Najib hijack isu Baitul Maqdis?
MANAMA: Langkah bagi menangani nasib rakyat Palestin akan diketengahkan pada perhimpunan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pemimpin PAS di Putrajaya, Jumaat ini. Menurut laporan, Najib akan menyertai perhimpunan itu bersama-sama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi mengutuk tindakan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara “Israel”. Perdana Menteri berkata, beliau juga akan menjelaskan tentang hasil yang dicapai pada sidang kemuncak luar biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul baru-baru ini.
Berita Harian, Ahad, 17 Disember 2017
Berita Penuh: https://www.bharian.com.my
Ulasan:
Sejak Trump mengumumkan Baitul Maqdis sebagai ibu kota negara entiti Yahudi, umat Islam diseluruh dunia tidak henti melakukan demonstrasi membantah dan mengecam tindakan biadap negara pengganas Amerika Syarikat (AS), termasuklah umat Islam di Malaysia. Rata-rata umat Islam diseluruh dunia sudah hilang sabar dengan nasib yang menimpa ke atas tanah suci Palestin. Perasaan benci kepada AS semakin membuak, mereka membantah dengan satu suara yang jelas dan lantang mendesak para pemimpin agar memutuskan hubungan dengan AS.
Namun, umum mengetahui bahawa para pemimpin negara umat Islam hari ini juga membawa satu nada yang sama, iaitu isu Baitul Maqdis tidak akan menjejaskan hubungan baik negara dengan AS. Mereka tidak sanggup kehilangan manfaat hasil hubungan diplomatik mahupun ekonomi dengan AS, mereka lebih rela melihat maruah dan nyawa umat Islam dirobek dan diperniagakan. Mengapa begitu? Kerana selama ini polar pemikiran dan tindakan para pemimpin umat Islam telah dibina atas doktrin kapitalisme untuk mengejar manfaat di dunia sebanyak-banyaknya, bukan tunduk di bawah tuntutan Syariat Islam. Sedangkan Allah SWT berfirman,
“Janganlah orang-orang Mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali (teman rapat / pemimpin / pelindung / penolong) dengan meninggalkan orang-orang Mukmin” [TMQ Ali Imran (3):28].
Begitu banyak larangan dalam al-Quran dan as-Sunnah yang melarang umat Islam menjalinkan hubungan baik dengan kaum kafir yang terang-terangan memusuhi Islam dan umatnya. Justeru itu, penganjuran perhimpunan solidariti Baitul Maqdis oleh kepimpinan Najib adalah sebuah rencana hijack (merampas) emosi umat Islam yang selari dengan tuntutan syarak. Najib sudah pasti akan mengalihkan emosi umat Islam daripada mendesak kerajaan memutuskan hubungan dengan AS kepada solusi pragmatik hasil doktrinisasi ideologi kapitalisme. Semoga kita kekal berpegang teguh dengan perintah dan larangan Allah Azza Wa Jalla, bersikap tegas membela maruah, nyawa serta harta umat Islam dan menolak sebarang penyelesaian yang dibawa oleh para pemimpin yang melanggar syariat Islam.
Barakath
Lajnah Siyasiyah Hizbut Tahrir Malaysia