[NF127] Ayuh Wujudkan Kesedaran Politik Umat
Oleh: Hidayah Muhammad
Muqaddimah
Ibadah Haji merupakan rukun Islam yang kelima. Namun ibadah haji bukanlah semata-mata rukun bahkan merupakan syiar Islam yang amat penting; khususnya sebagai syiar penyatuan umat Islam. Hal ini kerana kita dapat menyaksikan umat Islam berkumpul dari setiap penjuru dunia untuk melaksanakan rukun Islam ini. Ukhuwwah Islam begitu terasa apabila kaum Muslimin saling bertegur sapa walaupun hanya sebatas mengucapkan salam kerana wujudnya ikatan yang sama iaitu akidah Islam.
Namun, ikatan ini akan melemah apabila mereka selesai menunaikan ibadah haji dan pulang ke negara masing-masing kerana ada halangan dan sekatan yang memisahkan umat Islam dari setiap penjuru dan pelusuk dunia. Halangan yang dimaksudkan adalah semangat nasionalisme yang umpama tembok besar bagi menghalangi kesatuan umat Islam. Kesannya Palestin masih dijajah dan diperangi tetapi tidak ada satu pun negeri-negeri umat Islam yang membantu untuk membebaskannya. Nasib umat Islam di pelbagai negara juga masih belum terbela.
Haji: Salah Satu Strategi Dakwah Politik Rasulullah SAW
Suasana ibadah haji pada hari ini berbeza jika dibandingkan dengan suasana ibadah haji yang dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat. Jika dahulu, ibadah haji tidak lepas dari aspek politik dan perjuangan Rasulullah serta para sahabat dalam menegakkan Islam. Kini haji hanyalah ibadah ritual semata dan tidak mempunyai pengaruh dalam diri umat bahkan tidak dapat menyelesaikan permasalahan umat yang terjadi ditengah-tengah kehidupan kita.
Dalam perjalanan dakwah Rasulullah SAW semasa berada di Makkah, baginda telah menjadikan musim haji sebagai waktu dakwah. Baginda menjalin hubungan dengan rombongan haji dan menyampaikan dakwah kepada mereka. Bermula tahun ke-10 kenabian, Rasulullah SAW mendatangi para pemimpin kabilah pada musim haji untuk menawarkan Islam dan meminta nusrah (pertolongan) dari mereka. Ibnu Hisyam meriwayatkan bahawa tidak ada satu pun dari mereka yang menyambut seruan Rasul itu sehinggalah pada musim haji tahun ke-11 kenabian, di mana datang enam orang ketua kabilah dari suku Khazraj dari Madinah yang menyambut seruan Rasulullah SAW, lalu mereka mendakwahkan Islam di Madinah. Pada musim haji tahun berikutnya seramai 12 orang dari kalangan pemimpin Madinah datang menemui Rasulullah dan terjadilah Baiat Aqabah Pertama. Kemudian pada musim haji tahun ke-13 kenabian, seramai 75 orang dari wakil penduduk Madinah, menemui Rasulullah SAW dan membaiat baginda dalam Baiat Aqabah Kedua.
Rasulullah SAW tidak hanya menjadikan ibadah haji sebagai momentum dakwah fasa Makkah sahaja. Pada tahun ke-6 Hijrah, yakni fasa Madinah, baginda menjadikan momentum ibadah haji sebagai usaha untuk mengukuhkan dakwah Islam di Jazirah Arab. Dengan strategi inilah termeterinya perjanjian Hudaibiyah, yang seterusnya menjadi jalan kepada penyebarluasan dakwah Islam di Jazirah Arab. Perjanjian Hudaibiyah jugalah yang kemudiannya menjadi pembuka jalan bagi terjadinya peristiwa Fathu Makkah. [Sirah Ibnu Hisyam]
Pentingnya Kesedaran Politik Dalam Diri Umat
Kesedaran politik sangat penting dan perlu wujud dalam kalangan umat Islam. Tanpa kesedaran politik maka tidak mungkin seseorang itu akan mengetahui nilai Islam dalam kehidupan individu dan masyarakat. Tanpa kesedaran politik tidak mungkin berlakunya dukungan umat terhadap para pengemban dakwah yang berjuang melawan kekufuran dan penjajahan. Selain itu, kesedaran politik amat diperlukan untuk mengubah keadaan umat Islam yang buruk hari ini kepada sebuah kehidupan yang lebih baik.
Kesedaran politik adalah suatu pandangan yang universal (mencakup seluruh dunia internasional) dengan sudut pandang yang khas (Islam). Pandangan yang universal tanpa melalui sudut pandang yang khas adalah pandangan yang dangkal dan bukan merupakan kesedaran politik. Begitu juga pandangan yang bersifat regional adalah pandangan yang sempit dan tidak membentuk kesedaran politik.
Kesedaran politik bukan bermakna menguasai Islam secara keseluruhan atau mengetahui seluruh peristiwa dan percaturan politik dunia. Kesedaran politik hanyalah pandangan terhadap dunia tidak kira sejauh mana pengetahuannya tentang dunia yang berasaskan sudut pandang khas. Walau bagaimanapun, kita akan dapati kesedaran politik dari satu individu ke individu yang lain berbeza tahapnya; ada yang tahap rendah dan ada yang tahap tinggi bergantung kepada pengetahuannya. Akan tetapi semuanya tetap merupakan kesedaran politik yang melahirkan hasil yang sama iaitu umat dikeluarkan daripada kedangkalan berfikir. Oleh yang demikian, kesedaran politik bukan hanya boleh dimiliki oleh ahli-ahli politik, ulama, para pemikir dan kaum terpelajar sahaja malah orang-orang awam turut boleh memilikinya.
Untuk mewujudkan kesedaran politik pada individu dan umat adalah dengan melakukan aktiviti pembinaan politik baik dalam bentuk aktiviti pembinaan pemikiran dan hukum Islam, mahupun dalam bentuk aktiviti mengikuti peristiwa politik. Pembinaan pemikiran dan hukum Islam ini bukanlah pembinaan teori semata-mata tetapi pembinaan dengan menerapkan pemikiran dan hukum Islam itu pada fakta. Begitu juga ketika mengikuti peristiwa-peristiwa politik. Aktivitinya bukanlah seperti para wartawan melaporkan berita, tetapi dengan memandang suatu peristiwa politik dengan sudut pandang khusus yang kemudiannya menentukan hukumnya. Pembinaan politik ini dilakukan dalam rangka membina kerangka ideologi dan politik agar wujudnya kesedaran politik dalam kalangan umat. Kesemua ini dilakukan agar umat Islam mampu bangkit dan memikul tujuannya yang asas iaitu mengembang dakwah Islam ke seluruh dunia.
Khatimah
Apabila kita menelusuri sirah Rasulullah SAW dalam mendirikan Daulah Islam pertama di Madinah, banyak peristiwa penting dilakukan pada musim haji. Inilah yang seharusnya dilakukan oleh umat Islam sekarang iaitu menjadikan ibadah haji sebagai momentum dalam melakukan perubahan khususnya untuk mengembalikan semula kehidupan Islam sekaligus dapat menyatukan semula umat Islam yang terpecah-belah oleh sempadan nasionalisme. Firman Allah SWT,
“Sesunguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan satu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka” [TMQ:Ar- Rad:11]
Rujukan:
- Majalah Al-Wa’ie, November 2011
- Siri Politk Islam, Kesedaran Politik: Masalah Hidup dan matinya umat
- Siri Politik Islam, Islam Dan Politik Tidak Boleh Dipisahkan
- Muhammad Ismail, Al-Fikru Al-Islamiy ( Bunga Rampai Pemikiran Islam)