Perbincangan jihad sudah cukup banyak, bila lagi nak hantar tentera?
Di saat Palestin sudah hampir setengah tahun bermandi darah, dan tidak ada seorang pun penguasa kaum Muslimin yang mengisytiharkan jihad ke sana, suatu perbincangan mengenai jihad sedang rancak berjalan di Malaysia, yang melibatkan ramai tokoh agamawan, dan turut melibatkan Perdana Menteri Malaysia sendiri.
Perbincangan mengenai jihad bukanlah suatu yang baru di Malaysia, kerana sebagai sebahagian daripada tuntutan agama, sudah tentu ia sentiasa dibincangkan dari semasa ke semasa, apatah lagi oleh golongan agamawan.
Namun sayangnya di sebalik perbincangan yang begitu banyak dilakukan, yang melibatkan bukan orang biasa-biasa, tetapi tokoh-tokoh agama yang tersohor, Palestin tetap juga dibantai oleh entiti Yahudi hingga hancur, dan tidak ada seorang tentera pun yang bergerak ke sana.
DI manakah silapnya? Silapnya ialah apabila jihad hanya dibincangkan dari aspek makna bahasanya sahaja, tanpa dibincangkan makna syarienya, maka sudah tentu tidak akan ada pergerakan tentera walaupun hanya selangkah.
Begitu juga apabila jihad dibincangkan dari aspek makna syarienya, tetapi tidak pernah direalisasikan di medannya, maka Yahudi terus sahaja merajalela, Palestin terus hancur, kaum Muslimin terus dibunuh dan Masjidil Aqsa terus terpenjara.
Jadi, berbincanglah mengenai jihad selama 3 hari 3 malam berturut-turut pun, malah jika dibincangkan selama 3 tahun berturut-turut sekali pun, tanpa menyentuh jihad dengan makna yang benar, tanpa dimuhasabah para penguasa yang khianat, tanpa adanya pergerakan tentera, maka keadaan umat Islam akan tetap sama – terus dibunuh oleh musuh-musuh Islam; keadaan wilayah umat Islam seperti Palestin akan tetap sama – terus terjajah; dan keadaan si penjenayah Amerika serta Yahudi akan tetap sama – terus menguasai dunia dengan segala kejahatannya.
Umat Islam di Palestin sudah cukup lama menderita dan Masjidil Aqsa sudah sekian lama memanggil tentera kaum Muslimin untuk datang membebaskannya, sayangnya tidak ada seorang penguasa pun yang ingin meraih kemuliaan membebaskan kaum Muslimin dan masjid yang ketiga sucinya dalam Islam itu. Kesemua penguasa yang ada sudah “selesa” dengan pengkhianatan mereka ke atas Palestin dari satu generasi ke satu generasi, dan tidak ada seorang pun daripada mereka yang mahu keluar daripada zon selesa tersebut.
Apakah para penguasa, dan para ulama yang ada di sisi mereka tidak pernah membaca ayat-ayat jihad yang begitu banyak di dalam Al-Quran seperti:
وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ * وَاقْتُلُوهُمْ حَيْثُ ثَقِفْتُمُوهُمْ وَأَخْرِجُوهُمْ مِنْ حَيْثُ أَخْرَجُوكُمْ
“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, karena sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. Dan bunuhlah mereka di mana saja kamu jumpai mereka, dan usirlah mereka dari tempat mereka telah mengusir kamu” [Al-Baqarah (2): 190-191]”
قَاتِلُوا الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَا بِالْيَوْمِ الْآخِرِ وَلَا يُحَرِّمُونَ مَا حَرَّمَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَلَا يَدِينُونَ دِينَ الْحَقِّ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حَتَّىٰ يُعْطُوا الْجِزْيَةَ عَنْ يَدٍ وَهُمْ صَاغِرُونَ
“Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak (pula) kepada hari akhirat, dan mereka tidak mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya dan tidak beragama dengan agama yang benar (agama Allah), (iaitu orang-orang) yang diberikan Al-Kitab kepada mereka, hingga mereka membayar jizyah dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk” [At-Taubah (9): 29]
Apakah penguasa dan para ulama yang mendampingi mereka tidak pernah tahu bahawa Rasulullah (saw) dan para Sahabat terlibat dalam begitu banyak jihad (perang) berhadapan dengan musuh secara nyata di medan, membunuh dan dibunuh oleh musuh?
Apakah para penguasa dan ulama di sekeliling mereka tidak pernah tahu bahawa di sepanjang sejarah keKhilafahan, jihad (perang) tidak pernah berhenti dilakukan oleh para Khalifah dalam rangka meninggikan agama Allah, mengalahkan musuh-musuh-Nya, membuka negeri-negeri baru, serta menyebarkan rahmat-Nya ke seluruh alam?
Apakah para penguasa dan ulama yang mencari redha mereka, tidak pernah tahu bahawa Palestin dibuka oleh Umar al-Khattab dengan jalan jihad, kemudian diambil semula oleh Sallehuddin al-Ayyubi daripada pasukan Salib, juga dengan jalan jihad?
Sesungguhnya forum, diskusi, seminar, perdebatan dan pelbagai bentuk perbincangan mengenai jihad sudah cukup banyak diadakan selama berpuluh-puluh tahun. Namun, realitinya Palestin tetap terjajah? Kenapa? Tidak lain tidak bukan ialah kerana pasukan tentera tidak pernah bergerak! Penguasa yang NATO (no action talk only) tidak akan membebaskan Palestin!
Perlu diingat bahawa taklif untuk menggerakkan tentera ada di tangan penguasa, dan jika penguasa tidak melakukannya, maka taklif itu beralih ke atas bahu para tentera untuk bergerak, dengan sekali gus menyingkirkan halangan tersebut.
Ya benar peranan para ulama ialah memberi pengisian di majlis-majlis ilmu, termasuk mengenai jihad, namun tidak cukup dengan itu, mereka wajib memuhasabah penguasa dan tentera untuk bergerak. Ini kerana kelalaian dan dosa para penguasa dalam hal ini sangat besar, dan tidak ada yang lebih layak untuk “menghentak” para penguasa dengan hentakan yang paling kuat kecuali para ulama.
Apa yang lebih ajaib ialah apabila sang penguasa sendiri turut memberi pengisian ilmiah mengenai jihad, dan memesongkan makna jihad daripada pengertian syarienya! Betapa jauhnya penguasa seperti ini daripada kebenaran! Tidakkah mereka tahu bahawa tugas dan tanggungjawab mereka bukannya menyampaikan kertas kerja ilmiah mengenai jihad, tetapi wajib mengerahkan tentera untuk berjihad di lapangan!
Inilah nasib umat Islam, sejak runtuhnya Khilafah lebih seratus tahun yang lalu, dipimpin oleh para penguasa yang rata-ratanya merupakan ejen dan boneka Barat, yang memerintah dengan arahan dan kehendak Barat. Dengan runtuhnya Khilafah, kita menyaksikan yang hukum Islam turut runtuh bersamanya, termasuklah hukum jihad, dan dengan lenyapnya jihad, kita menyaksikan umat Islam diratah dengan begitu enak oleh musuh-musuhnya di seluruh belahan dunia, khususnya di Palestin.
Sesungguhnya satu-satunya penyelesaian untuk masalah Palestin ialah dengan jihad fi sabilillah, yakni dengan bergeraknya pasukan tentera kaum Muslimin ke tanah yang diberkati itu untuk memerangi Yahudi dan sekali gus mengembalikan keseluruhan tanah Palestin kepada pemiliknya.
Namun, sayangnya hal ini tidak pernah terjadi sejak jatuhnya bumi Palestin ke tangan-tangan kotor Yahudi, dan hampir mustahil terjadi di bawah para penguasa yang ada sekarang. Maka, kita sebagai umat Islam wajib bergerak untuk menegakkan kembali Khilafah, yang mana Khalifah sudah pasti akan menjawab kebiadaban dan kekejaman Yahudi dan Amerika, bukan melalui pembentangan ilmiah, tetapi melalui pengiriman pesawat-pesawat tempur, kapal-kapal perang, peluru-peluru berpandu, kereta kebal-kereta kebal dan para mujahidin yang cintakan kesyahidan, insya Allah.
Wallahu a’lam.