Minyak percuma: Gula-gula PRU15 mula ditabur
Sebagaimana yang boleh dijangka dengan mudah, walaupun kita masih belum masuk fasa kempen, tetapi gula-gula PRU15 telah pun mula ditabur oleh beberapa orang calon atau bakal calon yang akan bertanding pada 19 November nanti.
Isi minyak percuma di stesen-stesen minyak terpilih adalah antara langkah popular yang sering dilakukan oleh ahli politik. Walaupun ia biasanya terhad kepada sejumlah penunggang motosikal berkuasa kecil sahaja, namun langkah sudah cukup untuk menarik perhatian orang ramai.
Begitulah antara jenis “gula-gula” yang ditabur, tidak perlu banyak, dan tidak perlu mahal, tetapi cukuplah seadanya, kerana yang penting ialah adanya iklan dan propaganda bagi memastikan seluruh dunia mengetahuinya.
Kita tidak menafikan mungkin ada sedikit keberkesanan langkah ini bagi si penabur, tetapi realitinya ramai rakyat sudah celik dan tidak lagi termakan dengan taktik seperti itu. Rakyat mungkin berebut untuk mendapatkan gula-gula yang ditabur, tetapi untuk “pangkah” orang yang menaburkan itu belum tentu.
Seperkara yang rakyat perlu faham ialah minyak sebenarnya merupakan hak rakyat, yang wajib dikelola oleh pemerintah untuk kepentingan rakyat, dan hasilnya wajib dikembalikan kepada rakyat.
Sejak puluhan tahun pemerintah telah merampas berbilion ton hak rakyat ini, dan sekali-sekala mereka “memulangkan” beberapa titik kepada rakyat, untuk menunjukkan kebaikan mereka (pemerintah).
Sesungguhnya rakyat tidak memerlukan pemerintah seperti ini, tetapi memerlukan pemerintah yang akan mengelola minyak, gas asli, emas, arang batu, bijih timah, bauksit dan lain-lain sumber alam bagi kepentingan rakyat, dan memulangkan segala keuntungannya kepada rakyat.
Inilah hukum Islam ke atas kesemua hasil bumi yang tidak pernah putus ini, iaitu ia merupakan al-milkiyyah al-ammah (milik umum), bukannya milik pemerintah atau diserahkan oleh pemerintah kepada syarikat-syarikat tertentu untuk dikaut segala keuntungannya.
Siapa pun yang menjadi pemerintah dan tidak berhukum dengan hukum Islam, maka selagi itulah kita akan menyaksikan mereka akan terus merampas dan mengaut keuntungan daripada harta rakyat, dan apabila tiba musim pilihan raya, mereka akan menabur sedikit gula-gula dalam rangka menutup kejahatan mereka selama ini.
Semoga PRU15 ini semakin menyedarkan rakyat betapa mereka terus tertipu dengan permainan para politikus yang sebenarnya mementingkan diri sendiri dan parti masing-masing sahaja. PRU sebenarnya tidak pernah menguntungkan rakyat, tetapi hanya menguntungkan golongan elit pemerintahan sahaja.