Mini Seminar Khilafah Islamiyyah Di Kampar
Dalam kertas kerja pertama, Ustaz Ridhuan Hakim membentangkan fakta sejarah dan politik negara Islam (Khilafah) yang bermula sejak 1H sehingga keruntuhannya pada 28 Rejab 1342H. Dalam pembentangannya beliau menekankan aspek kehidupan yang cemerlang dan gemilang yang pernah dikecapi umat Islam sepanjang 1300 tahun dan merupakan rekod tamadun manusia yang paling hebat. Di akhir ceramahnya beliau menyatakan bahawa zaman kegemilangan Islam pasti akan kembali melalui beberapa bukti ayat Quran dan hadis Nabi SAW serta beberapa petunjuk kenyataan politik semasa. Sementara itu, kertas kerja kedua pula disampaikan oleh Ustaz Abu Aiman. Dalam kertas kerjanya beliau menyampaikan beberapa dalil syarak dan pendapat para ulamak mengenai kewajipan umat Islam menegakkan semula Daulah Islam (Khilafah) yang telah dijatuhkan oleh usaha puak nasionalis Turki yang dipimpin oleh Mustafa Kamal. Katanya, umat Islam wajib berusaha bersungguh-sungguh menunaikan tanggungjawab ini agar terlepas dari dosa (kerana tidak berbuat apa-apa mengenainya). Menurutnya lagi, kewajipan ini sama seperti kewajipan-kewajipan lain yang dituntut oleh syarak.
Selain dari mendengar penyampaian kertas kerja, para hadirin juga disajikan dengan pameran Khilafah, jualan buku dan cenderahati Hizbut Tahrir serta tayangan video. Majlis yang berlangsung sehingga jam 1.30 petang diakhiri dengan bacaan doa dari En. Abdul Hamid setelah sesi soal-jawab ditutup.