Pencemaran natijah kerakusan kapitalis
Tindakan tegas mengikut lunas undang-undang negara perlu dikenakan terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam isu pencemaran di tali air Kampung Baru Sri Aman, Kempas, Johor Bahru, Johor baru-baru ini menurut laporan Utusan Malaysia.
Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, insiden pencemaran bahan kimia seperti itu sepatutnya tidak berulang lagi apatah lagi kejadian sama pernah melanda Sungai Kim Kim, sebelum ini.
“Selain itu, rasa sayang kepada alam sekitar juga boleh dibentuk dengan memberi didikan awal kepada anak-anak dengan penganjuran aktiviti atau program amal pembersihan kawasan awam sebagai bentuk iktibar,” katanya dipetik berdasarkan laporan berita itu.
Insiden pencemaran itu mengakibatkan seramai 128 mangsa daripada 37 keluarga dipindahkan sementara empat penduduk wanita dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan akibat sesak nafas.
Tragedi ini hanya merupakan kitaran sistem kapitalis sahaja, kerana hakikatnya dalam sistem kapitalis yang diamalkan di Malaysia dan yang mendominasi dunia ketika ini, para kapitalis tidak pernah mementingkan perihal kesihatan atau kesejahteraan alam sekitar mahupun manusia, kerana objektif kehidupan mereka hanyalah untuk meraih sebanyak mungkin keuntungan dan manfaat duniawi.
Pencemaran sebegini merupakan manifestasi kerosakan yang terjadi di dunia ini akibat perbuatan tangan-tangan manusia, sebagaimana firman Allah (swt),
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
“Telah nyata kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan-perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” [Ar-Ruum (30): 41].
Aspek kebersihan alam sekitar tidak boleh dipisahkan dengan segi hukum syarak. Islam sangat memberikan penekanan terhadap pemeliharaan alam sekitar dan juga kesihatan manusia. Kedua-duanya tidak dapat dipisahkan. Hal ini selari dengan sabda Rasulullah (saw),
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ فِي الإِسْلاَمِ
“Tidak boleh ada bahaya dan tidak boleh menyebabkan bahaya dalam Islam” [Dikeluarkan oleh at-Thabrani]
Hadis tersebut menjadi dalil umum akan kewajipan menjaga alam sekitar agar tidak membahayakan kehidupan manusia dan makhluk lainnya. Pencemaran dan rosaknya alam sekitar akan menyebabkan ketidakseimbangan dalam aspek ekologi dan ekosistem, selain akan mendatangkan kemudaratan kepada manusia itu sendiri secara umumnya.
Selagi negara ini diperintah dengan sistem kapitalis, selagi itulah tragedi sebegini akan terus berulang. Lihat sahaja pelbagai bentuk kerosakan alam lainnya seperti aktiviti pembalakan, perlombongan bauksit, pembuangan sisa toksik dan lain-lain, yang kesemuanya tidak pernah berhenti hasil dari kerakusan kapitalis yang mendominasi pemerintahan dan ekonomi negara.
Pokok penyelesaian masalah besar ini adalah terletak pada negara, kerana individu mana pun sudah pasti tidak akan dapat menyelesaikannya, kerana ia bukan sahaja melibatkan isu kesedaran, tetapi terkait dengan pelaksanaan undang-undang dan hukuman. Justeru selagi sistem pemerintahan negara ini masih lagi kapitalisme, dan bukannya sistem Islam, kerosakan demi kerosakan akan terus berlaku.
Wallahu a’lam.