Muslim Rohingya perlu lebih dari zakat

Gambar UL220615Belum selesai lagi isu layanan ‘acuh tak acuh’ yang diberikan kerajaan ke atas Muslim Rohingya yang terdampar di Malaysia, kini, nasib Muslim Rohingya sekali lagi dijadikan bahan pertikaian apabila golongan itu dinafikan hak ke atas zakat. Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Che Mat Che Ali menyifatkan kutipan wang zakat di negara ini lebih ‘afdal’ diberi keutamaan dan disalurkan kepada rakyat negara ini sebelum digunakan untuk membantu pelarian Rohingya.

Che Mat mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman yang berkata, kutipan wang zakat di negara ini boleh digunakan untuk membantu pelarian Rohingya kerana mereka termasuk dalam kategori ‘al-qiqab’, salah satu golongan asnaf. Mufti Pahang itu berkata, ‘ar-riqab’ bermaksud ‘seseorang yang terbelenggu dan tiada kebebasan diri’ yang berada dalam posisi kelima yang berhak menerima zakat, selepas fakir, miskin, amil, dan mualaf.

Persoalan asas dalam isu ini bukanlah zakat, apatah lagi meletakkan Muslim Rohingya dalam kategori yang salah sebagai ‘al-riqab’ (hamba) kerana Muslim Rohingya bukanlah hamba dan bukan juga ibnu sabil (anak jalan) yang kehabisan bekal. Muslim Rohingya adalah sekelompok Muslim yang ditindas di tanah air mereka sendiri hingga ke tahap mengancam nyawa mereka yang memaksa mereka lari dari kampung halaman dalam keadaan serba dhaif untuk mencari tempat penghidupan yang baru.

Mereka adalah saudara seakidah kita yang wajib dibantu, apatah lagi oleh pemerintah, yang mana di tangan pemerintahlah terletaknya taklif (bebanan) yang paling besar untuk menyelamatkan setiap Muslim yang tertindas atau berada dalam penderitaan, seperti pelarian Rohingya ini.

Malangnya, pemerintah tidak mempedulikan mereka atas sebab batas sempadan negara yang palsu ini, sehingga mereka dianggap sebagai orang luar atau pelarian yang tidak layak untuk bertempat tinggal di sini. Pemerintah bukan sahaja telah tidak mempedulikan kewajipan dan ukhuwwah Islamiyyah, malah peri kemanusiaan pun turut hilang dari diri pemerintah, hanya semata-mata kerana sempadan negara assabiyyah yang wujud pada hari ini.

Itu dari satu aspek. Dari aspek yang lain, sesungguhnya pengurusan zakat di Malaysia banyak tersasar dari hukum syarak. Menganggap Muslim Malaysia lebih utama untuk dibantu berbanding Muslim Rohingya itu sendiri sudah menunjukkan kesalahan berfikir yang parah dalam diri pihak yang berkenaan. Muslim adalah bersaudara dan tidak ada keutamaan seorang Muslim atas Muslim yang lain disebabkan bangsa atau tempat asalnya. Mana-mana Muslim yang memerlukan bantuan, maka ia wajib dibantu tanpa memandang lagi asal-usul mahupun keturunannya.

Tanpa menafikan kewujudan fakir dan miskin di Malaysia, sekali imbas sahaja, kita tahu betapa Muslim Rohingya sangat terdesak dan lebih memerlukan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat perlindungan berbanding Muslim Malaysia. Apakah ini tidak melayakkan mereka dibantu atau menerima wang zakat? Bukankah wang zakat yang dipungut jumlahnya ratusan juta setiap tahun? Apakah sedikit pun langsung tidak ada peruntukan untuk membantu Muslim Rohingya yang sangat memerlukan ini? Atau sebenarnya pemikiran pihak yang bertanggungjawab dengan pengurusan zakat di Malaysia ini yang bermasalah?

Apa alasannya sekalipun untuk tidak membantu Muslim Rohingya, pemerintah dan pihak pengurusan zakat kena bersedia untuk menjawab dengan Allah SWT nanti darihal amanah yang mereka pikul ini. Apakah mereka fikir yang Muslim Rohingya (dan lain-lain Muslim) tidak akan mengadu kepada Allah di akhirat nanti tentang tindakan mereka ini?

http://www.astroawani.com/berita-malaysia/zakat-rohingya-ramai-lagi-rakyat-kita-yang-susah-che-mat-61390