Merasa mulia dengan bangsa, jangan ikut perangai Iblis

Antara malapetaka terbesar menimpa umat Islam ialah assabiyyah (nationalisme) dan wathaniyyah (patriotisme). Kedua-duanya merupakan amalan Jahiliah yang diharamkan setelah kedatangan Islam.  Allah dan Rasul-Nya mencela amalan keji ini dan mengancamnya dengan seberat-berat ancaman. Makanya, para Sahabat, setelah memeluk Islam meninggalkan assabiyyah dan wathaniyyah, dan mereka menjadi mulia dengan Islam.

Namun demikian, Iblis tidak pernah putus asa dan tidak pernah jemu untuk mengembalikan manusia kepada kesesatan, keharaman, kemudaratan, perpecahan dan pelbagai macam keburukan, dan Iblis mahu seramai mungkin manusia masuk neraka bersamanya. Oleh itu, Iblis dan tenteranya (syaitan) sentiasa meniup api assabiyyah dan wathaniyyah ke dalam tubuh manusia, khususnya umat Islam, kerana mereka tahu bahawa api ini dapat membakar dengan cepat dan besar serta sukar dipadam.

Iblis: Makhluk Pertama Terlaknat Kerana Logik Kemuliaan

Satu-satunya sebab Iblis dikeluarkan daripada syurga, dilaknat dan akan dimasukkan ke dalam neraka ialah kerana keengganan dan kesombongannya untuk sujud kepada Adam sebagaimana Allah perintahkan. Padahal sujud yang diperintahkan itu bukanlah untuk menyembah Adam, tetapi sebagai kepatuhan kepada perintah Allah (swt), Satu-satunya Zat yang wajib disembah dan ditaati. Namun, Iblis dengan penuh kesombongan telah mengingkari dan melanggar perintah Allah, tatkala seluruh malaikat bersujud kepada Adam dengan penuh kepatuhan dan redha dengan perintah Rabb mereka.

Apakah alasan Iblis untuk tidak mahu sujud kepada Adam? Alasan ini diberitakan sendiri oleh Allah (swt) kepada kita, dan diulang-ulang oleh Allah dalam banyak ayat, tidak lain tidak bukan agar kita mengambil pengajaran daripada kisah Iblis ini dan tidak mengikuti perangainya yang terkutuk.

﴿قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ ۖ قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِنْهُ خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ

“Allah berfirman: “Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di waktu Aku menyuruhmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripadanya: Engkau ciptakan aku dari api sedangkan dia Engkau ciptakan dari tanah” [Al-A’raf (7): 12].

﴿قَالَ يَا إِبْلِيسُ مَا لَكَ أَلَّا تَكُونَ مَعَ السَّاجِدِينَ ۝ قَالَ لَمْ أَكُنْ لِأَسْجُدَ لِبَشَرٍ خَلَقْتَهُ مِنْ صَلْصَالٍ مِنْ حَمَإٍ مَسْنُونٍ

“Allah berfirman: “Wahai Iblis, apa sebabnya engkau tidak (ikut sujud) bersama-sama mereka (para malaikat) yang sujud itu?” Berkata Iblis: “Aku sekali-kali tidak akan sujud kepada manusia yang Engkau telah menciptakannya dari tanah liat kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk” [Al-Hijr (15): 32-33]

﴿وَإِذْ قُلْنَا لِلْمَلَائِكَةِ اسْجُدُوا لِآدَمَ فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ قَالَ أَأَسْجُدُ لِمَنْ خَلَقْتَ طِينًا

“Dan (ingatlah), tatkala Kami berfirman kepada para malaikat: ‘Sujudlah kamu semua kepada Adam’, lalu mereka sujud kecuali Iblis. Dia berkata: ‘Apakah aku akan sujud kepada orang yang Engkau ciptakan dari tanah?’” [Al-Isra’ (17): 61].

﴿قَالَ يَا إِبْلِيسُ مَا مَنَعَكَ أَنْ تَسْجُدَ لِمَا خَلَقْتُ بِيَدَيَّ ۖ أَسْتَكْبَرْتَ أَمْ كُنْتَ مِنَ الْعَالِينَ ۝ قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِنْهُ ۖ خَلَقْتَنِي مِنْ نَارٍ وَخَلَقْتَهُ مِنْ طِينٍ ۝ قَالَ فَاخْرُجْ مِنْهَا فَإِنَّكَ رَجِيمٌ ۝ وَإِنَّ عَلَيْكَ لَعْنَتِي إِلَىٰ يَوْمِ الدِّينِ

“Allah berfirman: “Wahai iblis, apakah yang menghalangi engkau sujud kepada apa yang telah Aku ciptakan dengan kedua tangan-Ku. Apakah engkau menyombongkan diri atau apakah engkau (merasa) termasuk orang-orang yang (lebih) tinggi?” Iblis berkata: ‘Aku lebih baik daripadanya, kerana Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan dia Engkau ciptakan dari tanah’. Allah berfirman: ‘Maka keluarlah engkau darinya (syurga); sesungguhnya engkau adalah terkutuk. Sesungguhnya laknat-Ku tetap atasmu sampai hari pembalasan” [Sad (38): 75-78]

Demikianlah logik Iblis, yang dibina daripada akal dan hawanya sendiri – bahawa dia lebih baik daripada Adam kerana dia diciptakan daripada api sedangkan Adam diciptakan daripada tanah. Padahal Allah (swt) tidak pernah menetapkan sedemikian. Allah tidak pernah menyatakan api lebih baik dari tanah atau tanah lebih baik dari api. Sama ada api mahu pun tanah, semuanya adalah ciptaan Allah; sama ada malaikat, jin mahu pun manusia, semuanya adalah makhluk Allah, dan semuanya wajib tunduk kepada perintah Allah. Ketundukan kepada Allah itulah yang menjadikan makhluk tersebut mulia, bukannya kerana dari “bahan” apa dia diciptakan.

Dengan apa yang dilakukan Iblis itu, menjadikannya makhluk pertama yang merasakan dirinya mulia kerana perbezaan penciptaan, suatu hal yang tidak pernah dinyatakan oleh Allah (swt). Iblis merasakan dirinya lebih mulia, lebih tinggi dan lebih hebat daripada Adam, semata-mata kerana dia diperbuat dari api, padahal Iblis mengetahui bahawa Allah (swt) tidak pernah membeza-bezakan baik-buruk makhluk-Nya berdasarkan perbezaan penciptaan.

Dalam konteks inilah setiap Muslim perlu mengambil iktibar daripada kisah Iblis terlaknat ini. Siapa pun yang merasakan dirinya lebih mulia berbanding manusia lain hanya kerana perbezaan bangsa, bahasa, kaum, keturunan, warna kulit, tempat lahir, tempat tinggal dan sebagainya, sesungguhnya telah mengikut perangai Iblis. Sedangkan Allah (swt) tidak pernah menetapkan kemuliaan manusia berdasarkan semua itu.

Kemuliaan Manusia Kerana Takwa, Bukan Bangsa

Allah (swt) menciptakan manusia mengikut kehendak-Nya samada orang itu dilahirkan sebagai Arab, Melayu, Cina, India dan sebagainya, dan Dia juga melahirkan manusia di mana-mana sahaja bahagian bumi ini mengikut kehendak-Nya. Manusia mana pun tidak pernah minta dilahirkan sebagai bangsa apa atau di mana, bahkan tidak pernah minta untuk dilahirkan pun.

Allah-lah yang melahirkan manusia dan Dia tidak pernah menetapkan kemuliaan makhluknya berdasarkan bangsa. Dia juga tidak pernah menetapkan orang yang lahir di tanah Arab lebih mulia berbanding lahir di Tanah Melayu, orang yang lahir di Amerika lebih mulia berbanding lahir di China, orang yang lahir di Malaysia lebih mulia berbanding lahir di Myanmar, orang yang lahir di bandar lebih mulia berbanding lahir di kampung dan sebagainya. Dia tidak pernah menetapkan semua itu.

Lalu atas dasar apa manusia yang lahir sebagai Melayu merasa lebih mulia berbanding bangsa lain? Atas dasar apa manusia yang lahir di tanah Melayu merasa lebih mulia berbanding manusia yang lahir di tanah Hindi atau tanah Arab? Bukankah bumi Melayu ini milik Allah dan bumi Myanmar juga milik Allah, bahkan keseluruhan bumi ini milik Allah? Tidakkah mereka mendengar firman Allah bahawa Allah menciptakan manusia berbangsa-bangsa untuk saling mengenal, bukannya untuk memuliakan satu bangsa atas bangsa lain, dan bahawa kemuliaan itu hanya diukur dengan ketakwaan?:

﴿يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di kalangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti” [Al-Hujurat (49): 13].

Sejahat-jahat Iblis, setidaknya Iblis memiliki logik apabila merasakan dirinya lebih mulia berbanding Adam kerana dia dicipta daripada api sedangkan Adam dicipta daripada tanah. Namun, di manakah logik manusia yang merasakan dirinya lebih mulia berbanding manusia lain sedangkan semuanya dicipta daripada tanah? Sabda Rasulullah (saw):

يَا أَيُّهَا النَّاسُ، أَلَا إِنَّ رَبَّكُمْ وَاحِدٌ، وَإِنَّ أَبَاكُمْ وَاحِدٌ، أَلَا لَا فَضْلَ لِعَرَبِيٍّ عَلَى أَعْجَمِيٍّ، وَلَا لِأَعْجَمِيٍّ عَلَى عَرَبِيٍّ، وَلَا لِأَحْمَرَ عَلَى أَسْوَدَ، وَلَا أَسْوَدَ عَلَى أَحْمَرَ إِلَّا بِالتَّقْوَى، كُلُّكُمْ لِآدَمَ، وَآدَمُ مِنْ تُرَابٍ

“Wahai sekalian manusia! Ketahuilah bahawa Tuhan kamu adalah Satu (Esa), dan bapa kamu (Adam) adalah satu. Ketahuilah, tidak ada kelebihan bagi orang Arab ke atas orang bukan Arab (‘Ajam), dan tidak ada kelebihan bagi orang bukan Arab ke atas orang Arab. Begitu juga tidak ada kelebihan bagi orang yang berkulit merah (putih/cerah) ke atas yang berkulit hitam, dan tidak ada kelebihan bagi yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah, melainkan dengan takwa. Kamu semua berasal daripada Adam, dan Adam pula berasal daripada tanah” (HR Ahmad & al-Baihaqi].

Maka, manusia mana pun yang merasakan dirinya lebih mulia berbanding manusia lain kerana perbezaan bangsa, sesungguhnya telah mengikuti jejak langkah Iblis, bahkan alasannya lebih tidak masuk akal berbanding alasan Iblis!

Assabiyyah Itu Haram, Muslim Itu Bersaudara

Sesungguhnya Islam mengharamkan assabiyyah dengan keharaman bak matahari di siang hari, bahkan Rasulullah (saw) tidak mengaku mereka (pengamal assabiyyah) sebagai umatnya. Sabda baginda:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ  ولَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ على عَصَبِيَّةٍ و لَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ على عَصَبِيَّةٍ

“Bukan daripada kami orang yang menyeru kepada assabiyyah dan bukan daripada kami orang yang berbunuhan atas dasar assabiyyah dan bukan daripada kami orang yang mati kerana assabiyyah” [HR Abu Daud].

Sesungguhnya Rasulullah itu diutus sebagai rahmat untuk seluruh alam, diutus untuk menyempurnakan akhlak, diutus dengan penuh kelembutan dan kasih sayang terhadap Mukmin, dan demikianlah sifat baginda yang sangat mulia dan indah peribadi serta lisannya. Namun apabila berbicara mengenai assabiyyah, baginda menggunakan bahasa yang sangat “keras” dan tidak membenarkan umatnya berkias. Sabda baginda:

مَنْ تَعَزَّى بِعَزَاءِ الْجَاهِلِيَّةِ، فَأَعِضُّوهُ بِأَيْرِ أَبِيهِ وَلَا تَكْنُوا

“Sesiapa yang berbangga-bangga dengan kebanggaan Jahiliah (perkauman, kabilah, keturunan), maka suruhlah dia menggigit kemaluan bapanya, dan janganlah kalian berkias (sebutkan lafaznya secara jelas/terang)” [HR Imam Ahmad, dan An-Nasa’i].

Demikianlah betapa hina dan jijiknya assabiyyah – merasakan diri lebih mulia berbanding orang lain hanya kerana perbezaan penciptaan. Sesungguhnya sifat keji itu datang dari Iblis, dimiliki oleh Iblis sejak awal penciptaan Adam sehingga kiamat, dan menjadi senjata bagi Iblis untuk menyesatkan manusia agar mengikuti jejak langkahnya. Sifat keji itu jugalah yang menjadikan Iblis dilaknat oleh Allah dan membawanya ke neraka:

﴿لَأَمْلَأَنَّ جَهَنَّمَ مِنْكَ وَمِمَّنْ تَبِعَكَ مِنْهُمْ أَجْمَعِينَ

“Sesungguhnya Aku pasti akan memenuhi neraka Jahanam dengan jenis kamu (Iblis) dan dengan orang-orang yang mengikuti kamu di antara mereka semuanya” [Sad (38): 85]

Assabiyyah menghancurkan persaudaraan sesama Mukmin, memecah-belahkan kaum Muslimin dan negeri mereka, bahkan menjadi asbab kepada terjerumusnya seseorang ke neraka, jika dia tidak berubah dan tidak diselamatkan oleh Allah:

﴿وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنْتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ فَأَنْقَذَكُمْ مِنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk” [Ali Imran (3): 103].

Ingatlah bahawa Allah (swt) telah menjadikan Muslim itu bersaudara tanpa mengira bangsa, keturunan, warna kulit dan tempat tinggal. Selama mana mereka bersyahadah dengan syahadah yang sama, maka mereka hendaklah mencintai satu sama lain, sebagaimana mereka mencintai diri mereka sendiri. Sabda Nabi (saw):

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّىٰ يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

“Tidak beriman seseorang kamu hingga dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai untuk dirinya sendiri” [Riwayat al-Bukhari dan Muslim].

Semoga Allah menyelamatkan kita daripada sifat buruk dan keji assabiyyah, dan menjadikan kita termasuk dalam hadis:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْه عُضْوٌ تَدَاعَى لَه سَائِرُ الْجَسَدِ بالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

“Kaum Mukmin itu dalam hal saling mencintai, mengasihi dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Jika ada salah satu anggota tubuh sakit, seluruh tubuhnya ikut terjaga (merasakan tidak boleh tidur) dan panas/demam (turut merasakan sakitnya)” [HR Muslim].

Wallahu a’lam.