Muslihat Amerika Di Dalam Krisis Nuklear Korea Utara
Apakah reaksi dunia antarabangsa terhadap peristiwa ini? Apakah ia akan menyebabkan peningkatan ketegangan dan ancaman peperangan, atau menolak kemungkinan berlaku perang, bagaimana dengan rundingan, apakah masih boleh diteruskan? Apakah sebenarnya yang menyebabkan Korea Utara yang sebelum ini akur untuk menghentikan program nuklearnya tiba-tiba berubah?
Benar. ketegangan semakin memuncak terutama sejak Korea Utara menolak untuk meneruskan gencatan senjata yang telah ditandatangani di antara Korea Utara dan AS pada 27 Julai 1953 yang mengakibatkan terhentinya Perang Korea yang berlaku sejak 25 Jun 1950. Gencatan senjata bukanlah perdamaian, ia hanya menghentikan konflik bersenjata. Peningkatan ketegangan mula terjadi ketika Korea Utara melancarkan ujian nuklear pada bulan Oktober 2006 yang lepas dan mencapai kejayaan di mana bulan lalu Korea Utara telah menguji peluru berpandu balistik yang memberi petunjuk bahawa Korea Utara berhasil melancarkan peluru berpandu nuklear jarak jauh tanpa menggunakan jet pejuang, bahkan boleh dihentikan sebelum mencapai sasaran. Setelah ujian terakhir pada 25 Mei 2009, ketegangan mula mencapai tahap yang lebih membimbangkan ketika diberitakan bahawa ujian nuklear berjaya dilakukan.
Reaksi Antarabangsa
Pelbagai reaksi antarabangsa mula muncul dari berbagai negara mendesak Dewan Keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memberikan hukuman kepada Korea Utara. Ketika Korea Utara memberikan amaran untuk mengambil tindak balas, agensi berita Korea Utara telah mengeluarkan kenyataan pada 25 Mei 2009 melalui jurucakap Kementerian Luar Negeri Korea Utara seperti berikut “Jika Dewan Keamanan PBB melakukan sebarang tindakan provokasi, maka Korea Utara akan mengambil tindakan balas dengan meningkatkan pertahanannya ke tahap yang tertinggi.”
Reaksi pentadbiran AS pula dapat dilihat di dalam kenyataan Obama, “Usaha Korea Utara untuk mengembangkan senjata nuklear dan program peluru berpandu balistik adalah ancaman terhadap kedamaian antarabangsa dan keamanan, dan saya mengutuk tindakan mereka. Korea Utara mengancam ketenangan masyarakat Asia Timur dan ini merupakan satu pencabulan terhadap undang-undang antarabangsa dan juga terhadap komitmen Korea Utara sendiri. Kini AS dan masyarakat antarabangsa harus mengambil tindakan.” [Rusia Today: 25.05.2009].
Menteri Pertahanan AS, Robert Gates pula mengatakan dalam Forum Persidangan Keamanan Asia di Singapura, “AS tidak akan menerima status Korea Utara sebagai negara yang memiliki senjata nuklear.” Dia mengingatkan bahawa akan terjadi perlumbaan senjata nuklear dan berkata, “Kami tidak akan berdiam diri jika Korea Utara meningkatkan kemampuan untuk menjadi sumber kehancuran bagi jiran tetangganya mahupun AS.” Mengenai isu pemilikan senjata nuklear, Gates berkata, “ Eksport senjata nuklear atau bahan mentahnya dari Korea Utara ke negara lain atau ke individu tertentu adalah ancaman bagi AS dan sekutunya, dan kita menuntut Korea Utara untuk bertanggungjawab terhadap tindakan tersebut.”[Al-Jazeerah: 30.05.09]. Ini adalah luahan kemarahan AS terhadap perbuatan Korea Utara dan menyatakan ancaman terhadap kedamaian dunia, terutamanya di Asia Timur Laut dan AS akan melakukan amaran terhadap Korea Utara untuk tidak memindahkan teknologi nuklearnya ke Negara-negara lain atau individu lain.
Permasalahan AS dengan program nuklear Korea Utara bukanlah baru kerana ia bermula sejak tahun 1986 lagi iaitu ketika AS menuntut maklumat lengkap dari Korea Utara, yang menolak untuk memberikannya ke AS tetapi kemudiannya mengirim maklumat setebal 19,000 halaman tentang program nuklearnya ke China. Ini menjadikan hubungannya dengan AS bertambah tegang. Perjanjian antara AS dan Korea Utara terjadi di tahun 1994 setelah AS mengancam akan menjadikan reaktor nuklear Korea Utara sebagai sasaran serangan tepat. Perjanjian tersebut memaksa Korea Utara untuk menghentikan program nuklearnya, lalu ia pun menutup reaktor Yongbyon yang telah beroperasi sejak 1987. Sebagai gantinya, AS akan mengirim 2 jenis reaktor ‘light-water’. Namun AS tidak memenuhi janjinya, sehingga Korea Utara mengambil keputusan untuk kembali mengaktifkan semula program nuklearnya, ia mula menghidupkan reaktor Yongbyon, dan menghalau keluar 2 pemerhati antarabangsa pada tahun 2002. Ini terjadi setelah AS menuduh Korea Utara melakukan program nuklear sulit dan Korea Utara membalas balik dengan menuduh AS tidak menepati janjinya.
Pada bulan Oktober 2006, Korea Utara mengumumkan ujian nuklearnya yang pertama dan pada bulan Februari 2007, 6 negara berkumpul (Korea Selatan, Korea Utara, AS, Rusia, Cina, dan Jepun) dan sepakat untuk menghentikan operasi reaktor Yongbyon, dengan insentif pengiriman bahan bakar dan bantuan dari AS sebanyak 25 juta dolar. Setelah bantuan tunai sampai ke Korea Utara, ia akan membenarkan pemeriksaan dari pemerhati antarabangsa serta menutup reaktor Yongbyon. Pada bulan Julai 2008, Korea Utara mengirim laporan tentang program nuklear sesuai dengan perjanjian yang telah disepakati. Proses rundingan terhenti di tahun 2008 kerana perbezaan persepsi dalam memantau ketaatan Korea Utara di dalam menghentikan program nuklearnya.
Pada awal tahun ini, Korea Utara mengumumkan untuk menarik diri dari rundingan 6 negara dan mula mengaktifkan kembali aktiviti reaktor Yongbyon setelah menghalau keluar dua pemerhati antarabangsa dan mengancam untuk memulakan ujian nuklear. Pada bulan April tahun ini, Korea Utara melakukan ujian pelancaran roket jarak jauh yang boleh membawa satelit. Dewan Keamanan PBB kemudian mengeluarkan resolusi mengutuk ujian roket itu dan mendesak untuk melaksanakan hukuman yang sebelumnya telah dibekukan iaitu resolusi no. 1718 pada tahun 2006, yang dikeluarkan setelah ujian nuklear Korea Utara yang pertama. Pada 14 April 2009, Korea Utara menarik diri dari rundingan 6 negara sebagai protes terhadap hukuman ke atas dirinya sehari sebelum itu. Korea Utara menyatakan bahawa rundingan 6 negara tidak membawa erti apa-apa, sehingga mereka tidak lagi terikat untuk mematuhi sebarang perjanjian. Beberapa ketika yang lalu, iaitu pada 25 Mei 2009, Korea Utara mengumumkan bahawa ujian nuklear terbarunya berjaya.
Dari fakta tersebut, nampak bahawa punca mengapa Korea Utara berdegil adalah kerana AS sendiri yang berlaku curang terhadap Korea Utara dengan tidak memenuhi janjinya. Namun, Korea Utara juga sudah meramalkan kemungkinan tersebut pasti berlaku. Disebabkan itulah, ketika ia melihat AS berusaha mengelak, Korea Utara pun kembali mengaktifkan aktiviti nuklearnya. Nampaknya AS pun tidak berlaku tegas, mungkin kerana tidak mahu hubungannya dengan China terganggu, kerana AS memiliki kepentingan yang jauh lebih besar dengan China berbanding reaktor nuklear Korea Utara.
Di samping itu, perbuatan, pernyataan dan tanggapan AS terhadap peristiwa di Asia Timur Laut menunjukkan tujuan AS yang jelas. Salah satunya adalah untuk meningkatkan pengaruhnya di sana sehingga menyebabkan negara-negara di wilayah tersebut semakin bergantung kepadanya. Hal ini untuk memastikan kedudukan Amerika sebagai pengeksploitasi dan pemeras kerana AS memiliki jumlah tentera yang besar iaitu sekitar 250 ribu orang. Maka kita lihat Setiausaha Pertahanan AS Robert Gates melakukan pertemuan khusus dengan rakan sejawatnya dari Korea Selatan dan Jepun sepanjang majlis Forum Keamanan Asia yang berlangsung di Singapura, di mana selepas itu ia mengumumkan, “Adalah penting bagi AS, Korea Selatan, dan Jepun serta seluruh dunia untuk bekerjasama dalam menyelesaikan masalah yang pelbagai dimensi ini.” [Radio Sawa: 31.05.09].
Ini bererti , AS berusaha melakukan manipulasi di dalam krisis ini untuk menguatkan kedudukannya di wilayah ini dan menunjukkan kepada China bahawa AS tidak segan untuk mengumumkan perang terhadap negara-negara jiran mahupun sekutu China seperti Korea Utara pada bila-bila masa sahaja. Di pihak lain, AS ingin menggunakan kesempatan untuk memeras China supaya mendapatkan kerjasama di bidang ekonomi, perdagangan, dan kewangan juga masalah politik serantau sehingga boleh menunda penyatuan Taiwan ke China. Maka Cina boleh dikendalikan dan dibatasi ruang geraknya pada perbatasannya sahaja dengan menggunakan alasan program nuklear dan peluru berpandu Korea Utara. Ini tidak pelik dan boleh dijangka dari sikap AS menempatkan senjata anti peluru berpandu di Poland dan radar pengesan di Republik Czech untuk menghadapi Rusia dengan menggunakan Iran dan Korea Utara sebagai alasan.
Mengenai sikap China, ianya adalah hal berulang ketika Korea Utara melaksanakan ujian pertama kali. China telah meminta Korea Utara untuk menahan diri dan memberikan peluang rundingan diplomatik. Dalam Forum Keamanan Asia di Singapura, Ketua Staff Tentera China Ma Shao Tian mengusulkan untuk bersikap tenang dan menggunakan kaedah yang tepat dalam menghadapi Korea Utara. Dia juga menyeru untuk dihapuskan semua bentuk pemilikan senjata pemusnah di wilayah ini.[Al-Jazeerah: 30.05.09].
Hal ini menunjukkan bahawa China tidak bersedia menghadapi kemungkinan diserang Korea Utara. Sebagaimana AS yang mengeksploitasi isu nuklear, China juga berusaha menggunakan isu ini untuk kepentingannya iaitu dalam menghadapi masalah Taiwan agar boleh disatukan kembali ke China. Tujuan China adalah memberikan tekanan kepada AS agar melepaskan dukungannya kepada Taiwan sehingga tidak menolak usaha China dalam mengambil alih Taiwan. Oleh itu, AS dan China sama-sama menggunakan isu Korea Utara untuk Taiwan tapi dalam arah yang berlawanan.
Sedangkan bagi Korea Selatan, ia tidak ingin melihat situasi bertambah buruk yang akan menyebabkan tercetusnya peperangan, sehingga mengakibatkan dirinya menjadi korban. Menteri Pertahanan Korea Selatan, Lee Sang-Hee menyatakan dalam Forum Keamanan Asia di Singapura bahawa negaranya akan tetap berunding dalam kelompok 6 negara dan masyarakat antarabangsa untuk mendapatkan penyelesaian krisis Korea Utara. [Al-Jazeerah: 30.05.09]. Korea Selatan secara berterusan berusaha menyelesaikan masalahnya dengan Korea Utara dan dua mesyuarat persidangan tinggi yang melibatkan presiden kedua-dua negara tersebut telah pun diadakan pada tahun 2006 dan 2007, hasil inisiatif Korea Selatan.
Mengenai reaksi Rusia, ini dilihat dari kenyataan Pejabat Presiden Rusia dalam perbualan telefon antara Presiden Medvedev dan Perdana Menteri Jepun Taro Aso. Kedua-dua belah pihak bersepakat untuk memberikan tanggapan yang serius dari perbuatan yang boleh mengancam keamanan dunia [Rusia Today: 30.05.09]. Alexei Borodavkin, Timbalan Menteri Luar negeri Rusia menyeru kepada Pyong Yang untuk tidak lagi melancarkan ujian peluru berpandu balistik.[Rusia Today: 27.03.09].
Kenyataan tersebut menggambarkan kedudukan Rusia dalam isu Korea Utara yang berbeza dari China dan dengan mengatakan hal ini, Rusia ingin menjalinkan hubungan baik dengan Jepun. Rusia juga tidak memiliki kepentingan di Korea Utara dan juga Rusia tidak mahu AS menggunakan isu Korea Utara sebagai alasan menguatkan pengaruhnya di wilayah tersebut. Rusia ingin Korea Utara terus memiliki komitmen di dalam perundingan 6-negara dan tidak menarik dirinya, agar penyelesaian boleh dicapai dan menghentikan konflik di semenanjung Korea tersebut.
Apakah ketegangan ini akan mengarah kepada tercetusnya perang, atau apakah AS akan menyerang Loji Nuklear Korea Utara adalah kemungkinan yang sangat kecil serta minimum dalam masa terdekat. AS tidak menggunakan tindakan ketenteraan ketika Korea Utara tidak memiliki nuklear ataupun peluru berpandu balistik, dan AS juga sudah mengetahui rancangan Korea Utara untuk menguasai teknologi nuklear ini. Maka bagaimana mungkin AS akan menyerang Korea Utara ketika ia sudah memiliki senjata nuklear dan memiliki hubungan yang erat dengan China?
Namun demikian, AS akan menggunakan insentif dan cara lain untuk memujuk Korea Utara agar kembali ke meja rundingan dengan melibatkan Korea Selatan, dan mencari ruang untuk berkomunikasi dengan elemen-elemen Korea Utara. Dengan demikian, AS akan berusaha untuk memulai usaha merubah kepemimpinan Korea Utara agar melahirkan pemimpin yang lebih moderat, iaitu yang memahami kepentingan AS dan mahu menerima insentif yang AS tawarkan.
Inilah cara yang diterapkan AS dengan negara-negara komunis. Pada ketika ini, Korea Utara sedang menghadapi krisis ekonomi yang berat akibat sekatan ekonomi yang ketat. Meskipun hasilnya belum dapat dilihat dengan jelas, AS tetap akan terus mengerahkan seluruh kemampuannya.
(sumber : at tahlil as siyasiyah; Soal-jawab 7 Jamadil Akhir 1430 H / 31 Mei 2009 M; www.hizb-ut-tahrir.org/arabic/)