamatkan saudara-saudara seakidah kita yang ditindas oleh puak Kuffar. Anda wajib menyelamatkan mereka dan haram untuk anda membiarkan mereka kepada musuh yang menindas mereka. Rasulullah (saw) bersabda,
« الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ، لاَ يَظْلِمُهُ وَلاَ يُسْلِمُهُ »
“Seorang Muslim adalah saudara Muslim yang lain, ia tidak akan menzaliminya dan tidak akan menyerahkannya (kepada musuh)” [HR Bukhari dan Muslim].
Kami juga ingin mengingatkan bahawa dengan apa yang dilakukan oleh rejim China ke atas saudara-saudara kita Muslim Uighur yang mana hal ini sesungguhnya telah berlaku berdekad-dekad lamanya, maka China sebenarnya telah menjadi sebuah negara kafir harbi yang jelas memusuhi Islam dan umat Islam. Berdasarkan hukum syarak, tidak boleh ada lagi sebarang perjanjian antarabangsa dengan negara yang memusuhi Islam dan segala perjanjian yang sedia ada adalah terbatal dengan sendirinya. Satu-satunya hubungan yang boleh wujud dengan negara seperti ini ialah hubungan perang.
Kami HIZBUT TAHRIR MALAYSIA dengan ini menegaskan dan menuntut:-
Pertama: Kerajaan Malaysia hendaklah membuka seluas-luas ruang dan membantu mana-mana Muslim sekalipun yang sedang ditindas di bumi China yang ingin lari dari tempat mereka dalam rangka untuk mendapatkan perlindungan di negara ini.
Kedua: Kerajaan Malaysia memberi amaran keras kepada rejim China agar menghentikan segera segala penangkapan, penahanan, penyeksaan dan segala bentuk penindasan ke atas Muslim Uighur dan mendesak China agar membebaskan mereka serta mengembalikan semula hak-hak mereka khususnya dalam mengamalkan agama mereka (Islam).
Ketiga: Sebarang hubungan luar, termasuk hubungan diplomatik dan perdagangan dengan rejim China hendaklah dihenti dan diputuskan serta-merta. Kedutaan mereka di Kuala Lumpur hendaklah ditutup dan duta mereka hendaklah dihalau keluar. Dalam masa yang sama duta Malaysia yang berada di China hendaklah dipanggil balik.
Keempat: Sekiranya amaran di atas tidak dipenuhi, kerajaan Malaysia hendaklah dengan kadar yang segera menghantar amaran ketenteraan dan seterusnya jika ia tetap tidak dipenuhi, maka satu-satunya jawapan yang tinggal ialah untuk mengisytiharkan jihad fi sabilillah demi menyelamatkan Muslim Uighur dari terus ditindas dan dizalimi tanpa peri kemanusiaan oleh rejim Kuffar China.
Kelima: Kerajaan Malaysia hendaklah mendesak kerajaan negeri kaum Muslimin lainnya untuk melakukan perkara yang sama seperti di atas.
Kami ingin tegaskan bahawa sudah berdekad lamanya Muslim Uighur ditindas di tanah air mereka sendiri, dinafikan hak, dilarang mengamalkan ajaran Islam, ditangkap, diseksa dan ada yang dibunuh dengan cara kejam, namun sehingga kini tidak ada seorang pun pemerintah umat Islam, termasuk Malaysia yang membantu menyelamatkan mereka mahupun mempedulikan nasib mereka. Kami dengan ini ingin mengingatkan anda bahawa maruah dan darah umat Islam adalah suci dan haram ditumpahkan tanpa hak dan wajib bagi anda sebagai salah seorang pemerintah umat Islam untuk menjaga kesucian darah, maruah, harta dan nyawa umat ini. Betapa berharganya nyawa seorang Muslim itu dinyatakan dalam hadis riwayat Abdullah bin Umar RA yang menuturkan, “Aku melihat Rasulullah SAW tawaf mengelilingi Ka’bah dan bersabda,
مَا أَطْيَبَكِ وَأَطْيَبَ رِيحَكِ مَا أَعْظَمَكِ وَأَعْظَمَ حُرْمَتَكِ وَالَّذِى نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَحُرْمَةُ الْمُؤْمِنِ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ حُرْمَةً مِنْكِ مَالِهِ وَدَمِهِ وَأَنْ نَظُنَّ بِهِ إِلاَّ خَيْرًا
“Alangkah indahnya dikau dan alangkah harumnya aromamu. Alangkah agungnya dikau dan agungnya kehormatanmu. Demi Zat Yang jiwa Muhammad ada di genggamanNya, sungguh kehormatan seorang Mukmin lebih agung di sisi Allah daripada kamu, baik menyangkut harta mahupun darahnya, dan agar kami hanya berprasangka baik kepada dirinya” [HR Ibnu Majah].
Manakala dari Abdullah bin Amru, dari Nabi (saw) bersabda,
لَزَوَالُ الدُّنْيَا أَهْوَنُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ قَتْلِ رَجُلٍ مُسْلِمٍ“
“Sungguh lenyapnya dunia ini lebih ringan di sisi Allah daripada terbunuhnya seorang Muslim” [HR al-Nasa’i, al-Tirmidzi dan al-Baihaqi].
Sesungguhnya tidak ada sebab lain kenapa Muslim Uighur ditindas dan dibunuh oleh rejim China selama ini kecuali kerana agama mereka adalah Islam. Ini bukanlah persoalan etnik seperti yang digembar-gemburkan oleh media, kecuali penindasan dan pembunuhan yang dilakukan oleh orang-orang kafir ke atas orang-orang Islam atas dasar agama, yakni kerana agama Muslim Uighur adalah Islam. Inilah realitinya. Maka, wajib bagi anda untuk menolong mereka yang merupakan saudara-saudara seakidah anda. Allah (swt) bertanya kepada orang-orang yang mempunyai kekuasaan seperti anda,
وَمَا لَكُمۡ لَا تُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلۡمُسۡتَضۡعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلۡوِلۡدَٲنِ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَخۡرِجۡنَا مِنۡ هَـٰذِهِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلظَّالِمِ أَهۡلُهَا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيًّ۬ا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا
“Mengapa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik lelaki, wanita mahupun anak-anak yang semuanya berdoa “Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau dan berilah kami penolong dari sisi Engkau” [An-Nisa’ (4):75].
Sesungguhnya anda adalah orang yang berkuasa untuk menolong mereka, tetapi anda tidak melakukannya. Sebaliknya anda terus membiarkan mereka kepada musuh-musuh mereka dan musuh anda juga, yang anda ketahui menyeksa dan membunuh mereka. Sedangkan anda wajib membantu dan melindungi mereka sebagaimana perintah Allah (swt),
وَإِنِ ٱسۡتَنصَرُوكُمۡ فِى ٱلدِّينِ فَعَلَيۡڪُمُ ٱلنَّصۡرُ إِلَّا عَلَىٰ قَوۡمِۭ بَيۡنَكُمۡ وَبَيۡنَہُم مِّيثَـٰقٌ۬ۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٌ۬
“Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan” [Al-Anfal (8):72].
Sebagaimana kami katakan di awal, tidak ada jawapan lain kepada rejim China yang telah memusuhi Islam dan umat Islam, kecuali dengan anda mengerahkan tentera di bawah anda untuk berjihad mengalahkan mereka dan seterusnya membebaskan lebih sejuta Muslim Uighur yang ditahan dan diseksa di kem-kem tahanan negara komunis itu. Firman Allah (swt)
وَقَـٰتِلُوهُمۡ حَتَّىٰ لَا تَكُونَ فِتۡنَةٌ۬ وَيَكُونَ ٱلدِّينُ لِلَّهِۖ فَإِنِ ٱنتَہَوۡاْ فَلَا عُدۡوَٲنَ إِلَّا عَلَى ٱلظَّـٰلِمِينَ
“Dan perangilah mereka itu, sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) ketaatan itu hanya semata-mata untuk Allah. Jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu), maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang yang zalim” [Al-Baqarah (2):193]
Kami yakin bahawa anda sudah mengecapi segala kenikmatan dunia selama anda menjadi Perdana Menteri, dan anda kini sudah sedar bahawa segala kenikmatan itu hanya sementara dan sekejap sahaja. Sesungguhnya nikmat akhirat itu jauh lebih besar bagi orang-orang yang bertakwa dan mematuhi perintah Tuhannya. Maka, jika anda tidak menggerakkan tentera untuk menyelamatkan saudara-saudara anda yang sedang merintih memanggil anda, Allah (swt) bertanya dan memberi amaran kepada anda,
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَا لَكُمۡ إِذَا قِيلَ لَكُمُ ٱنفِرُواْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱثَّاقَلۡتُمۡ إِلَى ٱلۡأَرۡضِۚ أَرَضِيتُم بِٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا مِنَ ٱلۡأَخِرَةِۚ فَمَا مَتَـٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا فِى ٱلۡأَخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ ♦ إِلَّا تَنفِرُواْ يُعَذِّبۡڪُمۡ عَذَابًا أَلِيمً۬ا وَيَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَڪُمۡ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيۡـًٔ۬اۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ ڪُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدِيرٌ
“Wahai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepada kamu, ‘Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan Allah’, kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit. Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah menyeksa kamu dengan seksaan yang pedih dan digantinya (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudaratan kepadaNya sedikit pun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu” [Al-Taubah (9):38-39].
Wahai Perdana Menteri! Jika anda menunaikan perintah Allah (swt) untuk berjihad menyelamatkan saudara-saudara kita, maka insya Allah kemenangan adalah milik anda dan seluruh kaum Muslimin akan bergembira, sebagaimana Allah (swt) telah memberi kemenangan kepada generasi terdahulu. Walaupun kami yakin yang anda tidak akan melakukan semua itu, tetapi sebagai sebuah parti politik Islam yang berjuang demi kebaikan umat, Hizbut Tahrir akan terus mengingatkan anda agar melaksanakan kewajipan anda. Dalam masa yang sama, ketahuilah bahawa Hizbut Tahrir akan terus berjuang untuk mengembalikan kehidupan Islam secara kaffah dengan jalan menegakkan kembali Daulah Khilafah ar-Rashidah ala minhaj nubuwwah, yang dengan tegaknya institusi agung politik umat Islam ini sedikit masa lagi, Muslim Uighur dan lain-lain kaum Muslimin yang tertindas akan diselamatkan dengan laungan jihad oleh Sang Khalifah, Insya Allah.
Wahai Perdana Menteri! Anda sering mengatakan bahawa masa pemerintahan anda sesungguhnya sudah tidak lama, sedangkan kerja yang anda perlu lakukan masih banyak. Anda mengakui yang anda sudah tidak mempunyai banyak masa. Maka atas dasar menginginkan kebaikan buat anda, kami dengan ini mengingatkan anda, dengan sisa-sisa masa yang ada pada anda, bantulah saudara seIslam kita dan tunaikanlah segala perintah Allah (swt) dan RasulNya (saw), kerana apabila Muslim Uighur menuntut hak mereka yang tidak anda tunaikan di padang Mahsyar kelak, tidak ada siapa pun pada waktu itu yang dapat menyelamatkan anda daripada azab Allah (swt) yang amat pedih.
Ya Allah! saksikanlah bahawa kami telah menyampaikan.
Ya Allah! saksikanlah bahawa kami telah menyampaikan.
Ya Allah! saksikanlah bahawa kami telah menyampaikan.
HIZBUT TAHRIR MALAYSIA