Menuai iktibar daripada kisah perjuangan Dr. Morsi dan membongkar hipokrasi Barat

Berita kematian bekas Presiden Mesir yang digulingkan, Dr. Morsi pada bulan lalu menarik perhatian umat Islam kepada senario politik yang berlaku di negara tersebut. Dr. Morsi dilaporkan rebah ketika perbicaraan berlangsung, dan telah disahkan meninggal dunia. Pihak berkuasa Mesir dilaporkan telah melarang solat jenazah dilakukan kecuali oleh ahli keluarga terdekat beliau, sementara di beberapa buah negara Muslimin lain solat jenazah ghaib telah dianjurkan.

Tragedi yang menimpa Dr. Morsi dan partinya yang menjadi platform bagi gerakan Islam Ikhwanul Muslimun mengungkap pelbagai pengajaran bermakna buat umat Islam, khasnya gerakan-gerakan Islam yang berusaha untuk memartabatkan Islam serta menerapkan syariahnya di muka bumi.

Dalam mengupas isu ini, aktivis Hizbut Tahrir Malaysia Dr. Rosli Salleh turut membongkar peranan Barat khasnya AS di sebalik percaturan politik dalaman Mesir, serta hipokrasi yang wujud di sebalik slogan-slogan demokrasi dan kebebasan yang dilaungkan mereka.

“Demokrasi hanya digunakan apabila ada kepentingan oleh Barat. Barat akan menyebelahi diktator dan meninggalkan demokrasi demi (memenuhi) kepentingan (mereka),” ujar Dr. Rosli dalam Diskusi Umum yang disampaikan pada Khamis lalu.

Dalam pada itu, media yang dikuasai Barat juga menunjukkan bias dalam melaporkan kezaliman as-Sisi dan memberikan laporan berat sebelah terhadap pentadbiran Morsi. Hal ini dapat dilihat misalnya, dalam sebuah laporan berat sebelah yang diterbitkan Le Figaro, iaitu akhbar yang dimiliki oleh syarikat persenjataan terbesar Perancis iaitu Dassault. Laporan tersebut mengkritik pemerintahan Morsi dan dalam masa yang sama tidak menyentuh secara adil mengenai kezaliman as-Sisi yang kini berada di tampuk pemerintahan Mesir. Laporan bias ini tidak menghairankan kerana Dassault telah mengaut keuntungan besar melalui urus niaga penjualan jet pejuang Rafale kepada as-Sisi pada 2015.

Dalam pada itu, Dr. Rosli turut mengingatkan bahawa tragedi yang menimpa Dr. Morsi bukanlah yang pertama kali terjadi. Bahkan telah berulangkali menimpa gerakan-gerakan Islam yang cuba berjuang dalam sistem demokrasi tajaan Barat. Sedangkan Barat sendiri bersikap selektif dalam menyeru demokrasi di negara-negara Muslimin, berdasarkan kepentingan polisi luar mereka. Kisah yang menimpa Dr. Morsi menonjolkan lagi sikap hipokrit Barat ini.

Sebagai penutup, Dr. Rosli turut menjelaskan thariqah dakwah yang dibawa oleh Hizbut Tahrir untuk mengembalikan kehidupan Islam berdasarkan apa yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, sekali gus menyeru agar umat Islam termasuk di negara ini untuk bersama-sama Hizbut Tahrir dalam perjuangan murni ini.