Nahdhah Fikriyyah : Saatnya Wanita Meraih Kemuliaan

NAHDHAH FIKRIYYAH – EDISI 13 SIRI 4 RAMADHAN 1434H / OGOS 2013

SAATNYA WANITA MERAIH KEMULIAAN

Dua puluh Ramadan 8 Hijrah. Derapan kaki kuda memecah keheningan. Ketakutan bertembung keagungan. Pasukan Islam menembus kota Makkah. Rasulullah S.A.W memasukinya dari al-Hajjun, berhampiran kubur Sayyidah Khadijah. Tiada pertumpahan darah. Yang ada hanya seruan untuk mendapat perlindungan dan keampunan. Wanita segarang Hindun binti Utbah berbaiat kepada Rasulullah S.A.W, penuh sesal atas perbuatannya kepada jenazah Hamzah bin Abdul Muthallib. Turut masuk Islam bersamanya adalah Abu Sufyan suaminya dan anak perempuan mereka. Ummu Hakim juga mengisytihar syahadah, malahan memintakan ampun bagi suaminya, Ikrimah bin Abu Jahal.

Fathul Mekah Membebaskan Wanita
Itulah satu peristiwa yang berlaku di bumi Mekah. Negeri yang menjadi saksi keperitan wanita di masa jahiliyyah. Adat mereka menafikan harta pusaka bagi perempuan kerana “Tiada waris melainkan bagi yang menghunus pedang dan melindungi kaum wanita”. Sebaliknya wanita – jika suaminya meninggal dunia- boleh diwarisi oleh anak lelaki suaminya. Wanita berkenaan tidak boleh berkahwin kecuali dengan izin anak lelaki berkenaan malahan hartanya mesti diserah sepenuhnya kepada anak lelaki yang mewarisinya.

Budaya Arab jahiliyyah turut mengeksploitasi wanita secara seksual. Jumlah isteri tidak dibatasi demikian juga lafaz talak oleh suami. Cukuplah sebagai gambaran kerosakan tradisi mereka yang membenarkan hubungan badan seorang wanita dengan ramai lelaki, malahan seorang suami boleh menyuruh isterinya pergi kepada seorang lelaki yang pandai agar mendapatkan anak yang diharapkan. Tidak ubah seperti mengirim haiwan betina kepada haiwan jantan daripada baka pilihan!

Sesetengah bangsa Arab jahiliyyah bertindak lebih daripada itu.Mereka menolak langsung kehadiran anak perempuan,. Dalam pandangan mereka anak perempuan identik dengan kelemahan, menjadi suatu liability (beban) dalam masyarakat yang kerap berperang, kerana perempuan mudah ditawan sehingga memberi aib kepada kabilahnya. Perempuan juga dianggap sebagai bebanan ekonomi, sehingga mereka tergamak membunuh bayi perempuan darah dagingnya sendiri. Sungguh biadab dan menyayat hati.

Pembukaan kota Mekah (Fathul Mekah) memecah rantai yang membelenggu wanita. Wanita ditempatkan pada kemuliaan yang sama dengan lelaki, jika beriman dan bertaqwa kepada Allah S.W.T. Rasulullah S.A.W menegaskan bahawa, “Sesungguhnya wanita adalah saudara kandung lelaki[HR Ahmad, Abu Daud, at-Turmiz dan ad-Darami].

Allah S.W.T menekankan kesetaraan kedudukan lelaki dan wanita dalam firmanNya, “Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang khusyu’, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang menjaga kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut nama Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar’”  [TMQ al-Ahzab (33):35]

Dengan corak masyarakat yang baru, sistem Islam yang dipimpin wahyu, wanita Mekah menyerlah serinya. Kini mereka sebarisan dengan wanita Madinah ataupun wanita yang telah berhijrah. Mereka berkhidmat untuk keluarga, masyarakat dan agamanya. Mereka menyumbangkan pemikiran, meluruskan kebenaran dan menapaki kemuliaan dengan akal anugerah Allah. Mereka bukan lagi barang yang diguna jika diperlukan, dijual jika menguntungkan kemudian dibuang jika menyusahkan.

Maka, tersebutlah kisah Asma binti Yazid yang menjadi jurucakap demi kebajikan wanita. Sayyidah Aisyah Ummahatul Mukminin menguasai pelbagai cabang ilmu pengetahuan termasuk fiqih, bahasa, faraid, sehinggalah perubatan dan mengajarkannya kepada lelaki dan wanita. Di balik kelembutan Ummu Sulaim, tersimpan azam mendidik anaknya menjadi seorang bertaqwa, walaupun ditentang suaminya. Kefasihan Ummu Sulaim berdakwah berjaya menakluk pemimpin Quraisy Abu Talhah sehingga masuk Islam dan menjadi pejuang agama. Seorang sahabiyah bernama Ummu Haram terbakar kerinduan untuk syahid. Pergilah dia menyertai suaminya ke medan-medan pertempuran sehingga terpenuhi keinginannya menjadi syahidah pertama di samudera. Asy Syifa binti Abdillah yang mahir membaca dan menulis gemar mengajarkan orang ramai termasuklah isteri Nabi S.A.W.  Kerana kemahirannya dalam perubatan, Rasulullah SAW menyediakan rumah khas kepada asy Syifa untuk merawat pesakit.

Di zaman Umar bin Khattab, asy-Syifa diberi kepercayaan mengelola pasar awam. Tidak ketinggalan bekas hamba milik Nabi, Ummu Aiman yang gagap. Cahaya iman menggilapnya menjadi pejuang Islam, sehingga melahirkan Usamah bin Zaid, ‘anak’ kesayangan Rasulullah sekaligus panglima perang muda yang mengalahkan Rum pada tahun 11 Hijrah. Begitulah gambaran kaum wanita yang jiwanya disinari keimanan, dilimpahi petunjuk wahyu. Mereka berlumba menjadi mutiara dunia dan bidadari surga. Perhiasan mereka bukan kosmetik atau emas dan perak, melainkan ilmu dan taqwa.

Wanita Tersungkur di Lembah Kehinaan
Zaman berganti, pedoman wahyu diketepikan. Kini umat kembali dilanda fitnah yang tidak ubah seperti kenistaan di zaman jahiliyyah, Wanita Islam kembali dieksploitasi secara seksual. Dalam pertandingan ratu cantik apapun namanya, Miss World atau Miss Universe, rupa wajah dan tubuh badan menjadi ukuran utama, walaupun kononnya faktor lain turut diambil kira. Walaupun penyertaan gadis Islam dibantah, tetapi hakikat bahawa acara ini boleh diadakan di negara-negara muslim sangat mendukacitakan. Eksploitasi keindahan wanita ini juga ketara dalam dunia hiburan dan pengiklanan. Mulai dari kereta mewah hingga pisau cukur, iklan-iklan promosi tidak lepas daripada penglibatan model wanita bersolek menjolok mata.

Rangkaian produk kosmetik menjadi kemestian bagi wanita kerana prinsip because I’m worth it (kerana saya layak mendapatkannya). Seolah-olah wanita yang tidak bersolek adalah golongan yang tidak menghargai dirinya sendiri. Golongan bertudung pun tidak terlepas dari fitnah ini. Majalah dan laman web penuh dengan tips menjadi hijabist fashionista,  muslimah yang menjadi sebahagian daripada dunia fesyen moden. Seolah-olah berjilbab ‘sahaja’ menyebabkan seseorang menderita kemunduran. Maka fesyen Barat pun diubah suai agar menjadi islamik, membungkus badan tetapi cukup menonjolkan kemolekan pemakainya, sehingga kaum lelaki tidak melepaskan peluang memandangnya.

Jika dahulu bangsa Arab jahiliyyah membunuh bayi perempuan hidup-hidup, sekarang ini wanita di segala lapisan umur terancam nyawanya akibat konflik politik yang berpanjangan, kezaliman pemimpin serta penerapan undang-undang buatan manusia. Revolusi Arab Spring misalnya telah mengorbankan banyak wanita Islam, yang menjadi mangsa dera, rogol malahan bunuh. Wanita Rohingnya yang dihalau, dibunuh dan dibakar malahan terdedah kepada kemusnahan etnik akibat tiadanya bantuan daripada pemimpin dan umat Islam di luar negara. Tiadanya jaminan keselamatan di negara-negara tertentu berakibat ramai wanita menjadi mangsa ragut, culik malahan bunuh. Dan apabila kemiskinan makin merebak, wanita bersama kanak-kanak akan menjadi mangsa kebuluran. Belum lagi bahaya pembunuhan kanak-kanak muslim sejak sebelum kelahiran, dengan penggunaan alat dan kaedah perancangan keluarga.

Melihat senario di atas, kita boleh menyimpulkan bahawa penyebab kehinaan wanita dan penderitaan mereka ialah undang-undang yang tidak bersumber wahyu Allah. Ketika sistem masyarakat diatur mengikut tradisi atau tinjauan manafaat pada ukuran manusia, ketenangan tidak akan terwujud kerana manusia tidak mampu membuat peraturan yang adil. Undang-undang yang dicipta selalu memihak kepada golongan yang kuat, padahal mereka sangat mudah dipengaruhi nafsu jahat dan godaan syaitan.

Wanita Mulia dengan Islam
Islam mengatur sistem kehidupan berasaskan kepada wahyu Allah, yang Maha Pengasih dan Penyayang, yang Maha Adil dan Maha Mengetahui. Tidak seperti manusia, pengetahuan Allah meliputi semua hakikat. Tiada sesuatu yang luput dari pengetahuannya, tidaklah Dia lupa atau leka. PengetahuanNya meliputi perkara yang sudah berlaku ataupun akan berlaku. Sudah sepatutnya kita merujuk kepada peraturanNya yang sempurna bagi manusia.

Islam menetapkan hukum-hukum yang menjamin kemuliaan wanita, seterusnya melibatkan wanita dalam usaha mencapai kemuliaan masyarakat. Hal ini diwujudkan oleh tiga pihak iaitu:

1.    Setiap wanita memahami tujuan hidup yang benar,
2.    Masyarakat yang menyayangi wanita dengan landasan ketaqwaan,
3.    Negara yang menjamin hak-hak wanita termasuk membela keselamatan mereka.

Jika setiap wanita menjadikan keredaan Allah sebagai matlamat, mereka tidak akan hanyut dengan bisikan syaitan untuk mendedahkan aurat, meniru budaya kaum kafir dan sebagainya. Ketika wanita berjilbab, berkhidmat untuk suaminya, mengasuh anaknya atau menolong saudaranya seagama, dia tidak menganggapnya sebagai penindasan atau bebanan, tetapi memandangnya sebagai peluang mendapat keredaan Allah.

Jika masyarakat taat kepada al-Quran dan as-Sunnah, mereka akan menghargai dan menyayangi wanita sebagaimana contoh yang ditunjukkan Baginda S.A.W. Rasulullah S.A.W bersabda, “Sebaik-baik kamu adalah yang bersikap baik kepada keluarga/isterinya. Dan aku adalah yang terbaik di antara kamu dalam melayan keluarga/isteriku [HR Tirmizi]. Juga sabdanya “Tidak memuliakan wanita kecuali orang mulia dan tidak menghinakannya kecuali orang yang hina”   [HR Ibnu Asakir].

Dalam khutbah wida’, Nabi S.A.W mengingatkan, “Wahai manusia, kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu, sebagaimana isterimu mempunyai hak ke atasmu. Ingatlah bahawa kamu mengambil mereka sebagai isteri dengan kepercayaan dan kebenaran dari Allah. Jika mereka taat, maka mereka berhak mendapat nafkah, pakaian dan layanan yang baik. Berbuat baiklah kepada mereka, kerana mereka adalah pasangan dan penolong kamu”  [Sirah Ibnu Hisyam]

Negara Khilafah akan menjadikan penjagaan kehormatan wanita sebagai satu tugas penting. Kita pernah mendengar bagaimana Khalifah al-Mu’tashim membela kehormatan seorang muslimah sehingga menghantar ribuan tentera untuk menakluk Rom di Amuria. Adakah di antara pemimpin kita sekarang berbuat sesuatu bagi membela kehormatan muslimah Rohingya? Khalifah Umar bin Khattab pernah menerima pengaduan seorang hamba wanita yang dituduh berzina. Tuannya telah menduduk-kannya di atas api sehingga kemaluannya terbakar. Umar menyiasat perkara ini dan mendapati tiada saksi dan tiada pengakuan dibuat atas tuduhan berkenaan. Demi membela kehormatannya, maka Khalifah Umar menghukum tuannya dengan 100 kali sebat dan memerdekakan si hamba. Jika ini pembelaan Khilafah kepada hamba sahaya, apatah lagi ke atas wanita merdeka seperti kita sekarang?

Khatimah
Wahai sekalian wanita…!
Bukan kerjaya atau kereta besar, bukan juga fesyen bergaya yang membuatmu mulia, melainkan ketaatan kepada Allah dan wujudnya negara Khilafah yang menegakkan semua hukum Allah. Selama 1400 tahun Khilafah telah menjaga agar wanita terlindung, aman dan mulia. Ketika Khilafah dihancurkan, hilanglah perlindungan ini, sehingga wanita terjatuh dalam jurang yang hina. Kemuliaan wanita bukanlah suatu khayalan, tetapi kewajipan yang Allah perintahkan. Wajiblah atas setiap orang beriman untuk mewujudkan semula entiti yang melaksanakan kewajipan itu, iaitu negara Khilafah. Buanglah kehinaan, raihlah kemuliaan…