Percanggahan tentang ISA – Bukti kelemahan manusia membuat undang-undang

Berikutan dari kenyataannya yang tidak bersetuju terhadap penggunaan ISA ke atas tiga orang individu terbabit baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim telah mengumumkan keputusannya untuk berundur sebagai anggota Kabinet.
Walaupun Perdana Menteri memintanya memikirkan semula akan hal itu, namun Zaid tetap tegas dengan keputusannya. Zaid di dalam kenyataannya menegaskan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak harus digunakan terhadap orang awam seperti wartawan dan ahli-ahli politik. Kata beliau, akta tersebut seharusnya hanya digunakan terhadap pengganas ataupun ke atas mereka yang cuba menggulingkan kerajaan menerusi kekerasan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang menyanggah pendapat Zaid berkata, penahanan tiga individu mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah bertujuan menjaga keselamatan serta ketenteraman rakyat negara ini dari isu perkauman dan agama yang telah dibangkitkan. Manakala dalam masa yang sama, Syed Hamid dilihat hanya bersikap acuh–tidak acuh sahaja bila ditanya mengapa Datuk Ahmad Ismail tidak turut ditahan walhal beliau telah membangkitkan hal yang sama. Ujar beliau, Ahmad sudah menerima hukumannya selepas digantung daripada memegang sebarang jawatan dalam parti selama tiga tahun. Polis juga sedang menyiasat Ahmad berikutan aduan dibuat beberapa pihak sebelum ini.

Selain pertikaian lidah di antara kedua ahli UMNO tersebut, beberapa pihak lain juga muncul melakukan ‘anti-thesis’ kepada kerajaan yang mengabsahkan ISA untuk tujuan melestarikan kerajaan yang sedia ada. Parti-parti pembangkang yang memang selama ini tidak bersetuju dengan ISA muncul dengan hujah yang sama, yang bersumber dari akal, untuk menangkis ‘kebaikan’ ISA yang di canang-canangkan oleh pihak Kerajaan.

Apa yang berlaku mutakhir ini menunjukkan ISA sudah mula dipertikaikan secara terbuka oleh anggota kerajaan sendiri, satu fenomena yang sukar dilihat di Malaysia. Percanggahan ini sebenarnya adalah satu perkara biasa di dalam sistem buatan manusia, cuma persoalannya sama ada mereka berani membincangkannya secara terbuka atau tidak. Hari ini, Zaid Ibrahim nampaknya cuba memecahkan tradisi.

Dalam membincangkan tentang perbezaan sesama sendiri berhubung peraturan yang lahir dari undang-undang buatan manusia ini, Syeikh Taqiyuddin Al-Nabhani, pendiri Hizbut Tahrir pernah menyatakan bahawa selama mana manusia mencipta peraturan sendiri untuk menguruskan hidupnya dan membuat sistem hidup sendiri, ini akan menzahirkan pelbagai kelemahan. Komentarnya,

“ … apabila dibiarkan manusia mengatur sendiri sistem hidupnya, perkara ini akan membawa kepada perbezaan (tafaawut), perselisihan (iktilaf), pro-kontra (tanaaqud) dan dipengaruhi oleh lingkungan hidup…yang seterusnya akan membawa kesengsaraan kepada kemanusiaan” [Nizhamul Islam, ms 10]

Kalau kita melihat kepada kenyataan Zaid Ibrahim pastinya kita akan dapat menemukan kenyataan beliau sendiri yang ‘berbeza’ tentang ISA. Beliau bukanlah menafikan ISA seratus peratus tapi melihat bahawa orang awam tidak boleh dikenakan ISA, yang boleh dikenakan ISA hanyalah ‘pengganas’ atau kepada orang yang ingin menggulingkan kuasa dengan cara kekerasan. Cara melihat manusia dari aspek ‘orang awam’ atau ‘pengganas’ inilah yang disebut sebagai tafawut (perbezaan).

Walhal perbezaan tersebut hanyalah terjadi disebabkan ‘syak’ dan ‘tafsiran’ dari kerajaan semata-mata. Contohnya, katalah satu kenyataan perkauman yang sama bentuknya dikeluarkan oleh A, B dan C. Maka ‘terpulanglah’ kepada kerajaan untuk menilai siapakah di antara ketiga orang ini termasuk dalam kategori ‘orang awam’ atau ‘pengganas’. Zaid sendiri tentunya akan membuat penilaian sendiri berhubung ‘status’ orang tersebut, yang, mungkin sama dan mungkin tidak sama dengan penilaian kerajaan. Oleh sebab kuasa ada di tangan kerajaan, maka ini menjadi hak mutlak kerajaan untuk menentukannya dan tafawut (perbezaan) ini hakikatnya terpaksa ditelan oleh Zaid. Justeru, membezakan antara ‘orang awam’ dan ‘pengganas’ tidak memberi apa-apa penyelesaian, kerana ‘cara pandang’ sebegini adalah cara pandang yang tidak menjadikan Islam sebagai panduan. Oleh sebab itulah, walaupun kenyataan Ahmad Ismail dan Raja Petra, kedua-duanya boleh ‘mencetuskan’ huru-hara (bagi kerajaan), tetapi kerajaanlah yang akan ‘menilai’ dan menentukan siapakah yang akan disumbat ke dalam ISA. Walhal menurut Islam, siapa sahaja yang mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan syarak, maka hukumannya sama sahaja, tidak kira siapa pun dia, kerana yang menjadi ukuran adalah ‘syarak’, bukan ‘orangnya’.

Keadaan tafawut ini berlaku juga kepada parti pembangkang, sebagai contohnya, apabila kerajaan mengenakan tindakan ISA kepada orang yang ‘disyak-wasangka’ pengganas itu, datangnya dari ‘gerakan Islam’ seperti JI atau Al-Qaeda, maka pihak pembangkang seperti DAP ataupun Hindraf tentunya tidak akan berkata apa-apa, namun bila Teresa Kok dan beberapa orang pejuang Hindraf dikenakan tindakan ISA, barulah mereka akan berjuang habis-habisan untuk memansukhkan ISA. Bahkan ada juga seruan yang hanya bersifat kepartian, iaitu mereka hanya ingin membebaskan beberapa orang tertentu sahaja dari ISA.

Hukum akal buatan manusia juga tidak lain akan menghasilkan perselisihan (ikhtilaf) dalam kehidupan dan sudut pandang manusia, iaitu memandang sesuatu dari sudut yang berbeza. Sebagai contohnya Datuk Ahmad Ismail bekas ketua cawangan UMNO Bukit Bendera walaupun mengaku membuat kenyataan bersifat perkauman namun dia tidak dikenakan tindakan ISA oleh kerajaan kerana mengikut sudut pandang Menteri Dalam Negeri dia sudah dikenakan tindakan disiplin oleh UMNO. Sedangkan orang yang tidak dapat didisiplinkan oleh UMNO akan dikenakan ISA. Isu keselamatan Negara digembar-gemburkan untuk menghukum penduduk Malaysia yang disyaki akan menimbulkan huru-hara telah bertukar menjadi isu politik dalaman UMNO. Sudut pandang yang mencuat  inilah yang dinamakan Ikhtilaf yang sering kita temukan dalam sistem buatan manusia hari ini.

Dari sudut pro-kontra (tanaaqud) manusia sering mengukur mengikut ‘kepentingan’ masing-masing. UMNO/BN menyokong dan ingin mengekalkan ISA kerana ISA boleh digunakan untuk ‘kepentingan’ politik mereka, manakala parti pembangkang sendiri menolak ISA kerana lebih ramai penghuni Kem Kamunting (Kemta) adalah dari golongan pembangkang. Mungkin jika ISA masih diguna pakai sebagaimana tujuan asal kewujudannya iaitu membendung anasir komunis, lalu beberapa orang pejuang komunis dimasukkan di bawah ISA, maka hal ini tidak akan menjadi satu bangkangan dari pembangkang. Tapi, jika ahli mereka yang ditangkap di bawah ISA, maka mereka pastinya akan membangkang. Pro-kontra ini wujud kerana nilaian ISA dibuat berdasarkan akal, bukannya syarak, yakni ‘cara pandang’ sesuatu yang ditempelkan kepada rasional akal, bukannya berdasarkan kehendak Tuhan. Walhal di dalam Islam, masalah tanaqud sebegini tidak akan wujud kerana setiap orang wajib melihat ISA dari sudut hukum syarak (yakni) sama ada diperbolehkan atau tidak (oleh Islam) menahan seseorang tanpa bicara. Dengan kata lain, apakah Allah dan RasulNya membolehkan kewujudan undang-undang seperti ISA, inilah satu-satunya cara pandang yang benar dan hak di dalam menjawab isu ISA.

Justeru, berdasarkan hukum syarak dengan nas-nas yang jelas, Hizbut Tahrir menolak apa sahaja undang-undang buatan manusia yang bercanggah dengan Islam, termasuklah ISA. Tahanan tanpa bicara ini adalah sesuatu yang bercanggah dengan Islam, di mana terdapat kaedah syarak dalam Islam yang menyebut,
 
“Al-Aslu Bara’atu Zimmah” (seseorang itu asalnya tidak bersalah sehinggalah dibuktikan – Innocent until proven guilty).

‘Syak wasangka’ tidak boleh dijadikan alat untuk menghukum manusia kerana Islam meletakkan ‘pembuktian’ (baiyyinat) sebagai asas kepada hukuman. Tanpa bukti, haram bagi setiap pemerintah untuk menghukum seseorang. Justeru, menghukum (memenjarakan) seseorang di bawah ISA tanpa bicara adalah jelas-jelas haram di dalam Islam. Kerana itulah, Hizbut Tahrir menolak Akta ini, dan juga segala Akta lain yang dibuat berdasarkan akal, tanpa mengikut panduan wahyu! Bukan sahaja Hizbut Tahrir, malah keseluruhan umat Islam wajib menolak Akta ini, dan juga semua undang-undang kufur yang ada, kerana semuanya adalah hasil dari buatan manusia di dalam sistem demokrasi, yang jelas-jelas bercanggah dengan Islam. Segala Akta kufur ini bolah muncul di negeri umat Islam kerana adanya sistem demokrasi yang mana undang-undang itu boleh dibuat oleh manusia hanya dengan suara majoriti di antara mereka, walaupun undang-undang tersebut bersalahan sama sekali dengan undang-undang Allah swt.

[Untuk keterangan dan nas berkaitan dengan isu ini sila kunjungi ruangan fiqh yang akan dikemaskini sedikit masa lagi dengan tajuk ‘keharaman ISA di sisi syarak’].