Muslim Amerika kena intip di masjid
Sehubungan itu, beberapa pihak termasuk Majlis Perhubungan Islam Amerika (CAIR) turut menyuarakan rasa kesal dengan tindakan yang terus menjadikan mereka sasaran ekoran kejadian 11 September 2001.
Presiden George W Bush membenarkan pihak berkuasa melaksanakan program intipan dalam negara selepas kejadian 9/11 berkenaan.
“Sekali lagi, kami terkejut dan kesal dengan tindakan sedemikian. Ia jelas membuktikan masyarakat Islam terus menjadi sasaran, termasuk di masjid yang menjadi tempat kami beribadat,” kata jurucakap CAIR, Corey Saylor kepada akhbar The Los Angeles Times, semalam yang dipetik satu perkhidmatan berita Arab.
Laporan itu menyusuli pendedahan akhbar San Diego Union-Tribune memetik dokumen rahsia mengenai tindakan ejen Biro Siasatan Persekutuan Amerika (FBI) memantau masjid di bandar raya Los Angeles dan San Diego di California.
Laporan itu turut menyenaraikan Pusat Islam San Diego sebagai salah satu institusi Islam yang diletakkan di bawah pengawasan kerajaan.
“Kami ada mendengar mengenai tindakan itu sebelum ini. Namun, laporan terbaru ini adalah pengesahan pertama yang tindakan pengawasan itu benar-benar berlaku,” kata Saylor.
“Apa yang kami kesal ialah apakah agama kini menyebabkan seseorang itu menjadi sasaran (untuk dipantau)?”
Sementara itu, jurucakap FBI di San Diego enggan mengulas – Agensi
Sumber: Berita Harian 01/06/08
Ulasan:
Sikap prejudis yang ditunjukkan oleh pentadbiran Bush terhadap umat Islam di Amerika hanyalah secebis dari kebencian yang dimanifestasikan oleh musuh Allah ini ke atas umat Islam. Si kafir ini memang tidak akan berhenti dari menyusahkan kita hinggalah kalau boleh, mereka ingin agar kita memeluk agama mereka. Firman Allah swt,
“…mereka tidak akan berhenti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu, mereka suka apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi.” [TMQ Ali Imran (3):118].
“..mereka tidak henti-henti memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka mampu” [TMQ al-Baqarah (2):217].
Sungguh malang nasib yang menimpa umat Islam sekarang. Di saat pemimpin kufur yang jahat ini sentiasa prejudis dan mengawasi mereka, pemimpin mereka sendiri masih boleh bersalaman dan memuji pemimpin kafir ini. Bukti terpampang di depan mata bahawa pemimpin kafir ini membenci kita bukan kerana ‘bangsa’ dan tempat tinggal kita, tetapi kerana persamaan akidah yang kita miliki.
Kita kekadang terkejut dan terkedu apabila ada pemimpin Islam yang bercakap dan bertindak seolah-olah tidak memahami bahawa sememangnya sejak dulu golongan kuffar ini membenci kita kerana ‘agama’ kita (Islam), bukannya kerana perbezaan warna kulit, bangsa, adat mahupun budaya. Bangsa Amerika tidak sama dengan bangsa Melayu. Adat dan budaya Arab berbeza dengan Afghanistan, warna kulit orang Iran berbeza sama sekali dengan orang Afrika, adat dan budaya Afrika pula jelas berbeza dengan Bosnia dan adat serta budaya Bosnia langsung tidak sama dengan Indonesia atau Malaysia. Namun, oleh sebab kita semua adalah beragama Islam, hakikat inilah yang dibenci oleh kuffar Barat. Mereka melakukan pembunuhan demi pembunuhan, pembantaian demi pembantaian bukan kerana perbezaan bangsa kita, adat mahupun budaya kita, tetapi kerana persamaan yang wujud di antara kita (yakni) sebagai umat Islam, umat yang memiliki akidah yang satu. Inilah yang menjadi punca kebencian mereka dan Allah telah menerangkan bahawa kebencian mereka (terhadap Islam dan kaum Muslimin) ini tidak dapat dicabut dari jiwa-jiwa kotor mereka hingga kiamat.
Sesungguhnya kebencian dan permusuhan Bush serta pemimpin kafir Barat lainnya terhadap Islam adalah teramat nyata dan sudah terang lagi bersuluh. Beratus buah buku boleh dikarang jika mahu mengutip kata-kata dan tindakan pemimpin kafir Barat terhadap Islam dan kaum Muslimin. Namun, pemimpin kaum Muslimin yang sudah tidak tahu malu masih tetap berpelukan dengan musuh Allah dan Rasul ini. Bahkan ada di kalangan mereka yang tetap mempertahankan bahawa Barat yang kafir itu tidak membenci atau tidak sepatutnya membenci Islam dan umat Islam. Mereka seolah-olah tidak membaca dan meyakini ayat-ayat Allah bahawa,
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka” [TMQ al-Baqarah:120].
Sesungguhnya dunia ini tidak akan aman selagi pemimpin kufur musuh Allah ini tidak dihapuskan, dan satu-satunya jalan untuk menghapuskan mereka ini adalah dengan adanya kekuatan sebuah Daulah Khilafah yang akan melawan kekuatan yang mereka miliki dan di saat itu Insya Allah, kemenangan akan berpihak kepada kita dengan bantuan dari Allah dan para malaikat.