Meriahkan Zulhijjah Dengan Ibadah

Oleh : Ustazah Husna Suriani (Aktivis MHTM)

 

Setelah sebulan berpuasa, Ramadhan yang amat dirindui dan ditunggu-tunggu untuk melipatgandakan pahala ibadah telah melabuhkan tirainya. Semoga pemergiannya diiringi dengan rahmat, maghfirah (keampunan) dan pembebasan dari api neraka. Kini Zulhijjah muncul dengan seribu satu peluang untuk melakukan perkara yang sama. Sedarkah kita bahawa Zulhijjah merupakan salah satu bulan daripada empat bulan yang disebut sebagai bulan-bulan haram. Apakah bulan-bulan haram? Dan apakah kelebihannya berbanding bulan-bulan yang lain?

Bulan-Bulan Haram Dan Keutamaannya

Allah SWT telah berfirman;

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa” [TMQ at-Taubah (9): 36].

Apakah makna dari bulan haram? Bulan haram yang disebut dalam firman Allah SWT di atas adalah semakna dengan yang disebutkan oleh Rasulullah SAW;

“Sesungguhnya zaman ini telah berjalan (berputar) sebagaimana perjalanan awalnya ketika Allah menciptakan langit dan bumi, yang mana satu tahun itu ada dua belas bulan. Diantaranya ada empat bulan haram, tiga bulan yang berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam, kemudian bulan Rejab yang berada diantara Jamadil Akhir dan Syaaban” [HR al-Bukhari: 4385 dan Muslim 1679].

Sahabat yang mulia Abdullah bin Abbas Rahimahullah telah menjelaskan tafsir dari ayat “Maka janganlah kalian menganiaya diri kalian dalam bulan haram yang empat itu”, beliau menyatakan;

“(Janganlah kalian menganiaya diri kalian) iaitu pada seluruh bulan yang ada, kemudian dikhususkan dari bulan-bulan itu empat bulan yang Allah telah menjadikannya sebagai bulan-bulan haram yang telah dilebihkan kedudukannya daripada bulan yang lain. Dan perbuatan dosa yang dilakukan di dalamnya lebih besar di hadapan Allah, begitu juga amalan soleh yang dilakukan akan menghasilkan ganjaran yang lebih besar” (Lathaif al-Ma`arif: 124).

Inilah antara keutamaan yang telah Allah SWT turunkan pada bulan-bulan haram ini, dilipatgandakan ganjaran dan balasan bagi seseorang yang mengerjakan amalan soleh, sehingga seorang hamba terus bermotivasi untuk berada di tengah-tengah amalan kebaikan. Begitu juga, apabila perbuatan dosa dan kemaksiatan menjadi lebih besar dan berganda di hadapan Allah SWT. Maka, ini menjadikan kekhuatiran dan ketakutan seseorang dari melakukan dosa dan kemaksiatan kerana adanya seksaan dari Allah SWT pada hari kiamat nanti, maka mereka terus berusaha menjauhkan diri dari perbuatan keji tersebut. Selain itu, seorang Muslim yang memahami hakikat ini akan sentiasa istiqamah dalam beribadah serta melaksanakan amar makruf nahi mungkar dan bukan hanya berusaha bersungguh-sungguh di dalam bulan Ramadhan sahaja.

Zulhijjah Dan Kewajipan Haji

Seperti yang kita sedia maklum, bulan Zulhijjah adalah bulan bagi umat Islam menunaikan ibadah Haji. Ibadah haji merupakan fardhu ‘ain bagi kaum Muslim yang memenuhi syarat dan berkemampuan untuk melaksanakannya. Allah SWT telah berfirman;

“Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya….” [TMQ al-Imran (3): 97].

Allah SWT juga berfirman dalam surah al-Baqarah yang bermaksud;

“Dan sempurnakanlah haji dan umrah kerana Allah …” [TMQ al-Baqarah (2): 196].

Menurut Ibn Qudamah, terdapat lima syarat wajib haji yang mesti dipenuhi iaitu Islam, berakal, baligh, merdeka dan mampu. Apa yang dimaksudkan dengan mampu ialah mempunyai bekalan yang mencukupi untuk pergi dan pulang dari ibadah haji, cukup nafkah yang ditinggalkan dan apabila berhutang maka seluruh hutangnya sudah dilangsaikan. Selain itu, seseorang itu juga dikatakan mampu sekiranya mempunyai kenderaan dari tempatnya menuju ke kota Mekah.

Maka dengan ini, apabila seseorang Muslim itu memenuhi syarat haji, menjadi kewajipan baginya untuk berazam menunaikan haji. Jika terjadi sesuatu ke atas dirinya lalu dia meninggal dunia tetapi belum sempat menunaikan haji, maka tidaklah dia berdosa. Namun, jika dia mempunyai ghalabatu dzan (dugaan kuat) bahawa kemampuannya akan hilang sebelum dia menunaikan haji, maka dia tidak boleh menangguhkan hajinya. (Lihat, al – ‘Allamah Syeikh Taqiuddin an-Nabhani, as Syakhsiyyah al Islamiyyah , Juz III/41 ;Ibn Qudamah al-Mughni , m/s 660).

Kelebihan Sepuluh Hari Awal Zulhijjah

Maha Besar Allah kerana telah memberikan lagi peluang kepada hambaNya untuk meraih pahala yang berlipat ganda pada bulan selain Ramadhan. Dalam bulan Zulhijjah, Allah SWT telah menganugerahkan kita hari-hari yang dibesarkan dan dimuliakan olehNya iaitu sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah, Hari Arafah, Aidil Adha dan Hari Tasyriq.

“Demi waktu fajar. Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah)” [TMQ al-Fajr (89): 1-2].

Terdapat juga beberapa hadis yang menyebut tentang kebaikan bulan Zulhijjah. Antaranya Rasulullah SAW bersabda; “Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan daripada sepuluh hari ini” [HR al-Bukhari].

Majoriti ulama’ menyatakan sepuluh hari itu merujuk kepada hari pertama hingga sepuluh Zulhijjah dan bukan sepuluh terakhir Ramadhan (Zad Al- Ma’ad, Ibn Qayyim). Antara amalan yang amat digalakkan sepanjang sepuluh hari terawal Zulhijjah yang diketahui sangat besar pahalanya adalah seperti berzikir seperti mana yang disebutkan oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud;

Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu” [TMQ al-Hajj (22): 28].

Selain berzikir, umat Islam juga disunatkan berpuasa, bersedekah, bertakbir (sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu Asar hari ketiga tasyrik) dan melakukan korban. Allah SWT berfirman;

“(Beribadahlah) dengan ikhlas kepada Allah tanpa mempersekutukanNya” [TMQ al-Hajj (22): 31].

“Demikianlah (perintah Allah). Dan barangsiapa mengagungkan syiar-syiar Allah maka sesungguhnya hal itu timbul dari ketakwaan hati” [TMQ al-Hajj (22): 32].

 Hadis Riwayat at-Tarmidzi, Abu Daud, Gharib menyebut: “Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai Allah SWT pada hari korban kecuali berkorban (dengan menyembelih binatang)”.

Demikianlah ibadah-ibadah yang sepatutnya dikejar oleh kaum Muslimin dalam bulan Zulhijjah demi meraih sebanyak-banyak pahala dan meraih keredhaan Allah SWT. Keutamaan yang ada pada bulan Zulhijjah akan menjadikan seseorang agar istiqamah dalam mengejar keutamaan yang banyak untuk menjalankan ketaatan-ketaatan kepada Allah dan menghindari seluruh keburukan dengan menjauhkan dirinya daripada perbuatan dosa dan kemaksiatan serta melatih diri agar memiliki keperibadian Muslim yang soleh dan selalu berpegang teguh dengan keimanan kepada Allah dan RasulNya pada sepanjang masa.

Wallahu’alam bissawab.