Panduan Islam Shopping Untuk Ramadhan Dan Syawal
Oleh: Amani Mohamed
Sungguh bahagia menjadi seorang muslim tatkala semua aktiviti hariannya adalah ibadah termasuk shopping! Apatah lagi seorang ibu yang sejatinya wanita tidak dapat lari daripada berbelanja kerana kitalah yang menyusun menu 30 hari puasa, tentukan tema warna baju raya dan dekorasi rumah. Alasan kita juga pastinya berpandukan beberapa dalil yang sering dijadikan rujukan seperti;
“Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kebahagiaan, iaitu ketika berbuka dan ketika bertemu dengan Rabbnya.” [HR Al-Bukhari]
Saidina Umar ra juga pernah mencadangkan kepada Rasulullah saw untuk membeli sehelai jubah sutera, “Wahai Rasulullah belilah jubah ini, berhias dengannya untuk hari raya dan menerima kunjungan tetamu.” Rasulullah menjawab, “Sesungguhnya ini adalah pakaian yang tidak dapat bahagian di akhirat.” [HR Al-Bukhari]
Hadis di atas menunjukkan sudah menjadi kebiasaan para sahabat bahawa berhias dengan pakaian terbaik dan Rasulullah saw tidak mengingkarinya. Cuma, yang ditegur adalah material sutera tersebut haram dipakai oleh lelaki.
Hindari Compulsive Shopping Disorder
Dalam berbelanja, hati-hati agar kita tidak terjebak dengan masalah Compulsive Shopping Disorder. Seronok dan ketagihan berbelanja sehingga tidak dapat dikawal dan akhirnya memberi beban kewangan yang menyakitkan. Seseorang yang menghidap masalah ini akan berbelanja tanpa memikirkan sama ada ianya keperluan atau tidak. Menyesal kemudian tiada gunanya apabila banyak lebihan barangan yang rosak dan dibuang begitu sahaja. Jika melibatkan hutang seperti kad kredit, atau sebarang aplikasi PayLater, pinjaman Ah Long berlesan, tentunya memberi kesan buruk kepada kesihatan mental.
Panduan Islam Untuk Shopping
Sebagai Ad-Deen yang sempurna, Islam bukan sahaja menentukan cara memperoleh harta (asbabu at-tamaluk) tetapi juga cara untuk menambahkan (mengembangkan) harta serta membelanjakan harta. Inilah keistimewaan Islam berbanding agama ciptaan manusia yang lain. Sekalipun harta yang kita miliki adalah sah dan halal mengikut syari’at, Islam melarang kita bertindak israf atau tabzir ketika berbelanja sekaligus melarang kita menjadi taqtir (kedekut) seperti Haji Bakhil!
Israf atau tabzir dalam pengertian syarak bermakna berbelanja atau mengeluarkan wang dalam perkara haram dan maksiat atau bukan pada jalan yang dibenarkan Allah, walaupun sedikit seperti nilai 5 sen atau kurang. Manakala taqtir iaitu kedekut terhadap diri sendiri bermaksud menahan diri dari kenikmatan yang dibolehkan syari’at Islam. [Syeikh Taqiyuddin An-Nabhani dalam kitab Nizom Al-Iqtisodi fil Islam].
Islam juga melarang keras kaum muslimin mensia-siakan harta iaitu membelanjakan pada perkara yang tidak diperlukan dan akhirnya terbuang. Ini termasuklah berbelanja untuk berbuka puasa. Pesan Baginda SAW, “Dimakruhkan atas kamu banyak berbicara dan banyak bertanya (tentang hal-hal yang sifatnya khayalan) serta mensia-siakan harta.”
Jom kita berbelanja dengan hemah sambil meraih pahala dan keredhaan Allah. Pastikan zakat fitrah dapat dibayar sebelum solat sunat Aidilfitri. Lebihkan sedekah kerana Rasulullah saw juga melebihkan sedekah tatkala Ramadhan. Berbelanjalah pada keperluan yang dapat menggembirakan orang-orang tersayang dengan juadah dan pakaian yang menepati tuntutan syari’at. Boleh juga dipujuk hati agar berhemah ketika berbelanja dengan mengingati nasib saudara seaqidah kita yang sedang diuji dengan peperangan, kebuluran dan penindasan. Semoga kita akan meraih kemenangan hakiki buat seluruh umat Islam dengan kembalinya Khilafah Rasyidah ‘Ala Minhaj An-Nubuwwah dalam masa terdekat. Ameen Ya Rabb.