Perbezaan Antara Anzhimah Al-mujtama‘ Dan An-nizhâm Al-ijtimâ‘î

Penulis: Farisha Aris

Hakikatnya pada hari ini, kehidupan manusia dibelenggu oleh pelbagai bentuk konflik dan kekeliruan yang tiada kesudahannya disebabkan oleh kegagalan manusia memahami peraturan yang sempurna daripada Al-Khaliq, iaitu Allah SWT kerana kurangnya pengkajian terhadap tsaqafah dan hukum-hukum Islam. Jika ada yang memiliki ilmu pengetahuan sekalipun, hanya terhad pada teori semata-mata tetapi tidak dipraktikkan sebagai amalan dalam kehidupan. Bahkan sebahagian besarnya hanya memahaminya mengikut adat kebiasaan yang diturunkan secara turun-temurun dan ada juga yang hanya berdasarkan kefahaman akal semata-mata. Padahal Islam telah mengajarkan bagaimana manusia semestinya mengatur kehidupan mereka mengikut al-Quran dan as-Sunnah yang pastinya sistematik dan tidak akan ada kepincangan padanya. Salah satu daripada konflik dan kekeliruan tersebut adalah pemahaman tentang anzhimah al-mujtama‘ (Sistem Sosial) dan an-nizhâm al-ijtimâ‘î (Sistem Pergaulan) yang mengundang pemahaman yang bertentangan daripada peraturan Allah SWT.

Apakah perbezaan antara anzhimah al-mujtama‘ dan an-nizhâm al-ijtimâ‘î? Anzhimah al-mujtama‘ adalah peraturan kehidupan bermasyarakat (Sistem Sosial) yang mengatur semua interaksi yang terjadi dalam suatu masyarakat tertentu secara umum seperti ekonomi, pendidikan, undang-undang, politik, muamalat, kesaksian dan pemerintahan. Apabila berbicara tentang Sistem Sosial, maka perlu difahami bahawa ruang lingkup perbincangannya sangat luas kerana meliputi pelbagai sistem dalam kehidupan manusia seperti yang disebutkan di atas. Sistem Sosial secara jelas tidak membincangkan tentang wujud atau tidaknya interaksi antara lelaki dan wanita. Hakikatnya, pembahasan tentang peraturan interaksi antara lelaki dan wanita (Sistem Pergaulan) memerlukan perbincangan khusus yang berbeza daripada Sistem Sosial dan ia dinamakan sebagai an-nizhâm al-ijtimâ‘î.

An-nizhâm al-ijtimâ‘î merupakan peraturan interaksi antara lelaki dan wanita yang mesti diatur mengikut syariat Islam. Sistem Pergaulan adalah lebih khusus merujuk kepada pengaturan pelbagai masalah yang muncul daripada interaksi antara lelaki dan wanita yang akan membincangkan antara lainnya tentang ikhtilat, khalwat, khitbah, perkahwinan, perceraian, nafkah, pengasuhan, nasab, perwalian dan apa sahaja yang terhasil daripada interaksi antara lelaki dan wanita.

Pemahaman umat tentang sistem pergaulan antara lelaki dan perempuan telah mengalami kekeliruan yang semakin jauh daripada hakikat Islam disebabkan oleh jauhnya kefahaman mereka mengenai hukum-hukum Islam. Oleh itu, seorang Muslim hendaklah mempelajari dan memahami dengan jelas tsaqafah dan hukum-hukum Islam dengan bersungguh-sungguh supaya setiap Muslim mempunyai kefahaman yang sama. Maka tidak akan timbul kekeliruan dalam memahaminya kerana hukum-hukum Islam bersumber daripada al-Quran dan as-Sunnah. Inshaa Allah siri-siri seterusnya akan mengupas dan meluruskan banyak lagi kekeliruan yang berlaku dalam kefahaman masyarakat hari ini.