‘Network State’ di Forest City: Wajah penjajahan digital di bawah sistem sekular

Kehebohan mengenai Network School di Forest City, Johor — susulan pemeriksaan imigresen ke atas ratusan warga asing dan dakwaan kemasukan warga entiti Zionis menggunakan pasport kedua pada Julai 2026 — sepatutnya membuka mata kita semua. Namun kita wajib melihat isu ini bukan sekadar sebagai satu kes pematuhan imigresen yang terpencil, atau salah laku segelintir pelabur asing. Hakikatnya, ia adalah simptom kepada satu penyakit sistemik yang jauh lebih besar iaitu pembukaan pintu seluas-luasnya kepada penjajahan bentuk baru ke atas tanah umat Islam, atas nama teknologi dan pembangunan.

Network School bukanlah sekadar komuniti “co-living” mewah untuk golongan “digital nomad”. Ia adalah anak kepada satu gagasan yang diperkenalkan Balaji Srinivasan, bekas CTO (Chief Technology Officer) Coinbase, melalui bukunya The Network State. Idea terasnya jelas – bina komuniti digital dahulu, kumpul dana, kemudian miliki wilayah fizikal di serata dunia, dan akhirnya kejar pengiktirafan sebagai sebuah ‘negara baru’. Mereka mengukur kebebasan bukan dengan memperbaiki sistem sedia ada, tetapi dengan ‘exit’ (keluar) daripadanya — mewujudkan enklaf elit yang percaya bahawa teknologi berhak melangkaui undang-undang negara.

Inilah golongan tekno-libertarian yang, pada hakikatnya, sedang membina ‘negara di dalam negara’, dan seperti yang akan dihuraikan di bawah, falsafah ‘exit’ inilah yang paling bertentangan dengan tasawur (gambaran) negara dalam Islam.

Apa yang berlaku di Forest City ini tidak boleh dipisahkan daripada trend yang lebih luas — apa yang disebut sebagai ‘Tech Zionism’ iaitu perkahwinan antara ideologi Zionis dan teknologi kapitalisme. Dakwaan bahawa wujudnya borang keahlian yang menyoal calon tentang pandangan mereka terhadap entiti Zionis dan penglibatan dalam teknologi ketenteraan, bukanlah perkara yang boleh dipandang remeh. Bagi umat Islam yang tanah kita di Palestin masih dirampas, membuka ruang kepada rangkaian sebegini di negara kita samalah seperti membenarkan musuh membina kubu di halaman rumah sendiri.

Inilah wajah sebenar penjajahan digital. Jika penjajah lama datang membawa senjata, penjajah baru ini datang membawa modal, syarikat multinasional dan visa istimewa — dikemas rapi dengan status seperti Zon Kewangan Khas yang melonggarkan peraturan dan memudahkan kemasukan mereka. Bandar-bandar mega buatan ini akhirnya menjadikan zon pesisir umat sebagai ruang tandus akhlak, subur dengan judi dan arak, dan tempat berlindung nilai-nilai yang meracuni masyarakat. Tanah dirampas, alam diranapkan, dan yang lebih parah — kedaulatan, identiti serta maruah umat digadaikan.

Persoalannya, mengapa semua ini boleh berlaku? Jawapannya kembali kepada “sistem”. Dalam sistem demokrasi-kapitalis yang dianuti negara pada hari ini, tanah dan kedaulatan boleh dijual atas nama pelaburan. Pemerintah begitu ghairah mengejar modal asing sehingga sanggup menyerahkan wilayah, melonggarkan hukum, dan menutup mata terhadap ancaman kedaulatan serta keselamatan. Tidak mungkin sistem yang sejak awalnya berpaksikan keuntungan material dan kebebasan mutlak akan mampu menjaga tanah dan identiti umatnya. Sistem yang rosak tidak akan pernah melahirkan dasar yang menyelamatkan umat dan negara.

Islam Tidak Membenarkan ‘Negara di dalam Negara’

Bercakap mengenai Network State, antara persoalan hukum yang penting ialah boleh atau tidak wujudnya negara di dalam negara, walaupun pada awalnya dalam bentuk digital? Sesungguhnya Islam tidak pernah mengenal konsep negara di dalam negara. Daulah Khilafah mengamalkan konsep nidzam al-wahdah (sistem yang satu) – sistem kesatuan dengan hanya seorang Khalifah di mana wilayah-wilayah hanyalah unit pentadbiran, dan wali (di setiap wilayah) memerintah bagi pihak Khalifah tanpa kewangan, kehakiman mahupun tentera sendiri, apatah lagi mata wang atau undang-undangnya sendiri.

Kewujudan sebuah zon yang menulis undang-undangnya sendiri seperti model “charter city” dan ZEDE (Zones for Employment and Economic Development) secara mutlak bertentangan dengan Islam yang meletakkan hak membuat hukum hanya di tangan Allah. Tambahan lagi, hukum Allah yang diterapkan di seluruh negara hendaklah seragam. Krisis ZEDE di Honduras — di mana syarikat ‘Próspera’ kini menyaman kerajaan Honduras bernilai berbilion dolar semata-mata kerana negara itu mahu menuntut semula kedaulatannya — sudah cukup membuktikan bahawa konsep ini melahirkan konflik kedaulatan yang nyata, bukan sekadar teori.

Kedaulatan Digital: ‘Exit’ Balaji vs Penguasaan Khilafah

Perlu difahami bahawa “Network State” pada terasnya adalah persoalan kedaulatan digital yakni persoalan orang yang menguasai data, infrastruktur dan rangkaian di luar kawalan negara. Melihat kepada asas ini, perbezaan mendasar dengan sebuah Negara Islam (Khilafah) ialah apabila Khilafah berdiri sebagai antitesis yang tuntas. Dalam Khilafah, semua pusat data dan server wajib berada di dalam sempadan negara dan di bawah kawalan serta kuasa negara. Tiada apa-apa yang dibenarkan beroperasi melainkan servernya mesti berada dalam sempadan negara. Ini bermakna tiada ruang untuk enklaf data luar bidang kuasa.

Sambungan internet ke dunia luar pula hanya dibenarkan melalui saluran dan get elektronik yang dibina dan dikawal oleh negara, bukan melalui rangkaian ‘berdaulat’ yang selari. Bahkan ruang udara dan angkasa lepas — termasuk laluan dan kedudukan satelit — turut tertakluk kepada kuasa dan kebenaran negara. Berbeza dengan model kapitalis yang menjadikan data peribadi rakyat sebagai komoditi, dasar Khilafah mengharamkan sebarang aplikasi daripada mencerobohi data peribadi rakyat kecuali dengan izin dan dalam batas izin itu.

Maka, amat jelas pertembungan dua tasawur (gambaran) ini – yang satu (Network State) membina rangkaian elit yang cuba keluar (exit) daripada undang-undang, manakala yang satu lagi (Khilafah) menjadikan seluruh rangkaian, data dan spektrum gelombang berada di bawah kuasa negara sebagai satu kesatuan — demi menjaga umat, bukan mengeksploitasi mereka.

Larangan Kemasukan Musuh Secara Fizikal atau Pelaburan

Begitu juga jika dilihat isu kemasukan warga asing dan pelaburan mereka. Dalam Islam, negara mana pun yang sedang berperang dengan umat Islam (negara kafir harbî fi’lan) seperti entiti Zionis tidak akan diberi izin (visa) untuk masuk, kerana hukum Islam melarangnya. Manakala model FDI (Foreign Direct Investment) yang memberikan kawalan asing ke atas umat Islam pula akan tertolak berdasarkan firman Allah:

وَلَن يَجْعَلَ اللَّهُ لِلْكَافِرِينَ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ سَبِيلًا

“Dan Allah sekali-kali tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang yang beriman” [An-Nisa’ (4): 141].

Berdasarkan ayat ini, industri teknologi maklumat dalam Khilafah wajib menjadi sebahagian daripada dasar ketenteraan, dan Khilafah wajib berdikari daripada industri negara lain agar musuh tidak memperolehi jalan untuk menguasai umat Islam.

Manakala berdasarkan firman Allah,

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ

“Dan sediakanlah untuk menghadapi mereka segala kekuatan yang kamu mampu” [Al-Anfal (8): 60]

Khilafah wajib berdikari membina kekuatan tentera, daripada senjata konvensional kepada seluruh rangkaian teknologi — cip, sistem pengoperasian, perisian, infrastruktur dan sebagainya.

Kesimpulannya, enklaf teknologi yang dikuasai asing bukan sekadar merugikan negara dari sudut ekonomi, bahkan merupakan pelanggaran terhadap satu prinsip asasi kedaulatan Negara Islam itu sendiri, yang haram di sisi syarak. Sama halnya dengan segala pelaburan yang menyerahkan penguasaan tanah, harta milik umum seperti minyak, gas dan air, atau pelaburan yang membelit negara dengan riba dan syarat yang menundukkan kedaulatan negara, kesemuanya haram di sisi syarak.

Penyelesaian Tuntas

Perlu difahami dengan jelas bahawa penolakan terhadap gagasan “Network State” bukanlah penolakan terhadap teknologi atau kemajuan. Dalam Islam, segala bentuk teknologi, syarikat pemula, kecerdasan buatan atau ekonomi digital bukan sahaja dibenarkan, malah amat digalakkan untuk berkembang di dalam negara — dengan syarat ia tunduk kepada hukum syarak, dan tanpa perlu ‘keluar’ daripada kedaulatan negara atau mewujudkan enklaf elit yang bertentangan dengan Islam.

Khilafah akan menggalakkan segala perkembangan teknologi, termasuk pembuatan cip dan semikonduktor sendiri untuk menjamin keunggulan teknologi negara. Segala bentuk pembinaan sistem pengoperasian dan perisian; kerja keselamatan siber yang boleh menjadi sebahagian usaha jihad dalam membentengi sempadan negara; penggunaan kecerdasan buatan dalam bidang perubatan, farmasi dan pendidikan; sistem e-bayaran dan dompet elektronik yang bebas riba; pengiktirafan dokumen dan tandatangan elektronik sebagai bukti; sehinggalah kepada peraturan perbicaraan kehakiman jarak jauh – semua ini menjadi tasawur (gambaran) bagaimana Khilafah merangsang dan memayungi kemajuan teknologi, bukan menolaknya, dan bukan juga menyerahkannya kepada elit global.

Umat Islam tidak memerlukan model atau acuan Balaji dan rakan-rakannya untuk maju. Sejarah telah membuktikan bahawa Khilafah pernah menjadi pusat sains, ilmu dan ketamadunan dunia selama berabad-abad, ketika ia berdiri teguh di atas asas akidah dan hukum Allah. Kemajuan yang hakiki adalah kemajuan yang membina penduduk dan negara yang diampuni Allah, bukan kemajuan yang menghakis kedaulatan negara dan, identiti dan maruah warganegaranya.

Idea “Network State” dan enklaf elit yang tidak tertakluk kepada sebarang undang-undang negara, sebaliknya membina rangkaian untuk kepentingan mereka sendiri, semua ini bukan sahaja merugikan umat Islam, bahkan bertentangan dengan Islam. Idea ini telah berkembang di Malaysia yang ternyata boleh mengancam kedaulatan negara, dan bertambah malang apabila pemerintahan yang berpaksikan sistem sekular-kapitalis menggalakkan hal ini atas nama kepentingan ekonomi.

Jika perkara ini terus dibiarkan, bumi Malaysia akan terdedah untuk dirampas oleh golongan kapitalis dan elit global yang perutnya tidak pernah kenyang dengan dunia. Satu-satunya perisai, sama ada kepada penjajahan bentuk baru mahu pun lama, ialah dengan menegakkan kembali Daulah Khilafah ‘ala Minhaj an-Nubuwwah — sebuah negara yang akan menjaga akidah, tanah, harta dan maruah umatnya, serta memayungi kemajuan teknologi dalam acuan yang diredhai Allah.

Wallahu a’lam.