Pembekuan Akaun Parti Bersatu: Double Standard Pemerintah

Beberapa akaun bank milik Parti Bersatu telah dibekukan untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki datang dari hasil haram dan siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram. Pembekuan itu dikatakan ekoran daripada siasatan SPRM terhadap dana kerajaan RM92.5 billion yang didakwa diseleweng oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika melaksanakan pelbagai pakej rangsangan susulan dari pandemik COVID-19.

Walaubagaimanapun, Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menafikan sebarang campur tangan kerajaan PH / BN dalam tindakan SPRM tersebut. Peristiwa yang lebih kurang sama berlaku pada tahun 2018 ketika akaun Parti UMNO dibekukan ekoran siasatan berkenaan kes 1MDB.

Begitulah realiti yang berlaku di negara ini. Sesuatu salah laku oleh pemerintah hanya disiasat apabila pemerintah tersebut telah hilang kuasa. Sedangkan ketika mereka berkuasa, mereka seolah-olah tidak dapat disentuh oleh mana-mana badan penguatkuasa kerajaan.

Suasana ini amat bertentangan dengan sabda Baginda SAW:

إنما أهلك الذين من قبلكم أنهم كانوا إذا سرق فيهم الشريف تركوه، وإذا سرق فيهم الضعيف أقاموا عليه الحد، وايم الله لو أن فاطمة بنت محمد سرقت لقطعت يدها

“Sesungguhnya yang telah membinasakan umat sebelum kalian adalah jika ada orang terhormat dan mulia di antara mereka mencuri, mereka tidak menghukumnya. Sebaliknya jika orang rendahan yang mencuri, mereka tegakkan hukuman terhadapnya. Demi Allah, bahkan seandainya Fatimah putri Muhammad mencuri, niscaya aku potong tangannya!” (HR Tirmidhi).

Kes yang dipaparkan ini hanyalah sebahagian daripada kes “double standard” perundangan yang berlaku dalam negara kita. Sampai bilakah anda masih meletakkan kepercayaan pada sistem ini? Kestabilan sebuah negara bergantung kepada kepercayaan rakyat pada struktur negara. Setiap pekerjaan atau interaksi sesama masyarakat akan membentuk sebuah negara yang stabil. Namun, tanpa kepercayaan pada sistem perundangan, hal ini tidak akan tercapai.

Dengan double standard perundangan, majoriti masyarakat akan merasakan negara ini milik golongan tertentu, bukan sesuatu yang dikongsi bersama. Jadi perasaan untuk berkorban demi negara akan terhakis sedikit demi sedikit. Orang tidak lagi berfikir berkenaan kepentingan negara, sebaliknya kepentingan sendiri. Kenapa perlu berkorban untuk sesuatu yang hanya dikuasai oleh beberapa golongan tertentu sahaha? Kerana itu, masalah rasuah tidak akan pernah selesai. Masalah pecah amanah akan terus merebak. Kerana setiap orang berfikir dalam skop kepentingan masing-masing sahaja.

Double standard perundangan juga akan menyebabkan jenayah peringkat atasan semakin berleluasa kerana penjenayah akan mengetahui bahawa tiada siapa yang akan berjaya membawanya ke muka pengadilan. Begitulah pentingannya keteguhan sistem perundangan dalam pembentukan sebuah negara yang stabil.