Palestin Hanya Memerlukan Khilafah, Bukan Yang Lain
PUTRAJAYA 20 Jan. – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, rakyat Malaysia tidak perlu gentar tentang tanggapan luar termasuk dari negara-negara kuasa besar apabila mahu bertindak membela nasib rakyat Palestin di Gaza. Bekas Perdana Menteri berkata, apa yang penting ialah negara ini dapat membantu meringankan penderitaan masyarakat Gaza yang seolah-olah dilupakan oleh dunia. “Ini memberikan kebaikan kepada kita dari segi imej, saya tidak peduli negara kaya atau negara kuasa besar fikir tentang kita dan saya tidak pernah peduli tentang mereka. “Tetapi saya sangat prihatin terhadap nasib masyarakat yang sedang menghadapi masalah, sama seperti yang kita pernah lakukan di Bosnia, Aceh dan di tempat-tempat lain,” katanya. Beliau berucap pada majlis meraikan sukarelawan Malaysia yang menyertai konvoi Viva Palestina di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Konvoi dipimpin oleh Ahli Parlimen Britain, George Calloway itu bertolak dari London pada 6 Disember lalu dan merentasi 10 buah negara Eropah, Turki dan Mesir dalam usaha mereka ‘memecahkan’ kepungan ke atas Gaza. Kemuncak cabaran ialah apabila peserta konvoi itu mengadakan protes kerana terkandas di Pelabuhan El-Arish sehingga menyebabkan polis Mesir bertindak menggunakan gas pemedih mata. Insiden itu menyebabkan seorang pelajar Malaysia, Ibrahim Mohd. Azmi ditangkap pihak berkuasa Mesir. Setelah rundingan, konvoi itu akhirnya dibenarkan memasuki Gaza dalam tempoh 48 jam. Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pertubuhan Keamanan Global Perdana (PGPO) berkata, kesanggupan sukarelawan negara ini menyertai misi Viva Palestina menjadi kebanggaan rakyat negara ini. “Saya sendiri pun tidak mampu melakukannya dalam usia sebegini. Saya fikir ini kejayaan yang besar kerana tidak ada negara ASEAN atau banyak negara terlibat sehingga ke tahap yang rakyat kita lakukan,” katanya. Malah kata Dr. Mahathir, misi tersebut juga mendapat sokongan kuat kerajaan termasuk Wisma Putra yang membantu menyelesaikan masalah dihadapi oleh peserta konvoi itu.
Sumber : Utusan Malaysia, 210110
Palestin Hanya Memerlukan Khilafah, Bukan Yang Lain
Konflik yang terus berpanjangan di Palestin sehingga ke hari ini nampaknya masih belum lagi menemui titik noktahnya. Nasib umat Islam di sana terus terabai dan tidak ada pembelaan yang sewajarnya dari dunia Islam yang lain, di mana saat ini kebanyakan daripada para pemimpin sekular umat Islam ini hanya bertindak sebagai penonton dan pemerhati dari jauh semata-mata. Fakta yang tidak boleh disembunyikan lagi adalah bahawa para pemimpin di dunia Islam hari ini adalah pengkhianat kepada Islam dan umat Islam itu sendiri, khususnya umat Islam di Palestin. Jika adapun yang bersuara seperti Mahathir, itu hanyalah suara dapat didengari dari dalam kandang dan corong acuan Kapitalisme. Mahathir dengan sikap ”degil dan keras kepalanya” masih mengharapkan ubat buatan Kapitalisme dalam mengubati penyakit yang dihidapi oleh Palestin saat ini. Sedangkan sudah telah terlampau lama sebenarnya ubat Kapitalisme itu gagal untuk memulihkan apatah lagi mengubati penyakit yang melanda umat Islam di sana.
Hatta Mahathir sebagai seorang doktor pun gagal untuk memberikan ubat yang paling baik bagi merawat penyakit yang dihadapi oleh umat Islam Palestin. Virus yang menjadi punca utama kepada penyakit yang berlaku di Palestin itu sebenarnya adalah bernama Israel laknatullah. Maka selagi mana virus Israel itu tidak dibunuh ataupun dilenyapkan maka selagi itulah penyakit yang dihadapi oleh rakyat Palestin akan terus berpanjangan dan berlarutan. Adakah kerana saiz virus Israel itu terlalu kecil maka Mahathir gagal untuk melihat dan mengesannya? Dengan hanya menggunakan mikroskop elektron yang berjenama ” hukum syara’ ” sahajalah beliau akan dapat menemui dan menjumpai virus Israel laknatullah itu. Persoalannya, sampai bilakah Mahathir akan menyedari kesilapannya dan kembali menggunakan penyelesaian yang telah diberikan oleh Islam? Adakah beliau hendak menunggu sehingga nyawa sudah sampai ke tenggoroknya?