Nahdhah Fikriyyah : Kembalikan Peranan Wanita Sebagai Isteri Dan Ibu

Mukaddimah
Peranan hakiki wanita sebagai isteri dan ibu tidak boleh dipandang sebelah mata. Isteri dan ibu memainkan peranan yang luar biasa dalam mengurusi urusan suami, anak-anaknya dan berbagai macam keperluan rumahtangga serta ahli keluarganya. Mereka ibarat seorang jurutera domestik yang berperanan untuk memastikan segala pengurusan dalam rumahtangga dan keperluan ahli rumah dipenuhi. Namun sayang, tidak semua wanita yang bergelar isteri dan ibu berjaya menjalankan peranannya secara sempurna. Di sekeliling kita kini, ramai para ibu yang ‘dipaksa’ terjun membanting tulang di luar rumah untuk membantu menjana ekonomi keluarga.

Wanita Hakiki Mula Pupus
Standard kehidupan yang dipakai dalam sistem kapitalisme hari ini adalah pola hidup berasas manfaat. Sistem kapitalisme menyasar eksploitasi terhadap manusia sehingga wanita menjadi mangsa pemberdayaan tenaga kerja. Tujuan keberlangsungan eksploitasi ekonomi terhadap wanita terus berlansung jaya tanpa cela sehingga ramai wanita yang masih tidak menyedarinya. Mereka terus merasakan bahawa penglibatan mereka dalam menjana ekonomi keluarga adalah suatu ‘pengorbanan’ mulia yang mereka lakukan demi memastikan ahli keluarga hidup bahagia tanpa derita.

Berapa ramai wanita yang ‘terpaksa’ keluar rumah dan melawan arus fitrah penciptaannya sebagai wanita dengan menyerahkan tugas hakikinya kepada orang lain? Ada yang keluar seawal pagi dalam kekalutan kerana bimbang lewat ke tempat kerja, menjelang Isyak baru tiba di ruma. Anak-anak yang berhak mendapat belaian dan didikan ibu akhirnya hanya menjadi ‘hiasan’ bukan lagi perhatian ibunya kerana si ibu sudah tiada kudrat lagi tatkala kaki memijak rumah. Suami yang seharusnya menjadi kekasih dan sahabat hanya dipandang lesu, tiada lagi bicara galak dan ramah, tiada lagi cerita dan kisah untuk dikongsi rasa. Yang ada hanyalah keheningan yang menambah kesunyian malam. Setiap daripada wanita ini bergelut untuk menjamin keberlangsungan tuntutan hidup dunia. Gelaran wanita berkerjaya, professional, multifungsi dan tidak lupa supermom diberi kepada wanita demi memastikan kelestarian wanita untuk diekpoitasi selagi manfaat dapat dicapai.

Ini berlaku kerana sistem kapitalime beranggapan bahawa peranan sebagai ibu ini tidak memberikan ‘pulangan’ dalam aspek ekonomi dan politik yang signifikan. Inilah rupa buruk kapitalisme yang memang hanya akan menghargai sesuatu yang memberi manfaat dan menghasilkan duit. Bagi sang kapitalis,  peranan wanita sebagai isteri dan ibu sekaligus sebagai pendidik anak-anak adalah peranan yang tidak mendatangkan manfaat dan duit. Sehingga para wanita didorong untuk menyumbang tenaga dalam menjana ekonomi negara. Akibatnya, peranan dan fungsi ibu sebagai pendidik generasi yang cemerlang terabaikan. Maka, ia adalah sesuatu yang tidak asing lagi pada saat ini jika kita temukan generasi gangsterisme, penagih dadah, penagih seks bebas, copy-paste budaya asing, jumud dan generasi yang lemah  serta gagal dalam menentukan hala tuju kehidupan. Nilai-nilai manusiawi mulai menghancur kerana pendidik dan pengatur rumahtangga manusia sudah mula ‘pupus’ kerana menjadi mangsa perangkap kapitalisme.

Wanita, Isteri dan Ibu
Sebagai salah satu bentuk membenarkan keimanan kita kepada Allah SWT dan aqidah Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW, setiap Muslimah mestilah meyakini bahawa penciptaan anak Adam itu bukanlah tiada tujuannya. Firman Allah SWT,

Dan tidak aku ciptakan jin dan manusia kecuali hanya untuk beribadah kepadaKu[TMQ adz-Dzaariyyat (51):56].

Rasulullah SAW bersabda, “Ingatlah, setiap kalian adalah pemimpin yang akan dimintai pertanggung jawaban atas kepemimpinannya. Seorang amir (kepala Negara adalah pemimpin bagi rakyatnya, yang akan dimintai pertanggung jawaban atas kepemimpinannya; seorang lelaki adalah pemimpin dalam rumah tangga, yang akan dimintai pertanggung jawabannya atas kepemimpinannya, seorang wanita adalah pemimpin atas rumah tangga suaminya dan anak-anaknya, yang akan dimintai pertanggung jawaban atas kepemimpinannya”  [HR Bukhari dan Muslim].

Ini bermakna, secara fitrahnya kejadian wanita sebagai isteri dan ibu sebagai pengurus rumahtangga bukanlah sesuatu yang bersifat utopia, tetapi ia adalah peranan khusus yang Allah SWT hadiahkan kepada wanita.

Mengingatkan kembali pada peranan utama seorang wanita adalah sebagai ummun wa rabbatul bait (ibu dan pengatur urusan rumahtangga), maka wajarlah kiranya kita berusaha untuk mengembalikan semula peranan wanita ke posisinya yang benar.  Posisi mulia ini hanya akan dinikmati oleh para wanita dalam sistem kehidupan Islam yang dijalankan oleh sebuah negara yang dinamakan Daulah Khilafah, bukannya sistem kapitalisme seperti hari ini. Islam meletakkan posisi ibu sebagai pengatur urusan rumahtangga bukan dalam rangka mengekang langkah dan membantutkan prestasi wanita di dalam rumah. Islam memberikan label ibu sebagai pengatur urusan rumahtangga, bukan sebagai tukang cuci dan tukang masak bagi suami dan anak-anaknya.

Malah melalui peranan ibulah, anak-anak menerima pendidikan yang sempurna berdasarkan aqidah Islam serta keterikatan dan kepatuhan kepada hukum syarak yang menjamin kelahiran generasi khairu ummah (umat terbaik). Sebagai isteri, Islam meletakkan wanita sebagai kekasih dan rakan seperjuangan kepada suaminya dalam mengurusi rumahtangga, bukannya sebagai orang gaji atau hamba. Hanya dengan Islamlah wanita dimuliakan dan akan hidup sejahtera. Keadaan ini amat berbeza sekali dengan peranan wanita dalam sistem kapitalisme yang hanya mengerah tenaga wanita untuk dijadikan hamba-hamba demi manfaat ekonomi. Dalam Daulah Khilafah, pemimpinnya iaitu Khalifah tidak pernah dan tidak akan pernah membiarkan keadaan ini berlaku terhadap kaum wanita.

Khatimah

Jelaslah bahawa hanya Islam yang dapat mengembalikan wanita kepada fitrahnya yang suci iaitu sebagai isteri, ibu dan pengatur rumahtangganya. Sistem kapitalisme yang telah melemparkan bebanan masalah dan konflik ke atas bahu wanita pada hari ini telah menghancurkan fitrah tersebut. Sampai masanya kita campak sistem kapitalisme ini jauh-jauh daripada kita. Marilah para wanita, isteri dan ibu!  Ayuh kembali meraih kemuliaan hidup di dunia dan akhirat kelak dengan melaksanakan kewajipan-kewajipan kita sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Zat Yang Maha Mencipta. Ayuh bersama tegakkan kembali Daulah Khilafah yang suatu masa dulu pernah memerintah dunia sehingga seluruh manusia hidup sejahtera di bawah naungannya termasuklah kaum wanita.

Wallahu’alam