Pembangunan infrastruktur dalam Islam

Berita:

JOHOR BAHRU, 24 April (Bernama) — Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura tidak akan ‘membunuh’ industri penerbangan tempatan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir Hasni Mohammad. Beliau berkata setiap perancangan yang dibuat oleh kerajaan adalah secara holistik dan mengambil kira semua pihak.

“Kalau begitu, syarikat bas atau sistem pengangkutan lain pun tidak beroperasi lagi. Jadi, kita lihat bahawa ia untuk memberi lebih banyak pilihan kepada masyarakat. Itu tugas kerajaan. Syarikat pengangkutan seperti bas, kereta api dan syarikat penerbangan, saya pasti semua ada pelan perniagaan masing-masing. Saya yakin kerajaan tidak mengenepikan kepentingan sektor lain,” katanya kepada pemberita hari ini.

Berita penuh: bernama.com


Komentar:

Dunia Kapitalisme sentiasa memerhatikan kepentingan-kepentingan pihak pemegang modal yang banyak menyumbang kepada parti-parti politik yang ada. Sebarang pembangunan negara termasuklah infrastruktur haruslah mengambil kira kepentingan pihak kapitalis dan memperjudikan nasib masyarakat yang sepatutnya menjadi keutamaan pemerintah dalam menyediakan hak-hak umum termasuk infrastruktur yang berkualiti.

Dalam Islam, infrastruktur termasuk dalam pengurusan politik ekonomi yang menjaga hak-hak umum masyarakat. Setiap infrastruktur boleh dinikmati oleh setiap warganegara tanpa cas keuntungan atas penggunaannya melainkan untuk kegunaan kos pembangunan atau kos penyelenggaraan. Infrastruktur dibangunkan berdasarkan hukum syarak iaitu menjaga kepentingan warga khilafah bukannya kaum pemodal. Hal ini akan menghapuskan monopoli sesebuah pihak terhadap hak-hak umum yang seringkali menyebabkan masyarakat hidup tersepit, sebagai contohnya kenaikan harga tol kerana lebuh raya yang diswastakan kepada syarikat-syarikat konsesi. Hanya Islam yang menjanjikan kesejahteraan kepada manusia termasuk dari sudut pembangunan fizikal negara.

Shah Sinan
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia