Obama Terdesak Dengan Mencabar Dunia

altUcapan pertama Obama di PBB cabar dunia

NEW YORK 23 Sept. – Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dalam ucapan sulung beliau di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini, menyatakan komuniti global gagal memenuhi hasrat penduduknya dan membetulkan bahawa dunia bukan ‘tanggungjawab AS sahaja’.

“Mereka yang pernah memarahi AS kerana bertindak bersendirian di dunia kini tidak boleh duduk diam dan menanti AS menyelesaikan masalah dunia ini secara sendirian,” kata beliau.

White House telah mengeluarkan petikan teks ucapan beliau lebih awal yang mengandungi nada lebih lembut.
Ia dibuat dalam ucapan julung kalinya oleh Obama di depan badan dunia itu, sebuah forum terbesar dengan harapan dapat membersihkan imej unilateral AS di bawah bekas Presiden George W. Bush.

Secara keseluruhannya, mesej yang cuba disampaikan Obama adalah beliau mahu maklum balas yang banyak setelah berusaha melakukan pendekatan baru.

“Kita telah berbicara dalam perkataan dan keperluan satu era baru hubungan dengan dunia. Kini tiba masanya kita semua menjalankan tanggungjawab masing-masing.

“Ekstremis menanamkan keganasan di beberapa tempat di dunia. Konflik berpanjangan masih berterusan. Penghapusan bangsa dan pembunuhan beramai-ramai. Lebih banyak negara dengan kuasa nuklear. Ketulan ais yang mencair dan bilangan penduduk yang melonjak. Kemiskinan tegar dan penyakit pandemik,” ujar beliau lagi.

Tambah Obama, semua perkara tersebut dinyatakan bukan untuk menyemai rasa bimbang tetapi untumber k menyatakan fakta bahawa magnitud cabaran yang dihadapi adalah besar dan masih belum setimpal dengan tindakan yang diambil.

Ucapan Obama menjadi perhatian utama hari ini dan beliau akan turut bertemu dengan Perdana Menteri baru Jepun, Yukio Hatoyama dan Presiden Rusia, Dmitry Medvedev.

Agenda ketat di sini hari ini, Obama membayangkan mesej beliau kepada pemimpin dunia dalam ucapannya semalam kepada Clinton Global Initiative dengan berbicara mengenai negara bermasalah sama ada jangkitan selesema, keruntuhan ekonomi atau penyeludupan dadah antara sempadan.

“Seperti mana tiada satu negara yang dapat mengasingkan diri dari dunia, tiada satu negara pun yang dapat berdepan dengan cabaran-cabaran ini tidak kira berapa besar atau berkuasanya mereka,” tegas Obama lagi. – AP

Sumber : Utusan Malaysia Online 24/09/2009

Dunia dicabar polis dunia? Amat pelik sekali bila negara polis dunia ini tiba-tiba pula menyelar  tindakan kebanyakan negara yang sering mengecam tindakan unilateral kuasa besar ini. Kenapa baru sekarang baru hendak menagih simpati negara lain agar menunjukkan “peranan kamu dalam keselamatan dunia”? Sepatutnya pemimpin-pemimpin dunia harus menempelak kembali keyataan si Obama ini dengan berkata,  “Siapa yang nak kamu (AS) menjadi pencatur dunia? Malah kami tak pernah  ingin pun kamu (AS) melakukan kerosakan di dunia ini !!!”. Namun, seperti biasa, itu semua cumalah drama lama yang diberi nafas baru oleh pemimpin AS, cuma yang berbezanya ialah pelakon dan skripnya sahaja. Matlamatnya tetap sama – untuk mendominasi percaturan politik dunia. Ada beberapa perkara yang kita boleh fahami melalui ucapan Obama ini :

1.    Amerika Semakin Melemah

Sekiranya sebelum ini, AS tidak pernah sekalipun memperdulikan kritikan dunia terhadap apa sahaja tindakan mereka seperti yang berlaku di Iraq & Afghanistan. Namun melihat keadaan semasa AS di sana, ternyata mereka di ambang kekalahan, dan mungkin inilah salah satu strategi mereka untuk tidak menanggung malu secara sendirian. Paling kurang pun, mereka akan membuat justifikasi, “Keamanan di Iraq & Afghanistan bukan tanggungjawab AS sendirian, tetapi merupakan tanggungjawab seluruh dunia”. Ini tidak dikira lagi dengan masalah dalaman AS yang semakin meruncing yang memerlukan perhatian yang lebih serius pemimpin No.1 mereka seperti krisis ekonomi, pengangguran, jenayah, krisis perkauman, dan lain-lain lagi. Dengan demikian, AS mengharap agar segala usaha yang ingin dilakukan selepas ini mendapat sokongan daripada negara- negara lain dan ini pastinya menguntungkan AS.

2.    Amerika Ingin Menarik Semula Sokongan Dunia Kepadanya

Pelbagai kerosakan, kemusnahan dan kematian yang berlaku di dunia hari ini dimulai oleh tangan-tangan AS dan ini kita sudah sedia maklum. Bukan sekadar isu perang di Iraq & Afghanistan sahaja, malah isu kegawatan ekonomi global, pencemaran, penyeludupan dadah serta manusia dan pelbagai kerosakan lain, semuanya dimulai oleh AS. Tindakan “mencabar dunia” merupakan strategi yang cukup bijak yang diambil oleh Obama. Dengan tindakan sebegini, paling tidak pun ia mampu untuk menarik semula sokongan negara yang selama ini mengkritik tindakan unilateral AS.

Bagi pemimpin umat Islam pula, janganlah terlalu mudah terpedaya dengan Obama ini dengan terus mengambil sikap defensif- apolegetik dan terus membabi buta tuli meyokong seruan Obama ini. Sebagai pemimpin umat Islam, sepatutnya kamu menjadikan Islam sebagai sandaran dalam memimpin umat dan menjadikan Islam sebagai panduan dalam menjalankan pemerintahan dan bukannya bertuhankan Amerika. Pemimpin yang kita harapkan adalah sang Khalifah, yang akan mengurusi seluruh urusan umat dengan kitabullah & sunnah Rasul, dan memimpin dunia dengan cahaya Islam.