Pembunuhan: Undang-undang Islam tidak sama dengan sivil – Jurucakap HTM

Tidak boleh sama sekali meng-qiyas-kan undang-undang sivil dengan syariah meskipun hukumannya bertepatan dengan Islam. Hal ini kerana undang-undang sivil berdasarkan suara majoriti di parlimen, sedangkan undang-undang Islam adalah berasaskan wahyu dari Allah (swt).

“Sesetengah pihak menyatakan undang-undang di Malaysia ini sama seperti undang-undang Islam dengan menyamakan qisas dengan Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Ia tidak pernah sama, dan kini bertambah tidak sama dengan adanya pindaan terhadap hukuman mati mandatori,” tegas Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia (HTM), Ustaz Abdul Hakim Othman.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran dalam program ‘Kupas Tuntas Bersama Jurucakap HTM’ atau singkatannya ‘KUPAS’ dengan tajuk “Hukum Pembunuhan Dalam Islam” baru-baru ini.

Ustaz Hakim seterusnya menyenaraikan empat sebab mengapa kita tidak boleh menyamakan kedua-duanya dengan memberikan contoh hukuman bunuh dalam undang-undang jenayah iaitu seksyen 302 Kanun Keseksaan dengan hukuman qisas dalam Islam.

Pertama, beliau menyatakan perbezaan dari segi sumber kedua-dua undang-undang tersebut. “Undang-undang bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu sumbernya ialah Parlimen di mana ia diluluskan oleh manusia berdasarkan undi majoriti, sedangkan hukuman bunuh dalam Islam berasal daripada wahyu,” jelas beliau.

“Kedua, hak untuk mendakwa dalam undang-undang sekarang ada pada pihak pendakwaan, tetapi dalam Islam, hak untuk mendakwa ada pada wali. Wali boleh memilih untuk memaafkan.”

Beliau seterusnya menyatakan perbezaan dari segi bentuk hukuman yang diberikan terhadap kes setelah disabitkan bersalah antara kedua-dua undang-undang tersebut. Dalam sistem hari ini (undang-undang jenayah), bentuk hukumannya sama ada dihukum mati atau penjara. Sedangkan dalam Islam, wali diberikan hak untuk memilih sama ada hukuman qisas (bunuh balas), diyat, atau memaafkan pembunuh.

Jurucakap HTM itu juga menyatakan bahawa dalam sistem penghukuman Islam (nidzam al-uqubat fil Islam), terdapat fungsi pencegah (zawajir) dan penebus dosa (jawabir). Kedua-dua fungsi ini tidak terdapat dalam undang-undang buatan manusia.

Seterusnya, beliau turut menyatakan bahawa hakim yang memutuskan hukuman tidak berdasarkan hukuman yang ditetapkan syarak akan menanggung dosa atas tindakan tersebut.

“Hakim yang menjatuhkan hukuman yang bukan merupakan hukum Islam, semuanya berdosa,” ujar beliau dengan tegas tanpa berlapik.

Semasa sesi tersebut juga, seorang penonton di salah sebuah platform media sosial HTM turut bertanya mengenai pendirian Ustaz Hakim terhadap undang-undang sivil yang diqiyaskan dengan undang-undang Islam.

“Tak boleh, memang tak boleh!” tegas Ustaz Hakim.

“Hukuman sivil ini bukan sekadar tidak boleh diqiyaskan (dengan qisas), malah tidak boleh dikaitkan pun dengan undang-undang Islam! Qiyas ini sepatutnya benda yang ada kaitan, yang sama-sama datang dari hukum Islam. (Perbezaan undang-undang) sivil dengan syariah itu merupakan perbezaan antara hak dengan batil,” sambung beliau.

Ustaz Hakim kemudiannya membacakan ayat 42 surah al-Baqarah berserta maksudnya, “Janganlah kamu campur-adukkan antara hak dengan batil…”

“Kalau namanya undang-undang yang datang daripada manusia, walaupun bertepatan dengan undang-undang Islam sekalipun, ia tetap batil, ia tetap bukan undang-undang Islam. Ini kerana Undang-undang Islam itu adalah hukum yang datangnya daripada Allah (swt), bukan suatu yang datangnya daripada manusia,” jelas beliau lagi.

Program KUPAS ini disiarkan melalui akaun Facebook dan TikTok Jurucakap HTM secara berkala. Dalam program ini, topik-topik terpilih berkaitan isu-isu semasa dikupas secara terperinci dari sudut pandang Islam.

Topik yang dibawakan dalam siri pertama pada 2 Ogos lalu ialah berkaitan hukum pembunuhan dalam Islam, dengan Ustaz Hakim membezakannya dengan undang-undang sivil. Ia susulan daripada keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Julai lalu yang menjatuhkan hukuman gantung terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana membunuh Pegawai Kadet Laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain tujuh tahun lalu.

Di samping menjelaskan secara umum mengenai cakupan sistem penghukuman Islam, fokus diberikan kepada pembahasan jinayat terutamanya hukum qisas (bunuh balas) serta kategori-kategori pembunuhan sebagaimana yang digariskan oleh para fuqaha’.

Islam telah menetapkan hukuman yang berbeza bergantung kepada kategori pembunuhan tersebut sama ada sengaja, mirip sengaja, tersalah atau tidak sengaja. Seseorang qadhi (hakim) akan memutuskan kategori tersebut berdasarkan fakta kes dan berpandukan nas. Manakala hak untuk memilih bentuk hukuman sama ada qisas (balas bunuh), diyat, atau pun untuk memaafkan pembunuh terletak pada wali mangsa.