Terima dana daripada kerajaan, terjaminkah perjuangan Islam?

serah-terima-duitTimbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-ehwal Agama), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menyatakan bahawa kerajaan ada memberikan dana dalam bentuk geran dan juga penganjuran program kepada beberapa gerakan Islam di Malaysia. Beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian sewaktu berucap merasmikan ibu pejabat Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Bangi baru-baru ini. Menurutnya lagi, kerajaan Malaysia merupakan antara negara yang memberikan dana terus kepada NGO-NGO Islam termasuklah dalam bentuk dana tahunan. Antara NGO Islam yang menerima dana tersebut termasuklah pertubuhan-pertubuhan Islam utama di tanah air yang memang terkenal. Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya pertubuhan-pertubuhan Islam untuk memohon sumbangan daripada ‘bank-bank Islam’ yang mempunyai dana daripada zakat dan juga wang yang diperoleh daripada sumber tidak patuh syariah (baca:haram) bagi melancarkan gerak kerja dakwah yang dijalankan.

Sekali imbas, usaha sebegini merupakan suatu kebaikan terhadap perkembangan dakwah Islam di negara ini. Melalui dana yang diberikan itu, banyak aktiviti dakwah dapat dijalankan. Namun dari perspektif yang berbeza, penerimaan dana daripada kerajaan akan menimbulkan konflik kepentingan (conflict of interest) yang boleh menjerumuskan NGO-NGO tersebut ke dalam keharaman. Dana yang diterima sudah pasti akan menimbulkan rasa “terhutang budi” yang mana inilah yang sebenarnya dimahukan oleh kerajaan yang membolehkan kerajaan “mengungkit” sekiranya budi tersebut tidak dikenang.

Tugas gerakan Islam, selain menyebarkan dakwah Islam, ialah melakukan amar makruf nahi mungkar terhadap pemerintah. Dalam konteks ini, gerakan Islam wajib memuhasabah pemerintah yang melakukan kesalahan atau kemungkaran. Kita semua tahu bahawa kemungkaran terbesar yang dilakukan oleh pemerintah ialah apabila tidak menerapkan Islam dalam pemerintahan. Selain itu, penyelewengan, rasuah, penyalahgunaan kuasa, merampas hak rakyat dan banyak kezaliman lain lagi merupakan keharaman yang jelas lagi nyata dilakukan oleh pemerintah saban hari. Setiap gerakan Islam wajib memuhasabah pemerintah dalam hal ini, di samping berusaha untuk menggantikan sistem dan negara kufur ini kepada sistem dan negara Islam.

Justeru, apakah gerakan Islam yang telah menerima dana daripada kerajaan ini sanggup melakukan muhasabah tanpa kompromi kepada kerajaan, kerana ternyata kerajaan telah menabur budi kepada mereka? Kalau sanggup baguslah, namun berdasarkan realiti yang dapat dilihat, tidak hairanlah kenapa begitu banyak gerakan Islam yang begitu berlembut dengan kerajaan, malah dalam banyak kes, menyokong apa yang dilakukan oleh kerajaan! Ternyata dana yang diberi dapat menjinakkan banyak gerakan Islam dan akhirnya mereka berjalan selari dengan apa yang dikehendaki oleh kerajaan! Akhirnya, gerakan Islam yang sepatutnya berjuang untuk menukar sistem kufur ini kepada sistem Islam, hanya menjadi tulang belakang kepada kerajaan dalam mengekalkan sistem kufur ini. Nauzubillah min zalik.

Penerimaan, apatah lagi jika bergantung kepada dana daripada kerajaan, akan membuka sepenuh ruang kepada manipulasi oleh kerajaan ke atas gerakan-gerakan tersebut demi kemaslahatan politik kerajaan atas dasar kompromi. Sama ada disedari atau tidak, gerakan Islam tersebut hanya dipergunakan oleh kerajaan untuk mengekalkan status quo kerajaan yang sudah semakin goncang ini. Dana yang diberi tidak lebih daripada menjadi talian hayat kepada kerajaan yang semakin menuju kehancuran ini.

Sebagai pejuang Islam yang celik politik, ahli-ahli gerakan Islam seharusnya sedar bahawa tidak akan ada langkah kerajaan yang dilakukan tanpa kepentingan politik tertentu. Walaupun dana diberi atas nama Islam, namun lihat sahaja realitinya sama ada benar kerajaan ingin menerapkan Islam atau kerajaan sebenarnya menghalang penerapan Islam. Orang buta pun tahu akan hakikat ini. Sudah puluhan tahun kerajaan sekular ini berdolak-dalik apabila berbincang tentang penerapan Islam. Malah berapa ramai pejuang Islam yang ditangkap dan dipantau serta dihalang dari melakukan dakwah oleh kerajaan sekular ini.

Semoga gerakan Islam tetap teguh memperjuangkan runtuhnya sistem kufur dan berusaha menggantikannya dengan sistem Islam, tanpa sengaja memasukkan diri ke dalam perangkap pemerintah, hanya kerana habuan dunia yang sedikit.