Memorandum: Wahai Menteri Dalam Negeri! Anda Wajib Melindungi Muslim Uighur Daripada Kekejaman Rejim China
Berita melaporkan bahawa kerajaan Malaysia telah pun menerima permintaan rasmi daripada China untuk mengekstradisi 11 orang Muslim Uighur yang sedang ditahan di negara ini setelah mereka berjaya melarikan diri daripada penjara Thailand pada November tahun lepas. Selaku Menteri Dalam Negeri yang mengendalikan kes ini, anda telah dilaporkan sebagai berkata bahawa kerajaan akan membuat keputusan berdasarkan perjanjian ekstradisi yang termaktub di dalam Bantuan Perundangan Bersama (MLA) dan akan menghormati perjanjian-perjanjian tersebut. Dalam masa yang sama, anda juga telah mengesahkan bahawa Malaysia sedang mempertimbangkan permintaan China itu, namun siasatan terperinci sedang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika ada dalam kalangan 11 individu tersebut terlibat dalam keganasan.
Kami dengan ini ingin menarik perhatian anda kepada sepucuk surat terbuka oleh Muslim Uighur yang ditujukan kepada kerajaan Malaysia yang dimuat naik ke laman sesawang [http://www.hoylam.net/malaysiya_hokumitige_ochuq_xet/]. Muslim Uighur merayu agar kerajaan Malaysia melindungi mereka dan tidak menghantar mereka pulang. Mereka menjelaskan bagaimana kerajaan China menzalimi dan menyeksa mereka, hingga ada yang dibunuh oleh rejim komunis tersebut dan organ-organ mereka dijual. Segala kekejaman itu dilakukan hanya kerana mereka beragama Islam dan dituduh terlibat dengan aktiviti keganasan. Dalam surat terbuka tersebut, mereka seterusnya menegaskan bahawa lebih baik kerajaan Malaysia membunuh sahaja mereka daripada mengekstradisi mereka ke China, kerana setidaknya mereka akan dikebumikan dengan cara Islam jika dibunuh oleh kerajaan Malaysia di sini. Begitulah antara rayuan mereka kepada kerajaan Malaysia yang nampaknya langsung tidak diendahkan sehingga kini.
Wahai Menteri Dalam Negeri! Kami dengan ini ingin mengingatkan anda bahawa surat terbuka tersebut secara tepatnya ditujukan kepada anda selaku Menteri yang paling berkuasa dalam hal ini, dan WAJIB ke atas anda untuk mendengar rayuan mereka dan seterusnya melindungi mereka. Kami juga ingin menyatakan bahawa dengan apa yang dilakukan oleh rejim China tersebut ke atas saudara-saudara kita Muslim Uighur yang mana hal ini sesungguhnya telah berlaku berdekad-dekad lamanya, maka China sebenarnya telah menjadi sebuah negara yang jelas memusuhi Islam dan kaum Muslimin. Berdasarkan hukum syarak, tidak boleh ada lagi sebarang perjanjian antarabangsa dengan negara yang memusuhi Islam dan segala perjanjian yang sedia ada adalah terbatal dengan sendirinya.
Dengan apa yang berlaku ini, kami, HIZBUT TAHRIR MALAYSIA dengan ini menegaskan bahawa:-
Pertama: Muslim Uighur adalah saudara seakidah kita dan wajib bagi anda khususnya dan kerajaan Malaysia amnya melindungi mereka daripada kekejaman rejim China. Lebih daripada itu, kerajaan Malaysia wajib menyediakan tempat tinggal berserta segala keperluan mereka di sini, termasuklah memberikan kewarganegaraan kepada mereka serta segala hak sebagai seorang warganegara.
Kedua: Haram sama sekali bagi anda untuk menghantar mereka pulang mahupun membenarkan rejim China mengambil mereka di sini, yang kemungkinan besar akan mengancam nyawa mereka. Sabda Rasulullah SAW,
« الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ، لاَ يَظْلِمُهُ وَلاَ يُسْلِمُهُ »
“Seorang Muslim adalah saudara Muslim yang lain, ia tidak akan menzaliminya dan tidak akan menyerahkannya (kepada musuh)” [HR Bukhari dan Muslim].
Ketiga: Kerajaan Malaysia hendaklah mendesak agar rejim komunis China menghentikan segera sebarang bentuk penindasan ke atas kaum Muslimin di negara mereka, tanpa mengira di mana mereka berada mahupun bangsa mereka.
Kelima: Perjanjian apa sekalipun dengan rejim China dikira terbatal kerana mereka telah memusuhi Islam dan kaum Muslimin. Sehubungan dengan ini, segala bentuk hubungan diplomatik mahupun perdagangan hendaklah diputuskan selama mana rejim komunis tersebut memusuhi Islam.
Keenam: Kerajaan Malaysia hendaklah membuka seluas-luas ruang dan membantu mana-mana Muslim sekalipun yang sedang ditindas di bumi China yang ingin lari dari tempat mereka dalam rangka untuk mendapatkan perlindungan di negara ini.
Wahai Menteri Dalam Negeri! Sudah berdekad lamanya Muslim Uighur ditindas di tanah air mereka sendiri, dinafikan hak, dilarang mengamalkan ajaran Islam, ditangkap, diseksa dan ada yang dibunuh dengan cara kejam, namun tidak ada seorang pun pemerintah umat Islam, termasuk Malaysia yang membantu menyelamatkan mereka mahupun mempedulikan nasib mereka. Sebaliknya, setelah mereka bertarung nyawa melarikan diri ke Malaysia dengan segala kepayahan dan kekurangan, mereka dihantar balik semula ke tempat penyeksaan mereka. Tidak cukup dengan itu, mereka dituduh pula sebagai pengganas tanpa bukti dan tanpa asas yang kukuh!
Wahai Menteri Dalam Negeri! Ingatlah bahawa maruah dan darah umat Islam adalah suci dan haram ditumpahkan tanpa hak dan wajib bagi pemerintah umat Islam untuk menjaga kesucian darah, maruah, harta dan nyawa umat ini. Betapa berharganya nyawa seorang Muslim itu dinyatakan dalam hadis riwayat Abdullah bin Umar RA yang menuturkan, “Aku melihat Rasulullah SAW tawaf mengelilingi Ka’bah dan bersabda,
مَا أَطْيَبَكِ وَأَطْيَبَ رِيحَكِ مَا أَعْظَمَكِ وَأَعْظَمَ حُرْمَتَكِ وَالَّذِى نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَحُرْمَةُ الْمُؤْمِنِ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ حُرْمَةً مِنْكِ مَالِهِ وَدَمِهِ وَأَنْ نَظُنَّ بِهِ إِلاَّ خَيْرًا
“Alangkah indahnya dikau dan alangkah harumnya aromamu. Alangkah agungnya dikau dan agungnya kehormatanmu. Demi Zat Yang jiwa Muhammad ada di genggamanNya, sungguh kehormatan seorang Mukmin itu lebih agung di sisi Allah daripadamu, baik menyangkut harta mahupun darahnya, dan agar kami hanya berprasangka baik kepada dirinya” [HR Ibnu Majah].
Manakala dari Abdullah bin Amru, dari Nabi SAW bersabda,
لَزَوَالُ الدُّنْيَا أَهْوَنُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ قَتْلِ رَجُلٍ مُسْلِمٍ
“Sungguh lenyapnya dunia ini lebih ringan di sisi Allah daripada terbunuhnya seorang Muslim” [HR al-Nasa’i, al-Tirmidzi dan al-Baihaqi].
Sesungguhnya tidak ada sebab lain kenapa Muslim Uighur ditindas dan dibunuh oleh rejim China selama ini kecuali kerana agama mereka adalah Islam. Ini bukanlah persoalan etnik seperti yang digembar-gemburkan oleh media, kecuali penindasan dan pembunuhan yang dilakukan oleh orang-orang kafir ke atas orang-orang Islam atas dasar agama, yakni kerana agama Muslim Uighur adalah Islam. Inilah realitinya. Jadi kami ingin mengingatkan anda wahai Menteri Dalam Negeri, bahawa wajib bagi anda untuk menolong mereka yang merupakan saudara-saudara seakidah anda. Allah SWT bertanya kepada orang-orang yang mempunyai kekuasaan seperti anda,
وَمَا لَكُمۡ لَا تُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلۡمُسۡتَضۡعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلۡوِلۡدَٲنِ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَخۡرِجۡنَا مِنۡ هَـٰذِهِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلظَّالِمِ أَهۡلُهَا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيًّ۬ا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا
“Mengapa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik lelaki, wanita mahupun anak-anak yang semuanya berdoa “Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau dan berilah kami penolong dari sisi Engkau” [An-Nisa’ (4):75].
Sesungguhnya anda wahai Menteri Dalam Negeri, adalah orang yang berkuasa untuk menolong mereka, tetapi anda tidak melakukannya. Sebaliknya anda ingin menyerahkan mereka kepada musuh-musuh mereka dan musuh anda juga, yang kemungkinan besar akan menyeksa dan membunuh mereka. Sedangkan anda wajib membantu dan melindungi mereka sebagaimana perintah Allah SWT,
وَإِنِ ٱسۡتَنصَرُوكُمۡ فِى ٱلدِّينِ فَعَلَيۡڪُمُ ٱلنَّصۡرُ إِلَّا عَلَىٰ قَوۡمِۭ بَيۡنَكُمۡ وَبَيۡنَہُم مِّيثَـٰقٌ۬ۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٌ۬
“Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam (urusan pembelaan) agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan” [Al-Anfal (8):72].
Wahai Menteri Dalam Negeri! Walaupun kami yakin yang anda tidak akan melakukan semua itu, tetapi sebagai sebuah parti politik Islam yang berjuang demi kebaikan umat, Hizbut Tahrir akan terus mengingatkan anda agar melaksanakan kewajipan anda. Dalam masa yang sama, Hizbut Tahrir terus berjuang untuk mengembalikan kehidupan Islam secara kaffah dengan jalan menegakkan kembali Daulah Khilafah ar-Rashidah ala minhaj nubuwwah, yang dengan tegaknya institusi agung politik umat Islam ini sedikit masa lagi, Muslim Uighur dan lain-lain kaum Muslimin yang tertindas akan diselamatkan Insya Allah.
Wahai kerajaan yang memerintah bukan dengan apa yang Allah (swt) turunkan! Ingatlah bahawa masa pemerintahan anda sesungguhnya tidak lama. Dengan sisa-sisa masa yang ada pada anda, bantulah saudara seIslam kita dan tunaikanlah segala perintah Allah (swt) dan RasulNya (saw), kerana apabila Muslim Uighur menuntut hak mereka yang tidak anda tunaikan, di padang Mahsyar kelak, tidak ada siapa pun pada waktu itu yang dapat menyelamatkan anda daripada azab Allah (swt) yang amat pedih.
Ya Allah! saksikanlah bahawa kami telah menyampaikan.
Ya Allah! saksikanlah bahawa kami telah menyampaikan.
Ya Allah! saksikanlah bahawa kami telah menyampaikan.
Pejabat Media
Hizbut Tahrir Malaysia
Ruj: HTM/Memo/01-39
Rabu, 4 Jumadil Akhir 1439 H
21/02/2018 M