Menghadapi China, kuasa pasca-Sosialis yang mengancam dunia Islam

altChina rai ulang tahun ke-60

BEIJING 1 Okt. – China hari ini meraikan hari ulang tahun ke-60 pemerintahan komunis dengan mengadakan perarakan tentera dan upacara gilang-gemilang di Dataran Tiananmen di sini dalam sambutan yang memperlihatkan kebangkitan semula republik komunis itu sebagai sebuah kuasa dunia.

Dalam pertunjukan patriotik itu, beribu-ribu anggota tentera berkawad dalam formasi yang rapi, jet-jet pejuang melintas di udara dan bala tentera terbesar di dunia itu mempertontonkan persenjataannya yang paling canggih, termasuk peluru berpandu balistik antara benua.

Presiden Hu Jintao menyanjung kebangkitan semula yang diketuai oleh Parti Komunis itu dalam ucapannya kepada tetamu undangan dari pintu pagar Tiananmen, di mana Mao Zedong mengisytiharkan penubuhan Republik Rakyat China pada 1 Oktober 1949.

“Pembangunan dan kemajuan China baru sejak 60 tahun lalu membuktikan hanya sosialisme boleh menyelamatkan China, dan hanya pembaharuan dan mengadakan dasar pintu terbuka dapat memastikan pembangunan China, sosialisme dan Marxisme,” kata Jintao kepada hadirin.

China lazimnya mengadakan sambutan besar-besaran setiap 10 tahun untuk memperingati perisytiharan Mao Zedong itu tetapi pihak berkuasa menjanjikan sambutan tahun ini akan mengatasi segala-galanya termasuk majlis pembukaan Sukan Olimpik di Beijing tahun lalu.

Kerajaan mahu menyampaikan mesej yang jelas, bahawa China selaku ekonomi ketiga terbesar di dunia sudah muncul semula sebagai kuasa global yang disegani dan tidak dapat disangkal lagi.

Jintao menyuarakan keyakinan baru dalam ucapannya di hadapan Dataran Tiananmen yang dipenuhi hiasan berwarna merah dan kuning lambang negara ini.

“Hari ini sebuah China sosialis yang melihat ke hadapan berdiri megah di Timur,” ujar beliau.

Kira-kira 200,000 peserta terlibat dalam upacara sambutan yang berlangsung pagi ini dalam cuaca baik.

Memperlihatkan kekuatan ketenteraannya, China mengarak peluru berpandu nuklear jarak jauh yang boleh mengenai sasaran di tengah-tengah Amerika Syarikat (AS), selain senjata buatan tempatan lain, sebagai isyarat bahawa negara yang suatu masa dahulu dibuli oleh kuasa asing kini tidak lagi boleh diperlekehkan.

Pertunjukan tentera itu disusuli oleh perarakan berwarna-warni melibatkan puluhan ribu peserta yang berarak dan bernyanyi secara serentak, sebagai memperlihatkan keupayaan China untuk menggembleng tenaga manusianya yang begitu banyak secara besar-besaran. – AFP

Sumber: Utusan Malaysia  ARKIB : 02/10/2009

Menghadapi China, kuasa pasca-Sosialis yang mengancam dunia Islam

Pengisytiharan China sebagai sebuah negara Komunis pada tahun 1949 telah membawa malapetaka kepada dunia Islam. Selepas menawan Tibet pada tahun 1949, China seterusnya menawan wilayah Turkestan Timur pada tahun 1951 dan menamakannya sebagai Xinjiang. Sebagai sebuah negara sosialis yang mula berubah secara beransur-ansur ke arah sistem Kapitalis, China sebagai kuasa besar dunia dan kuasa nuklear tidak boleh dinafikan kedudukannya sebagai salah satu negara utama di dunia.
Di antara saingan mereka di dunia adalah:

a)    India –  India pernah berperang menentang China (Sino-Indian war) yang disebabkan oleh suatu persengketaan sempadan pada tahun 1962 berdekatan dengan pergunungan Himalaya. Peperangan berlaku dengan cepat dan diakhiri oleh gencatan senjata kerana kedua-dua negara mahu mengelak daripada peperangan yang berpanjangan yang hanya akan merugikan kedua-dua pihak. Natijah daripada peperangan ini telah menyaksikan Pakistan (yang juga merupakan musuh utama India), menjalin hubungan dengan China melalui kerjasama ketenteraan dan perdagangan. India dan China yang masing-masing mempunyai penduduk  melebihi 1 bilion orang, masing-masing bersaing di Asia dan juga merupakan saingan kepada negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, Russia dan Kesatuan Eropah.
 
b)    Amerika Syarikat (AS). AS melihat China yang merupakan kuasa ekonomi yang berkembang pesat sebagai saingan mereka. AS tidak berasa senang kerana China menjalin kerjasama erat dengan negara-negara umat Islam yang kaya dengan hasil petroleum seperti Iran dan Sudan. Pernah beberapa kali Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan usul mengutuk Sudan disebabkan oleh krisis Darfur, tetapi usul tersebut ditolak oleh China sebagai salah satu daripada anggota tetap Majlis Keselamatan PBB yang mempunyai kuasa veto. Ini adalah kerana sekiranya usul tersebut dipersetujui oleh kesemua ahli Majlis Keselamatan PBB, maka tindakan ketenteraan boleh diambil oleh AS terhadap Sudan sebagaimana yang telah dilakukan terhadap rejim Saddam Hussein semasa Iraq menceroboh Kuwait pada tahun 1990. China yang mempunyai pelaburan besar dalam sektor petroleum di Sudan sudah tentu tidak mahu sumber pelaburan tersebut terjejas oleh peristiwa yang serupa pada tahun 1991 apabila PBB meluluskan tindakan ketenteraan terhadap Iraq untuk membebaskan Kuwait. Ini adalah kerana industri China sangat bergantung kepada sumber petroleum dari Sudan. Sumber tenaga petroleum sangat penting kepada perindustrian di China kerana China merupakan negara yang menjadi tempat pelaburan berbagai barangan untuk diekspot ke seluruh dunia. AS yang bimbang melihat perkembangan China sebagai kuasa dunia yang semakin berpengaruh telah bekerjasama dengan India dalam sektor tenaga nuklear, setelah perjanjian kerjasama dimeterikan oleh Bush ketika membuat lawatan ke India pada tahun 2008.

c)    Umat Islam – Seluruh umat Islam yang berjumlah 1.5 billion mengatasi jumlah penduduk negara China. Apabila Khilafah berdiri kelak, China akan melihat Khilafah sebagai kuasa yang mengancam mereka, terutama akibat dari tekanan China terhadap umat Islam yang tinggal di wilayah Turkestan Timur yang telah ditawan oleh China pada tahun 1951, yang kemudiannya dinamakan Xinjiang [Sila baca ulasan yang bertajuk “Kezaliman Ke Atas Umat Islam Di Turkestan Timur (Xinjiang) Memerlukan Pembelaan Khilafah” pada 17 Rajab 1430 AH 10 July 2009, dan ulasan berita luar negara yang bertajuk “Keselamatan Olimpik – propaganda China membantai Muslim” di MyKhilafah.com].

Di China, selain daripada tekanan ke atas umat Islam dari segi amal ibadat,  tekanan juga dikenakan kepada umat Islam dalam bentuk politik dan pemikiran politik.  China telah mengharamkan segala bentuk gerakan umat Islam yang menyeru kepada kesatuan umat Islam dalam bentuk negara Khilafah. China sedar, penyatuan umat Islam akan member kesan terhadap penglibatannya di Timur Tengah. China yang kehausan tenaga sangat bergantung kepada sumber tenaga petroleum yang kebanyakannya datang daripada dunia Islam di sebelah Timur Tengah. Apabila Khilafah berdiri kelak, antara strategi politik jangka panjang yang boleh digunakan untuk melemahkan China adalah dengan mengenakan sekatan penjualan petroleum kepada China. Dengan ini, industri China akan lumpuh dan ekonomi mereka akan menyusut. Dengan jumlah penduduk yang sangat ramai, China tidak mempunyai simpanan tenaga yang mencukupi untuk jangka masa yang panjang.

Akibatnya, ini akan memaksa mereka untuk beralih kepada sumber tenaga lain seperti kuasa nuklear. Dalam suasana seperti ini, China mungkin terpaksa menggunakan uranium dari simpanan senjata nuklear mereka untuk ditukarkan kepada tenaga elektrik. Akibatnya simpanan senjata nuclear China akan mula susut.  Strategi ini disebut  sebagai war of attrition dalam bahasa Inggeris, yakni usaha untuk ‘menghauskan’ musuh dan memaksa musuh mengalah tanpa peperangan tetapi strategi tersebut memakan jangka masa yang panjang.

Ini adalah salah satu strategi yang digunakan oleh Kapitalis Barat dalam usaha mereka untuk meruntuhkan Blok Sosialis Eropah Timur yang diketuai oleh Russia yang mengakibatkan Kesatuan Sosialis Soviet dibubarkan menjadi beberapa negara pada tahun 1991. Strategi dan kebijaksanaan ini juga yang telah digunakan oleh Rasulullah (SAW) dalam perjanjian Hudaibiyyah di mana Rasulullah telah melakukan gencatan senjata dengan puak mushrikin Makkah selama 10 tahun, dan ternyata strategi tersebut telah melemahkan mushrikin Makkah hingga menyebabkan Makkah dibuka tanpa peperangan.

Umat Islam akan hanya mampu menghadapi negara gergasi China yang semakin berkembang sekiranya kaum Muslimin bersatu di bawah Khilafah. Ia tidak mungkin dapat dilakukan sekarang dengan dominasi sistem kufur yang telah menyebabkan kaum Muslimin menjadi lemah dan berpecah kepada lebih daripada 50 negara kecil yang masing-masing menjadi boneka Barat.