Mengenang tragedi Srebrenica: 23 tahun berlalu

Pada 11 Julai 1995, lebih daripada 8,000 lelaki dewasa dan kanak-kanak Muslim Bosniak telah dihimpunkan dan dipisahkan daripada keluarga mereka sebelum dibunuh secara kejam oleh tentera Serbia di Srebrenica. Manakala wanita Bosniak pula telah dirogol secara sistematik oleh tentera Serb yang melaksanakan genosid di bawah pengetahuan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Srebrenica diisytiharkan sebagai “zon selamat” di bawah jaminan PBB, namun umat Islam yang berlindung di sana ternyata telah dikhianati apabila pasukan pengaman PBB yang terdiri daripada tentera Belanda membiarkan sahaja tentera Serb mengasingkan lelaki daripada wanita untuk diangkut ke dalam bas-bas sebelum dibunuh secara beramai-ramai.

Demikianlah betapa PBB gagal menjamin keselamatan dan kehormatan umat Islam di saat mereka memerlukan perlindungan daripada kekejaman Serbia. Berdasarkan rekod-rekod terdahulu, boleh dikatakan hampir kesemua keputusan yang dibuat oleh PBB tidak memihak ke atas umat Islam meskipun dalam sesetengah konflik, kekejaman dengan jelasnya telah diperlakukan terhadap umat ini. Malangnya, masih ada lagi dalam kalangan umat Islam yang bergantung harap kepada badan yang wujud demi mengekalkan status quo hegemoni AS dan sekutunya di dunia ini.

Perang Bosnia yang tercetus selama empat tahun (1992-1995) telah menyaksikan lebih daripada 100,000 orang terbunuh manakala 5 juta lagi menjadi pelarian di sepanjang tempoh tersebut. Semasa perang tersebut juga, dunia telah menyaksikan tindakan genosid yang terancang diperlakukan terhadap Muslim etnik Bosniak, termasuklah tindakan rogol secara sistematik yang dijadikan sebagai “senjata” untuk menakut-nakutkan orang awam dan menghapuskan identiti etnik Bosniak.

Ratko Mladic, komander tentera Serbia yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan tersebut telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan jenayah ke atas kemanusiaan oleh mahkamah pada tahun lalu. Mladic telah ditangkap setelah melarikan diri selama lebih 16 tahun. Kini 23 tahun telah berlalu, namun apakah jaminannya tragedi yang sama tidak akan berulang kembali? Mladic masih lagi dianggap sebagai hero oleh sebahagian etnik Serb, manakala sentimen pemisah di wilayah autonomi Serb Bosnia masih bergelora hingga ke hari ini. Seandainya tragedi sebegini berulang kembali, siapakah yang akan melindungi mereka?

Demikianlah nasib yang menimpa umat Islam di segenap belahan dunia, di saat umat ini berpecah-belah tanpa perlindungan dan pembelaan daripada sebuah institusi Khilafah yang telah diruntuhkan secara rasminya pada tahun 1924. Nyawa dan kehormatan umat Islam seolah-olah tidak bernilai dan diperkotak-katikkan dalam percaturan geopolitik antarabangsa. Tidakkah kita mengambil pengajaran daripadanya?