Parti mana yang akan selamatkan negara?

Belum pun masuk tempoh berkempen, parti-parti politik yang akan bertanding PRU15 nanti sudah mula masuk bakul angkat sendiri, dan membakul-sampahkan yang lain.

Kita sudah mula mendengar dan membaca bahawa parti mereka, atau gabungan parti merekalah satu-satunya yang akan menyelamatkan negara, manakala parti atau gabungan parti-parti yang lain menjadi penyebab kepada rosaknya negara selama ini.

Slogan-slogan propaganda sudah mula dimainkan. Kemakmuran, kesejahteraan, kestabilan dan sebagainya sudah mula dicanangkan oleh sebahagian parti politik bagi menggambarkan kedudukan negara ini jika rakyat memilih mereka dalam PRU nanti.

Apabila semua parti mengakui bahawa parti merekalah yang bakal menyelamatkan negara manakala kesemua parti lain merupakan perosak negara, ini merupakan satu pengakuan secara tak langsung bahawa negara ini sudah rosak, dan kesemua parti sebenarnya adalah perosak negara.

Persoalannya ialah bagaimanakah negara ini boleh rosak, dan bagaimanakah parti-parti yang ada telah merosakkan negara?

Secara umumnya, kerosakan negara hanya disebabkan oleh dua faktor iaitu – pertama, sistem yang buruk dan kedua, pemimpin yang buruk.

Sistem apakah yang telah menjadikan negara ini rosak jika bukan sistem demokrasi, sebuah sistem kufur yang berasal dari Barat yang memberikan kedaulatan kepada manusia untuk membuat hukum? Melalui sistem ini, halal dan haram ditentukan oleh mereka yang berkuasa!

Sungguh, sistem demokrasi ini merupakan sebuah keburukan ke atas umat Islam, dan umat Islam tidak pernah dapat keluar daripada pelbagai keburukan sejak sistem ini mendominasi mereka.

Keadaan bertambah buruk apabila sistem yang buruk ini dipegang dan dikawal pula oleh penguasa yang buruk. Para penguasa di bawah sistem ini merupakan penguasa yang berpemikiran sekular, terkenal zalim, korup, salah guna kuasa dan melakukan pelbagai bentuk penyelewengan.

Malah telah terbukti jika ada sebahagian daripada penguasa ini yang tidak pernah meninggalkan solat dan puasa sekali pun, namun negara tetap merupakan penguasa yang buruk, kerana mereka merupakan orang yang tetap membenarkan sistem ribawi berjalan dengan bebas, pusat perjudian, kelab malam dan lain-lain juga boleh beroperasi dengan bebas, kilang-kilang arak juga dibenarkan beroperasi dalam skala yang besar, segala bentuk cukai terus dikenakan ke atas rakyat dan pelbagai keharaman lagi diterapkan oleh penguasa ini tanpa merasa bersalah.

Justeru, parti mana sekali pun yang akan menang PRU15 nanti, selama mana sistem dan para pemimpinnya adalah sama, maka negara dan masyarakat dalam negara ini akan terus rosak.

Negara hanya akan selamat jika rakyat memilih parti yang berjuang untuk menegakkan sistem Islam (Khilafah) yang akan menerapkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya secara kaffah ke atas kita semua.

Apa yang perlu disedari oleh umat Islam “dosa jariah” yang mereka perolehi sekiranya mereka terus memilih pemimpin yang buruk , yang akan meneruskan sistem yang buruk ini.

Wallahu a’lam.