Penghinaan Nabi (saw) di Perancis – Bukti Sekularisme adalah Musuh Islam

Setelah tercetusnya insiden pembunuhan seorang guru yang menghina Nabi (saw) di Perancis, beberapa siri demonstrasi telah tercetus sebagai bantahan daripada umat Islam atas perbuatan biadap tersebut. Penghinaan tersebut terjadi apabila guru itu menyiarkan karikatur yang didakwa sebagai Nabi Muhammad (saw) di dalam kelas. Guru tersebut kemudiannya telah dibunuh dan dipenggal kepalanya.

Susulan kejadian tersebut, Presiden Perancis, Emanuel Macron telah mengeluarkan kenyataan yang disifatkan sebagai anti-Islam serta mendukung penghinaan terhadap Nabi (saw). Macron juga telah membenarkan karikatur daripada Charlie Hebdo dipaparkan pada bangunan-bangunan kerajaan sebagai provokasi ke atas umat Islam ketika Perancis sedang berkabung ke atas kematian guru tersebut. Keadaan ini memuncakkan lagi kemarahan umat Islam sehingga mencetuskan beberapa lagi siri demonstrasi serta seruan memboikot produk keluaran Perancis.

Walaupun dunia umumnya dan umat Islam khususnya, mengecam tindakan Macron, namun ia mendapat pujian serta dukungan oleh majoriti rakyat Perancis. Ini kerana rakyat Perancis sangat menyanjungi idea laïcité – satu istilah Perancis yang bermaksud ‘sekularisme’ iaitu pemisahan agama daripada negara. Mereka bermati-matian mempertahankan idea pemisahan agama daripada negara dan kebebasan bersuara adalah mutlak yang tidak boleh ditawar menawar lagi. Idea sekularisme telah sekian lama berkembang di sepanjang sejarah Perancis dan mencapai kemuncaknya apabila ia dikuatkuasakan sebagai undang-undang pada tahun 1905 dengan pewartaan Undang-undang Pemisahan Gereja dari Negara.

Mengapa masyarakat Perancis menjunjung tinggi idea sekularisme dan begitu ‘alergi’ dengan agama?

Umum mengetahui bahawa gagasan yang dianuti oleh masyarakat dan negara Perancis sejak Revolusi Perancis ialah sekularisme. Gagasan sekularisme (pemisahan agama daripada politik) pertama kali muncul di Barat sebagai respons terhadap kezaliman Gereja pada Zaman Pertengahan. Ketika itu, Gereja Kristian menjadi institusi dominan dalam tatanan dunia Eropah.

Sejak pembentukan Sistem Kekuasaan Kepausan (papacy power) oleh Gregory I (540-609M), Paus atau Pope dijadikan sumber kekuasaan agama dan kekuasaan dunia Kristian dengan autoriti mutlak tanpa batas dalam seluruh aspek kehidupan, khususnya aspek politik, sosial dan pemikiran. Dominasi ini ternyata penuh dengan penyimpangan dan penindasan terhadap rakyat Eropah melalui persekongkolan antara Gereja dan raja-raja Eropah.

Kemudian sebagai respons langsung terhadap kezaliman Gereja, maka muncul usaha untuk meluruskan kembali Gereja yang disebut gerakan Reformasi Gereja – yang berlangsung antara abad ke13 hingga ke16M – yang menentang dominasi Gereja dalam kehidupan umum masyarakat. Mereka menyerukan agama perlu disingkirkan daripada kehidupan dan menuntut kebebasan.

Ketika era Pencerahan (Enlightenment) pada abad ke-18M, muncul tokoh-tokoh yang menyerukan pemisahan agama daripada kehidupan secara menyeluruh terutamanya di Perancis seperti Montesquieu, Voltaire, dan Rousseau. Falsafah sekularisme yang didukung tokoh-tokoh ini telah mencetuskan kebangkitan masyarakat Perancis terhadap raja dan gereja, seterusnya menjurus kepada Revolusi Perancis pada 1789. Sejak itu, sekularisme menjadi ideologi masyarakat Perancis sehingga kini. Ia diperkukuhkan lagi pada 1905, apabila prinsip undang-undang di Perancis yang secara rasminya memberi mandat negara untuk kekal neutral terhadap agama.

Berdasarkan ideologi sekularisme, rata-rata rakyat Perancis memandang kebebasan mengamalkan agama yang dianuti seseorang juga bermakna pada masa yang sama orang lain mempunyai hak untuk mengolok-olokkan atau mempermainkan agama tersebut. Penerbitan karikatur dalam majalah Charlie Hebdo yang menghina Rasulullah (saw) merupakan manifestasi kepada pandangan tersebut. Inilah yang dipertahankan oleh Macron dan menjadi modal politiknya dalam menghadapi pilihanraya Presiden akan datang. Kecenderungan ke arah nasionalis haluan kanan ini tidak terhad hanya di Perancis, bahkan turut menjadi modal bagi parti-parti politik di Eropah sejak kebelakangan ini.

Sebaliknya bagi komuniti Muslim di Perancis – yang membentuk sekitar 8 peratus daripada penduduk republik itu – laïcité tidak dianggap sebagai neutral, bahkan kebebasan mengolok-olok agama itu sendiri jelas merupakan suatu penghinaan yang tidak dapat diterima. Bahkan atas dasar laïcité, umat Islam disekat daripada mengamalkan sebahagian daripada tuntutan agamanya, termasuklah dalam pemakaian hijab dan niqab oleh Muslimah.

Kebencian ke atas Islam di Perancis

Sejak kekalahan Perancis di Algeria yang memalukan pada 1962 – sebuah trauma yang masih lagi meninggalkan luka yang dalam – rakyat Perancis mula melihat jejak-jejak Islam dalam kehidupan awam sebagai serangan terhadap asas sekular negara. Pemakaian tudung mahupun niqab oleh Muslimah di khalayak ramai telah dipersoalkan. Orang Perancis sering melihat kritikan pemakaiannya sebagai alat untuk membebaskan sesama warganya daripada penindasan agama. Para pemimpin Perancis pula yang benci terhadap pemakaian tudung melangkah lebih jauh lagi dengan menggubal undang-undang larangan pemakaian tudung di sekolah dan di premis-premis kerajaan manakala undang-undang larangan pemakaian niqab juga digubal kerana dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Perancis juga begitu agresif dalam melaksanakan langkah-langkahnya terutamanya dalam menyasarkan kaum Muslimin. Berdasarkan undang-undang baru, seseorang individu boleh ditempatkan di tempat tinggal, tertakluk kepada sekatan kebebasan bergerak, tertakluk kepada penggeledahan rumah atau diberhentikan kerja, sebahagian besarnya berdasarkan maklumat perisikan rahsia tanpa melalui proses sewajarnya. Ucapan yang dinilai sebagai “apologetik terhadap keganasan” juga boleh menjurus kepada pendakwaan.

Kebencian terhadap Islam telah menguasai pemikiran kebanyakan orang Perancis terutamanya sejak peristiwa 9/11. Ini dapat dibuktikan dalam sebuah kaji selidik yang dilakukan oleh Ipsos terhadap 1,000 orang dewasa di Perancis pada 2017, di mana 61% menyatakan Islam tidak sesuai dengan masyarakat mereka berbanding 6% dan 17% daripada mereka menyatakan masing-masing Kristian dan Yahudi tidak sesuai dengan masyarakat mereka.

Agenda Macron mereformasikan Islam

Di samping ingin meraih kembali popularitinya yang jatuh kerana krisis pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi, Presiden Macron yang juga turut membenci Islam dan tidak mahu melihat Islam mempunyai pengaruh yang besar dalam kehidupan kaum Muslimin Perancis, berkata, “Kita tidak boleh menerima undang-undang agama lebih tinggi daripada undang-undang Republik.” Dia juga melancarkan strategi pemerintahannya menentang politik Islam. “Puak pemisah Islam (Islamist separatism) tidak sesuai dengan kebebasan dan kesaksamaan,” katanya, dan “tidak sesuai dengan kebebasan Republik dan kesatuan bangsa yang diperlukan” (https://foreignpolicy.com/2020/02/24/emmanuel-macrons-war-on-islamism-is-europes-future/).

Kebenciannya terhadap Islam begitu membuak sehingga dia mengatakan Islam sebuah ‘agama dalam krisis di seluruh dunia’ ketika ucapannya mengenai komuniti Islam yang dianggap sebagai ‘pemisah’ dalam negara itu pada awal Oktober lalu. Dalam ucapan yang sama dia telah menggariskan langkah-langkah Perancis untuk mereformasikan Islam atau dengan perkataan lain mengubah ajaran Islam yang akan dilaksanakan pada masa depan sekiranya mendapat kelulusan parlimen. (https://www.independent.co.uk/news/world/europe/macron-france-islam-speech-seperatism-religion-b746835.html).

Antara langkah-langkah tersebut ialah mengehadkan dana yang diterima oleh komuniti Muslim, mengehadkan pengaruh luar ke atas mereka, memastikan para imam dilatih dan diberikan tauliah oleh Perancis dan lain-lain lagi. (https://www.washingtonpost.com/outlook/macron-france-reform-islam-paty/2020/10/23/f1a0232c-148b-11eb-bc10-40b25382f1be_story.html)

Sekularisme sebagai Musuh Islam

Demikianlah permusuhan yang ditunjukkan oleh Macron terhadap Islam. Hal ini bukanlah sesuatu yang aneh kerana sesiapa yang memahami sekularisme pasti akan nampak pertentangannya dengan ideologi Islam. Sebagai akidah yang memisahkan agama daripada negara, sekularisme menolak sebarang unsur agama dalam pengaturan negara terhadap rakyatnya. Berbeza dengan Islam selaku akidah yang melahirkan cara hidup, yang menyatakan agama tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan bernegara. Pertamanya, perlu difahami bahawa segala peraturan hidup bermasyarakat dan bernegara mestilah diambil daripada al-Quran dan as-Sunnah, bukan yang lain. Firman Allah:

فَٱحْكُم بَيْنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ ۖ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَآءَهُمْ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ ٱلْحَقِّ

… Maka putuskanlah perkara di antara di antara mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah, dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka (dengan) meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu” [Al-Ma’idah (5):48].

Kedua, standard ukuran benar atau salah dalam sekularisme diambil daripada akal manusia yang selalu mengalami perbezaan dan perselisihan. Sebagai contoh dalam standard kebebasan bersuara, Perancis mengambil pandangan bolehnya menghina agama lain atas dasar kebebasan bersuara. Pada masa yang sama sebahagian rakyat menentang penghinaan terhadap agama lain sebagai satu kebebasan bersuara. Polemik seperti ini selalu berlaku kerana standard tersebut adalah relatif kerana datang daripada akal manusia yang selalu mengalami penentangan, perbezaan dan perselisihan antara manusia itu sendiri.

Berbeza dengan Islam, standard benar atau salah datang daripada Allah (swt) selaku Dzat Yang Maha Pencipta yang sentiasa tetap dan tidak berubah-ubah standardnya. Walaupun Islam tidak meredhai agama lain, tetapi memaki sembahan orang-orang kafir adalah tidak dibenarkan.

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِيۡنَ يَدۡعُوۡنَ مِنۡ دُوۡنِ اللّٰهِ فَيَسُبُّوا اللّٰهَ عَدۡوًاۢ بِغَيۡرِ عِلۡمٍ

“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan.” [Al-An’am (6): 108].

Sebaliknya Islam menganjurkan dakwah dan perdebatan secara intelektual dalam menunjukkan kebatilan agama lain dan kebenaran Islam sehinggalah kebenaran dimenangkan ke atas kebatilan.

Ketiga, Islam bukan sahaja semata-mata agama yang mengajarkan perkara-perkara ibadah dan akhlak, tetapi ia juga sebuah ideologi yang mengajarkan seluruh kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Dalam Islam terdapat ajaran mengenai politik, pemerintahan, ekonomi, sosial, pendidikan, perundangan, dan dasar luar negara. Apa yang diajarkan oleh Islam sangat bertentangan dengan akidah sekularisme yang rata-rata menjunjung sistem pemerintahan demokrasi dan sistem ekonomi Kapitalisme.

Maka pandangan Islam terhadap sistem pergaulan yang memisahkan lelaki dan perempuan berbeza dengan pandangan sekularisme yang membenarkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Demikian juga sistem ekonomi Islam yang mengharamkan riba, jelas bertentangan dengan akidah sekularisme yang menjadikan riba sebagai teras sistem ekonomi Kapitalisme. Begitu juga dengan sistem pemerintahan Islam (Khilafah) yang menerapkan seluruh hukum Islam berdasarkan perintah Allah (swt), seratus peratus bertentangan dengan sistem demokrasi yang lahir daripada akidah sekularisme yang menjadikan akal manusia sebagai sumber perundangan.

Oleh itu, pertentangan dan permusuhan antara Islam dan sekularisme merupakan sebuah kepastian. Kedua-duanya mempunyai pemikiran-pemikiran, standard, dan peradaban yang bertentangan. Usaha untuk mengkompromikan antara Islam dan sekularisme adalah usaha untuk mencampurkan antara hak dan batil, yang jelas haram di sisi Islam.

Kesimpulan

Secara global, kuasa-kuasa besar baik di Barat mahupun Timur telah melihat umat Islam yang semakin kembali berpegang teguh kepada akidah mereka dan berusaha untuk menerapkan hukum Islam dalam kehidupan mereka. Semakin ramai dalam kalangan umat Islam yang tidak lagi terpengaruh dengan pemikiran-pemikiran kufur seperti sekularisme, demokrasi, komunisme, idea-idea kebebasan dan sebagainya.

Kuasa-kuasa besar melihat hal ini sebagai ancaman kepada mereka dan dalam masa yang sama mereka meyakini kebangkitan Islam akan kembali sedikit masa lagi. Setelah gagal untuk mempengaruhi umat Islam, maka mereka melakukan pemaksaan terhadap umat Islam untuk tunduk terhadap akidah dan idea-idea mereka seperti agenda reformasi Islam oleh Macron di Perancis. Namun semua ini pasti sia-sia dan menjadi penyesalan bagi mereka kerana Allah (swt) pasti akan menolong kaum Muslimin yang ikhlas memperjuangkan agama-Nya. Firman-Nya;

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ لِيَصُدُّوا عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ ۚ فَسَيُنْفِقُونَهَا ثُمَّ تَكُونُ عَلَيْهِمْ حَسْرَةً ثُمَّ يُغْلَبُونَ ۗ وَالَّذِينَ كَفَرُوا إِلَىٰ جَهَنَّمَ يُحْشَرُونَ

“Sesungguhnya orang-orang yang kafir menafkahkan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah. Mereka akan menafkahkan harta itu, kemudian menjadi penyesalan bagi mereka, dan mereka akan dikalahkan. Dan ke dalam Jahanamlah orang-orang yang kafir itu dikumpulkan” [Al-Anfal (8): 36].

Dr. Azlan
Lajnah Tsaqafiyyah
Hizbut Tahrir Malaysia