Penerapan Hukum Syarak Yang Berupa Larangan Dalam Kehidupan Bermasyarakat

Penulis: Farisha Aris

Islam datang lengkap dengan hukum syarak yang meliputi perintah dan larangan sebagai panduan dan pedoman bagi penganutnya. Kami telah menjelaskan tentang hukum-hukum syarak yang berkaitan dengan pelbagai perbuatan yang merupakan perintah dalam penulisan sebelum ini. Di sini kami akan menjelaskan pula tentang undang-undang syariah yang berupa pelbagai perbuatan yang dilarang. Antaranya adalah seperti berikut:

1. Islam melarang lelaki dan wanita untuk berduaan (khalwat) satu sama lain.

Khalwat bermaksud seorang lelaki bertemu atau berada dengan seorang wanita di suatu tempat yang tidak memungkinkan orang lain untuk bergabung dengan mereka kecuali dengan izin dari keduanya. Contohnya, seorang lelaki dan wanita berada di rumah atau di tempat yang sunyi dan jauh dari jangkauan orang lain. Islam melarang dengan tegas setiap bentuk khalwat yang dilakukan oleh seorang lelaki dan seorang wanita yang bukan mahram, tanpa mengira siapa mereka dan bagaimanapun bentuk khalwat yang dilakukan. Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang wanita kecuali jika wanita itu disertai oleh mahramnya, kerana yang ketiga adalah syaitan.” [HR Muslim dari jalur Ibn ‘Abbas]

Ini bermakna, syariat telah memberikan perlindungan (penghalang) di antara lelaki dan wanita dengan adanya larangan khalwat. Dengan itu, penyebab kerosakan dapat dihapuskan kerana khalwat dapat membawa kepada kerosakan.

2. Islam melarang wanita untuk melakukan tabarruj.

Allah SWT berfirman:

“Dan wanita-wanita tua yang telah berhenti (dari haid dan mengandung) yang tidak ingin berkahwin  (lagi), tidak ada dosa bagi mereka untuk melepaskan pakaian mereka tanpa (maksud) menampakkan perhiasan.” [TMQ an-Nûr [24]: 60]

Ayat ini melarang wanita yang sudah tua untuk melakukan tabarruj ketika wanita tua diizinkan untuk melepaskan pakaian luar mereka namun tetap tidak dibenarkan melakukan tabarruj. Oleh itu, ayat ini adalah dalil larangan melakukan tabarruj. Jika wanita tua pun dilarang melakukan tabarruj, apatah lagi bagi wanita yang lebih muda, sudah pasti lebih dilarang lagi.

Tabarruj bermaksud “menampakkan perhiasan dan kecantikan kepada lelaki asing (bukan mahram)”.

Terdapat beberapa hadis yang melarang setiap perbuatan yang dianggap sebagai tabarruj. Abu Musa Al-Asy’ari menuturkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Wanita mana pun yang memakai wewangian dan melewati suatu kaum sehingga mereka mencium aromanya, maka dia seperti seorang wanita yang berzina (pelacur).” [HR Ibn Hibbân dan al-Hâkim]

Hadis ini bermaksud dosa perbuatan ini sama seperti dosa wanita yang berzina.

Rasulullah SAW juga pernah bersabda:

“Ada dua golongan di antara penghuni neraka yang belum pernah aku lihat kedua-duanya: suatu kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka gunakan untuk memukul orang-orang; dan perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang cenderung dan mencenderungkan orang lain, rambut mereka seperti bonggol unta yang miring. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium aroma syurga. Dan sesungguhnya aroma syurga itu boleh tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian” [HR Muslim dari jalur Abû Hurayrah].

Semua dalil di atas dengan jelas menunjukkan larangan melakukan tabarruj dan hukumnya adalah haram. Ini bermakna jika seorang wanita memakai perhiasan yang tidak biasa dan menonjolkan kecantikan wanita sehingga menarik perhatian lelaki, tindakan tersebut dianggap sebagai tabarruj, sama ada wanita berada dalam kehidupan umum atau khusus di hadapan lelaki yang bukan mahramnya. Hal ini juga berlaku jika wanita memakai wangi-wangian, berhias dengan alat-alat solek, memakai topi tanpa tudung, atau memakai seluar panjang tanpa jilbab ketika keluar dalam kehidupan umum.

Secara faktanya, tabarruj dapat membangkitkan nafsu seksual baik sehingga mempengaruhi lelaki dan wanita untuk melakukan pertemuan yang cenderung bersifat seksual. Ia boleh merosakkan hubungan kerjasama antara lelaki dan wanita yang berdasarkan kesucian dan ketakwaan serta menyebabkan keruntuhan institusi masyarakat. Oleh itu, umat Islam perlu menyedari betapa bahayanya tabarruj terhadap komuniti Islam dan sejauh mana ia berisiko terhadap masyarakat dan hubungan sosial dalam masyarakat.

3. Islam melarang lelaki dan wanita daripada melakukan perbuatan yang boleh membahayakan akhlak atau merosakkan masyarakat. Oleh itu, wanita dilarang bekerja dalam bidang pekerjaan yang memanfaatkan sifat kewanitaan mereka. Diriwayatkan dari Râfi‘ ibn Rifâ‘ah, dia menuturkan:

“Nabi SAW telah melarang kami dari pekerjaan seorang pelayan wanita kecuali yang dikerjakan dengan kedua-dua tangannya. Beliau bersabda, “begini (dia kerjakan) dengan jari-jemarinya seperti membuat roti, memintal, atau menenun.” (HR Ahmad).

Oleh itu, wanita dilarang bekerja dalam kedai-kedai yang bertujuan menarik pelanggan. Wanita juga dilarang bekerja sebagai pramugari, atau bekerja di pejabat diplomatik dan konsulat atau pekerjaan lain yang bertujuan mengeksploitasi sifat kewanitaan mereka dalam rangka mencapai tujuan-tujuan politik.

4. Islam melarang menuduh wanita yang baik-baik melakukan zina. Al-Quran menyatakan bahawa orang yang menuduh wanita baik-baik berzina tanpa membawa empat orang saksi akan dihukum dengan lapan puluh kali sebatan dan kesaksian mereka tidak akan diterima selama-lamanya. Allah juga berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik, yang tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan, lagi beriman, akan dilaknat di dunia dan akhirat, dan bagi mereka azab yang besar” (TMQ an-Nûr [24]: 23).

Rasulullah SAW juga pernah menyebutkan tujuh dosa besar yang harus dijauhi, termasuk menuduh wanita suci melakukan zina tanpa bukti. Larangan melontarkan tuduhan zina kepada wanita baik-baik dan menjaga kehormatannya ini juga mencegah penyebaran fitnah dan pencemaran nama baik dalam komuniti Islam. Ini menunjukkan pentingnya menjaga kehormatan komuniti Islam melalui pelaksanaan larangan-larangan ini. Hukum-hukum ini memastikan hubungan antara lelaki dan wanita berlangsung dalam keadaan kesucian dan ketakwaan.

Kesimpulannya, setelah memahami paparan di atas, kita dapat melihat bagaimana Islam menyediakan sistem dan peraturan yang menjadi penyelesaian untuk interaksi antara lelaki dan wanita. Pelaksanaan pelbagai aktiviti yang dibenarkan oleh syariat untuk wanita dalam kehidupan umum tidak akan membawa kemudaratan. Oleh itu, umat Islam perlu memberikan peluang kepada wanita untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang dibenarkan oleh syariat, kerana ini penting untuk kemajuan komuniti dan kehidupan masyarakat. Oleh itu, adalah kewajipan umat Islam untuk mematuhi hukum-hukum syariat, sama ada mereka tinggal di Dâr al-Islâm atau Dâr al-Kufûr, dalam komuniti umat Islam atau di luar komuniti. Apabila aktiviti dilaksanakan dengan mematuhi hukum syariat, ini akan menjaga kehormatan wanita, memajukan jamaah Islam, dan menaati perintah dan larangan Allah SWT. Oleh itu, umat Islam tidak perlu bimbang tentang hal ini. Syariat Islam lebih mengetahui apa yang sesuai untuk individu dan komuniti serta kehidupan khusus dan umum.