Penutup Kempen: “Sempena 100 Tahun Kejatuhan Khilafah…Ayuh Tegakkannya Wahai Kaum Muslimin”

Kenyataan Media

Penutup Kempen: “Sempena 100 Tahun Kejatuhan Khilafah…Ayuh Tegakkannya Wahai Kaum Muslimin”

(Terjemahan)

Dengan bantuan Allah (swt), hari ini kami menamatkan kempen global yang dilancarkan oleh Maktab I’lamiy Pusat Hizbut Tahrir di seluruh dunia, sebuah kempen yang dijalankan di bawah arahan Amir Hizbut Tahrir, ulama terkemuka Atha’ Bin Khalil Abu Ar-Rashtah, sempena 100 tahun kejatuhan Khilafah.

Sebagaimana pengumuman di permulaan kempen, aktiviti-aktiviti dan acara media tertumpu di beberapa buah negara di seluruh dunia. Disebabkan kebanyakan negara di mana aktiviti kempen dijalankan, masih terkesan dengan pandemik Coronavirus, aktiviti-aktiviti tersebut dijalankan dengan mengambil kira langkah berjaga-jaga demi keselamatan umum. Terdapat seruan, rakaman video ucapan, seminar dan ceramah, dan juga temubual secara langsung. Artikel dan kenyataan media diterbitkan dan disiarkan di laman-laman sesawang dan stesen-stesen media.

Ucapan dan seruan dilakukan di hadapan lokasi-lokasi bersejarah yang terkait dengan Khilafah di beberapa negeri kaum Muslimin, bagi menyampaikan mesej peri pentingnya ulang tahun ini, dan betapa umat benar-benar mendambakan kembalinya Khilafah. Dengan mesej ini, diharap ia akan mempertaut dan menghimpunkan semula umat Islam yang bertebaran di seluruh dunia dan menghapuskan punca-punca perpecahan yang ditanamkan oleh para kolonialis dalam kalangan anak-anak mereka. Khilafah akan mengembalikan kegemilangan umat, akan menerapkan hukum-Nya, mengatur urusan umat dengan aturan yang terbaik. Khilafah akan menghentikan segala serangan musuh-musuh umat, dan akan mengibarkan panji-panji Tauhid di atas bumi-Nya, sebagaimana pernah dikibarkan oleh Rasulullah (selawat dan salam ke atas baginda, keluarga serta para sahabat baginda ra), pada hari mereka menubuhkan Daulah Islam pertama buat umat Islam. Dengan Daulah Islam itulah, mereka telah mengalahkan Parsi dan Rom, dua kuasa dunia pada waktu itu, dan mereka menyebarkan Islam serta seruannya, dan ini menjadikan mereka benar-benar umat terbaik yang dikeluarkan untuk umat manusia.

Kempen ini tiba ke kemuncaknya dengan ucapan daripada Amir Hizbut Tahrir (semoga Allah melindungi beliau) yang mengandungi pengertian penting yang ditujukan kepada umat Islam. Beliau mengingatkan umat tentang kewajipan besar ini, kewajipan menegakkan Khilafah. Beliau membentangkan dalil-dalil syariah mengenainya dan kepentingan hal ini, baik kepada umat Islam dan selain daripadanya.

Mesej yang disampaikan dalam bentuk ucapan, persidangan, risalah dan seruan, secara keseluruhannya merupakan seruan langsung kepada umat Islam dan tenteranya untuk kembali kepada kegemilangan dan kebanggaan yang pernah wujud di bawah Khilafah dan penerapan hukum syarak yang benar. Hizbut Tahrir telah menunjukkan jalan untuk kembali kepada keberkatan ini, dan masih berjuang bersama-sama umat untuk menghapuskan kebergantungan kepada sistem kufur buatan manusia yang dipaksakan oleh kuffar Barat.

Demikian juga, kami dari Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir, menyampaikan seruan ikhlas kepada setiap Muslim yang berkecimpung dalam bidang media untuk turut serta menyebarkan usaha ini demi meraih redha Allah (swt), dan seterusnya demi menyumbang kepada seruan untuk kembali kepada kegemilangan umat Islam, seruan untuk menegakkan Khilafah Rasyidah yang berdiri atas jalan kenabian buat kali yang kedua.

#أقيموا_الخلافة

#ReturnTheKhilafah

#YenidenHilafet

#خلافت_کو_قائم_کرو

#TegakkanKhilafah

Ir. Salah Eddine Adada

Pengarah Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir