Padah Pemimpin Tolak Hukum Allah

anak-luar-nikahKelahiran Anak Luar Nikah Terus Menjadi-jadi
623 anak tak sah taraf di Terengganu tahun lalu

KUALA TERENGGANU: Seramai 623 anak tidak sah taraf dilahirkan di negeri ini tahun lalu, dipercayai akibat pergaulan bebas terutama di kalangan wanita Islam.

Lebih mengejutkan, daripada jumlah itu kadar tertinggi dicatatkan pada Mei tahun lalu dengan 72 kelahiran, diikuti 60 kelahiran pada September.   Berdasarkan perkiraan kasar, pasangan terbabit dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu sembilan bulan sebelum kelahiran, iaitu sekitar akhir Ogos dan Disember atau lebih tepat lagi pada sambutan Kemerdekaan Negara dan Tahun Baru.   Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu, Ghazali @ Suhaimi Muhammad, berkata jumlah kelahiran anak tidak sah taraf itu dicatatkan di sembilan pejabat JPN Terengganu membabitkan bayi pelbagai agama daripada pasangan tempatan dan bukan warga negara.

Katanya, pejabat JPN Kuala Terengganu mencatatkan jumlah anak tidak sah taraf tertinggi dengan 188 kelahiran diikuti Besut (102), Dungun (78), Setiu (68), Kemaman (63), Hulu Terengganu (43), Marang (30), Al-Muktafi Billah Shah (28) dan Kerteh (23).

“Melihatkan perangkaan ini, ia jelas sangat menggerunkan kerana menandakan gejala sosial semakin kronik. Lebih menyedihkan, majoriti bayi dilahirkan beragama Islam dan tidak diketahui siapa bapa sebenarnya.

“Senario ini juga secara tidak langsung membuatkan JPN menjadi beban kepada masalah sosial dan boleh menyebabkan berlaku masalah lain di kalangan masyarakat terutama membabitkan masa depan bayi terbabit.

“Jadi, kita meminta kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk bersama membanteras pergaulan bebas bagi mengelak mereka terjerumus ke lembah maksiat dan melahirkan anak luar nikah,” katanya selepas Majlis Penganugerahan Taraf Kewarganegaraan Malaysia di pejabat JPN Terengganu, di sini, semalam.  Seramai lima orang menerima sijil warga negara mengikut Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan dan lapan lagi mengikut Perkara 19(1)(a) Perlembagaan Persekutuan dengan lapan berasal dari Kemboja serta masing-masing satu dari Indonesia dan India.

Ghazali berkata, walaupun anak luar nikah mendapat keistimewaan sama rata dari segi kemudahan kesihatan dan pendidikan, namun bayi berkenaan berdepan risiko masa depan tidak menentu.
 
Sumber: Berita Harian 26/01/11

Padah Pemimpin Tolak Hukum Allah

Adakah tergamak kita untuk terus menatap berita-berita sebegini tanpa sekelumit perasaan marah? Jika ada kemarahan dan kebencian terhadapnya, maka sudah tiba masanya umat Islam di Malaysia menolak para pemimpin sekular di kalangan mereka hari ini yang nampaknya terus menerus mengeraskan hati, membutakan mata dan menjadikan telinga mereka tuli daripada pelbagai seruan dan peringatan yang ditujukan khas kepada mereka untuk kembali menerapkan Islam di dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Firman Allah SWT:

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”. [TMQ Thaaha (20) : 124]. 

Dan persoalan zina ini disebutkan khusus oleh Rasulullah SAW sebagai salah satu kemaksiatan  yang dapat menyebabkan berlakunya kehancuran di dalam sesebuah masyarakat. “Jika zina dan riba telah tampak di suatu kampung maka sesungguhnya mereka telah menghalalkan diri mereka dari azab Allah” [HR ath-Thabrani dan al-Hakim].

Wahai seluruh umat Islam! Ketahuilah bahawa penyelesaian kepada segala bentuk maksiat ini, termasuklah zina adalah dengan menegakkan hukum-hakam Islam. Kerana itulah Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud menyatakan: Sesungguhnya hukum hudud yang ditegakkan di muka bumi lebih disukai penduduknya daripada mereka dihujani hujan selama empat puluh pagi, Hal ini akan berlaku jika hudud ditegakkan dan ianya akan dapat membuatkan manusia  meninggalkan perbuatan yang diharamkan itu. Sebaliknya, jika hudud tidak diterapkan di tengah-tengah kehidupan masyarakat  maka ini akan menyebabkan manusia terus tidak berasa takut dan serik untuk melakukan maksiat, dan inilah yang menyebabkan lenyapnya keberkatan dari langit dan bumi. Firman Allah SWT:

“dan (tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”. [TMQ Al A’raaf (7) : 96].

Maka tidak hairanlah apabila Terengganu yang berbangga dengan gelaran Darul Iman dan dilimpahkan dengan hasil minyak yang banyak, tetapi dalam masa yang sama sekarang ini sedang bergelut dengan masalah yang kronik akibat lahirnya golongan anak luar nikah yang bertambah ramai di mana keadaan ini menjadi satu barah dan penyakit di dalam kehidupan masyarakat. Sampai bilakah kita akan terus memungut buah-buah rosak yang berguguran dari pokok kapitalisme yang terus subur dijaga dan dipelihara oleh para pemimpin sekular ini?

Wahai umat Islam! Kuasa ada di tangan kamu. Tolaklah pemerintah sekular yang sedang duduk berkuasa dengan angkuhnya di saat ini. Bergeraklah kamu untuk menegakkan Islam secara kaffah dengan mendirikan semula daulah Islam iaitu Khilafah. Kerana dengan penerapan Islam secara kaffah oleh daulah sahajalah yang akan dapat menyebarkan rahmat Islam itu secara menyeluruh kepada seluruh alam.