Perceraian di Kala Pandemik dan Kegagalan Sistem Kapitalisme Menanganinya

Oleh: Maryam Ismail

Masa berlalu begitu pantas dengan atau tanpa kita sedari, Sudah dua tahun seluruh dunia dilanda ujian pandemik Covid-19. Selama tempoh ini pelbagai episod dukalara berlaku di depan mata.  Ada yang diuji dengan kematian, ada yang hilang mata pencarian, ada yang sakit berpanjangan disebabkan “long-covid syndrome”. Ada yang sedang berusaha gigih mengumpul sisa-sisa kekuatan untuk bangkit semula setelah melalui pelbagai cabaran pandemik yang menguji aspek mental dan fizikal. Dalam banyak ujian-ujian ini, antara yang paling terkesan adalah anak-anak apabila mereka kehilangan ibu, bapa atau kedua-duanya disebabkan kematian setelah dijangkiti virus covid-19 dan seringkali dipaparkan oleh pelbagai jenis media secara atas talian (online) dan bukan atas talian (offline).

Namun, sedarkah kita bahawa anak-anak ini juga kehilangan ibu bapa bukan hanya atas faktor kematian, tetapi kerana berlakunya masalah dalam institusi kekeluargaan sehingga membawa kepada perceraian ibu bapa mereka. Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebanyak 77,786 kes perceraian berlaku sepanjang tempoh pandemik iaitu sepanjang bulan Mac 2020 sehingga Ogos 2021 yang mana 66,400 kes membabitkan individu Muslim manakala 10,346 kes membabitkan individu bukan Muslim. Natijah dari perceraian ini adalah pengabaian terhadap anak-anak yang akhirnya akan memberi kesan negatif terhadap masalah kesihatan mental, tingkah laku dan emosi mereka. Oleh itu, tidak menghairankan dapatan dari Dr Fadzilah Kamsah menunjukkan lebih 95% kes disiplin remaja dan belia adalah bermula dari keluarga bermasalah (penceraian).

Menurut tinjauan yang dilakukan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) berkenaan masalah ini, statistik menunjukkan faktor utama yang membawa keretakan rumah tangga pada musim pandemik lagi-lagi ketika gelombang ketiga ini adalah disebabkan oleh defisit ekonomi keluarga yang mana implikasinya adalah kemurungan, pergaduhan, keganasan rumah tangga dan akhirnya membawa kepada perceraian. Menurut Pengerusi LPPKN, Mohd Nizar Zakaria ketika mengulas mengenai trend perceraian, selain kecurangan, ketua keluarga yang menghadapi masalah kehilangan punca pendapatan dan buntu untuk mencari jalan penyelesaian adalah antara punca rumah tangga bergolak.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, statistik kadar perceraian itu sememangnya membimbangkan kerana menunjukkan peningkatan ketara. Menurutnya, data SUHAKAM menunjukkan bahawa, jika dibahagikan jumlah pasangan beragama Islam yang bercerai dalam tempoh 18 bulan sejak Mac lalu, sejumlah 1,989 pasangan mendaftarkan permohonan ini sebulan, 133 pasangan seminggu dan lima pasangan bagi setiap satu jam.

Cadangan Penyelesaian Masa Kini

Walaupun pandemik tidak dianggap sebagai penyebab utama perceraian, tetapi pandemik telah menjadi faktor penggalak kepada kes-kes perceraian, terutamanya kepada pasangan jarak jauh (PJJ) atau pasangan yang sediakala telah mempunyai masalah hubungan. Dalam hal ini, pandemik memburukkan lagi keadaan sehingga “retak menjadi belah” menjadi lebih teruk dan memilih perceraian sebagai jalan keluar. Pelbagai pihak menyatakan solusi tentang perceraian ketika pandemik. Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM memberi pendapat bahawa masalah yang lahir disebabkan perceraian yang melibatkan kebajikan anak-anak hendaklah ditangani dengan baik oleh pasangan dengan kerjasama badan  bukan kerajaan (NGO) dan anggota masyarakat kerana keruntuhan institusi ini memberi kesan tidak selesa kepada kanak-kanak yang boleh menjejaskan proses tumbesaran mereka.

Manakala Pegawai Psikologi Kanan Pejabat Pendaftar Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani pula berpendapat bahawa sebarang isu membabitkan keluarga, seperti perceraian, pertelingkahan, kezaliman dan penderaan akan menggugat kesejahteraan emosi serta kefungsian individu yang mana implikasinya termasuk gangguan pemikiran dan perasaan sehingga menjejaskan prestasi kerja. Hal ini bakal menjejaskan aspirasi untuk menciptakan masyarakat yang bersemangat, maju dan berdaya saing kerana tidak adanya elemen kesejahteraan dalam keluarga dan jauh dari konsep baiti jannati (rumahku syurgaku).

Maka, untuk mengelakkan kesan negatif perceraian, beliau menyarankan agar pasangan yang telah bercerai mengambil tindakan berdasarkan 3W dan 1H iaitu what (apa), when (bila), where (dimana) dan how (bagaimana) untuk memastikan langkag-langkah penyelesaian yang diambil adalah untuk kebajikan anak-anak dan bukan untuk kepentingan individu. Selain itu, saudara-mara juga diharapkan agar memainkan peranan seandainya pasangan yang telah bercerai ini tadi culas dalam mengambil tindakan yang sewajarnya kerana anak-anak dari keluarga yang bercerai ini perlu dibimbing agar dapat berfungsi seperti orang lain. Kegagalan melakukan hal ini boleh menjejaskan anak-anak yang mana sekalipun mereka telah berjaya, akan wujud defisit, emosi terganggu dan distorsi negatif.

Penyelesaian Menurut Islam

Pandemik disebabkan virus Covid-19 adalah salah satu musibah yang diturunkan oleh Allah swt atas banyak sebab, sama ada disebabkan oleh tangan-tangan manusia sendiri atau dugaan dari Allah kepada hamba-Nya atas apa jua tujuan. Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud:

“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” [TMQ ar-Rum(30): 41]

Apabila dikaji tentang perceraian disebabkan pandemik, banyak pihak menyatakan sebab-sebab dan faktor-faktor penggalak dan cadangan penyelesaian yang lebih memberi fokus kepada peranan individu dan anggota masyarakat seperti penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menangani masalah anak-anak yang terlantar setelah berlaku perceraian ibu-bapa, atau bantuan kepada individu yang terbeban dari segi ekonomi disebabkan perceraian. Walhal, Allah SWT telah menyempurnakan agama yang mulia ini sehingga setiap penyelesaian akan masalah yang dihadapi oleh manusia  adalah bersifat holistik yang merangkumi peranan individu, anggota masyarakat dan negara. Dalam hal ini, perlu difahami bahawa penyebab perceraian bukanlah semata-mata disebabkan aspek ekonomi, tetapi ia juga melibatkan aspek dalaman individu itu sendiri. Apa yang nyata ialah, sistem kehidupan yang berlandaskan sistem Kufur-Barat menyebabkan penyelesaian isu terkait pandemik difokuskan kepada agenda memperkasakan ekonomi semata-mata.

(i) Bagaimana Islam menyelesaikan Ekonomi Keluarga

Jika aspek ekonomi menjadi salah satu punca perceraian, dalam sistem pemerintahan Islam iaitu sistem Khilafah, negara (Daulah) mempunyai mekanisme tersendiri menangani hal ini. Ketika banyak orang terjejas disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), negara memberi jaminan bahawa hajat al-asasiyah li afrad (keperluan asas) setiap warganegara tanpa mengira bangsa dan agama  mempunyai akses kepada keperluan asas ini iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Jaminan ini menyebabkan seluruh warganegara mampu hidup dalam keselesaan dan ketenangan walaupun ketika wabak melanda.

Salah satu cara agar hajat al-asasiyah ini dapat di penuhi adalah dengan penyediaan pelbagai peluang pekerjaan agar setiap orang yang mampu bekerja (sihat) dapat memperoleh pekerjaan. Jaminan ini wajib disediakan oleh negara yang bertanggung jawab terhadap warganegaranya. Negara juga wajib memobilisasi seluruh kemampuannya untuk menyediakan prasarana bagi membezakan yang sihat dengan yang sakit agar rakyat dapat bekerja dan beraktiviti dengan tenang dan selamat. Namun akibat kegagalan negara hari ini mengurus pandemik, hal ini agak sulit untuk dilaksanakan kerana ramai yang telah terkorban menjadi mangsa virus ini yang akhirnya menyebabkan peluang perkerjaan yang tersedia tetap tidak dapat dipenuhi.

Negara juga memiliki mekanisme lain untuk memerintahkan kepada setiap ahli waris atau kerabat terdekat yang berkemampuan untuk bertanggungjawab memenuhi keperluan asas tersebut apabila ketua keluarganya sendiri telah tiada atau tidak mampu lagi memenuhi keperluan orang-orang yang menjadi tanggungannya.  Seandainya juga tiada, maka mekanisma seterusnya adalah dengan mewajibkan jiran tetangga yang memiliki kemampuan untuk membantu (jangka waktu sementara). Seandainya pelbagai mekanisma yang paling hampir dengan ahli waris tidak mampu juga menanggung keperluan asas keluarga tersebut, maka wajiblah bagi negara secara langsung memenuhi keperluan asas setiap individu tersebut bagi seluruh warganegara yang tidak mampu dan memerlukan. Hal ini dapat dipenuhi dengan menggunakan dana dari Baitul Mal yang ada dalam struktur negara Khilafah.

Belum lagi seandainya dibincangkan bagaimana sepatutnya negara melakukan “fast response” dalam menangani wabak ini pada awal terbitnya sehingga dapat diyakini wabak tersebut tidak mampu menular dalam negara sehingga menjadi pandemik. Contohnya solusi yang sahih dan berkesan untuk memberhentikan penularan wabak adalah seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT, iaitu sejak awal lagi wajibnya sesebuah negara menutupi sebarang jalan untuk penyakit itu merebak masuk ke tempat lain dan tidak dibenarkan sama sekali mereka yang sakit untuk memasuki mana-mana negara yang masih belum tertular wabak tersebut. Jika dilakukan perkara sedemikian, pasti warganegara di kawasan lain mampu berproduksi dan beraktiviti seperti biasa.

Imam al-Bukhari telah meriwayatkan di dalam Sahih-nya dari Usamah bin Zaid dari Nabi SAW, baginda bersabda:

«إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَدْخُلُوهَا، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا مِنْهَا«

“Jika kamu mendengar wabah di suatu wilayah, maka janganlah kalian memasukinya. Tapi jika terjadi wabah di tempat kamu berada, maka jangan tinggalkan tempat itu”. [HR Bukhari]

Berdasarkan hal itu maka negara mampu membatasi penyakit di tempat asalnya. Inilah kewajipan syarie yang harus dilakukan oleh negara kerana dia merupakan pemegang amanah serta pelayan umat. Hal ini tidak berlaku dalam negara yang mengemban ideologi sistem Kapitalisme kerana asas sistem kufur ini ialah berdasarkan manfaat yang pasti ia tidak akan perhatikan semua perkara diatas. Kapitalisme melihat segala sesuatu daripada aspek keuntungan material semata-mata, dan ia tidak mengenal aspek ruhiyah atau kemanusiaan. Apatahlagi meletakkan hukum syarak sebagai tolok ukurnya perbuatannya. Bagi Kapitalis pintu negara perlu dibuka untuk meneruskan ekonomi pelancongan dan produksi tanpa memerhatikan aspek keselamatan warganegaranya. “Surival for the fittest” adalah slogan yang paling wajar memperlihatkan buruknya ideologi Kapitalisme, yang mana ideologi ini sama sekali tidak akan memikirkan soal nyawa dan kesejahteraan rakyat. Apatahlagi untuk mencari solusi tuntas dalam masalah penceraian ini.

(ii) Pendidikan di dalam Negara Khilafah

Pendidikan adalah penting kerana tanpanya, ilmu tidak akan dapat diraih dan seterusnya digunakan untuk memberi manfaat kepada manusia sejagat. Di dalam Islam, negara wajib memastikan setiap warganegara yang beragama Islam mendapat pendidikan agama yang mantap dan kukuh kerana hal ini adalah prasyarat untuk melahirkan manusia yang taat dan bertaqwa. Negara (khilafah) berperanan untuk memantapkan akidah umat Islam melalui pendidikan termasuk ilmu-ilmu rumahtangga sehingga setiap individu faham tugas, tanggungjawab dan peranan mereka. Ini bermakna, ketika mereka diuji dengan pelbagai ujian hidup termasuk perceraian, mereka tidak akan sekali-kali membiarkan anak-anak menjadi mangsa dan mengharapkan bantuan dari orang lain termasuk NGO-NGO semata-mata.

Ini bermakna pendidikan dalam Islam bertujuan memperkasakan aspek dalaman dan spiritual individu-individu sehingga mereka dapat melihat penyelesaian sesuatu perkara dari aspek Islam dan siapakah yang akan melaksanakannya. Sebagai contoh, dari ilmu yang mereka dapati melalui kelas-kelas pendidikan yang mereka lalui, mereka tahu apakah peranan individu, apakah peranan masyarakat dan apakah peranan negara ketika manusia diuji dengan musibah seperti pandemik covid-19 ini. Hal inilah yang membezakan ideologi Islam dan ideologi Kapitalis yang seringkali melihat penyelesaian sesuatu isu hanya dari perspektif material dan ekonomi semata-mata. Walhal sejatinya ketika dilanda krisis dan musibah, akidah dan keimanan yang mantap ini akan dapat menjadi benteng kepada manusia-manusia yang diuji sehingga mereka tetap saling menguatkan satu sama lain dan saling bantu membantu terutamanya yang memiliki hubungan kerabat. Ketika diuji, sesetengah individu merasa kosong dan perlukan pengisian jiwa. Jika tiada mekanisme memenuhi kekosongan ini dengan amal-amal kebaikan, gangguan Iblis akan menjadikan individu itu rentan terhadap ujian. Ini menunjukkan peri pentingnya pendidikan agama untuk meneguhkan jiwa-jiwa yang mudah rapuh dan hanyut dalam ujian. Dalam hal ini, atas ketaqwaan yang tinggi, sekiranya perceraian tidak dapat dielakkan, kedua-dua pihak tetap berusaha untuk memainkan peranan mereka dengan menjalankan “co-parenting” dalam membesarkan anak-anak. Pendeknya, jika kita tidak boleh mengarahkan angin, kita masih boleh melaraskan layar, selagi dalam ruang lingkup selari dengan hukum Allah.

Kesimpulan

Ketika Islam menjadi solusi, keberadaan sebuah negara (Khilafah) bukanlah satu keajaiban atau “magic” sehingga kita beranggapan bahawa apabila negara yang pernah memayungi dua pertiga dunia ini kembali semua (bi iznillah), kita sudah boleh berehat dan tidak perlu melakukan apa-apa. Sebaliknya apa yang perlu kita fahami ialah perbezaan nyata tentang penyelesaian sesuatu permasalahan termasuk perceraian disebabkan pandemik dari perspektif Sistem Kapitalis dan Sistem Islam iaitu di dalam Islam, pemerkasaan dan peranan yang perlu dimainkan untuk menyelesaikan masalah ini bukanlah hanya diletakkan di atas bahu individu-individu dan anggota masyarakat termasuk NGO-NGO semata-mata, sebaliknya di dalam Islam (sistem Khilafah), negara berperanan untuk menguatkuasakan suatu perundangan yang mana individu-individu atau anggota masyarakat tidak mempunyai bidang kuasa (solahiyah) untuk melaksanakannya seperti hukuman ke atas anggota keluarga yang culas dalam memberi nafkah kepada orang-orang dibawah tanggungan mereka,akses kepada Baitul Mal, menguatkuasakan undang-undang supaya anggota masyarakat menjalankan tanggungjawab menyantuni kerabat-kerabat mereka, mengujudkan peluang-peluang pekerjaan dan merancakkan aktiviti ekonomi agar tidak ada individu atau warga negara yang akan terabai kerana kelesuan ekonomi sehingga memberi implikasi buruk kepada mereka. Hal ini tidak mampu direalisasikan seandainya sistem Kapitalisme  masih lagi membelenggu kita. Sudah saatnya kita sedar dari lena yang panjang bahawa tidak ada yang mampu diharapkan pada peraturan hidup kufur Kapitalisme yang menjadi penyebab kepada pelbagai kerosakan di muka bumi hari ini. Wallahu alam bisshawab.

Rujukan:

  1. https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/09/755070/77786-kes-cerai-sepanjang-tempoh-pandemik-covid-19
  2. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/95-masalah-disiplin-berpunca-daripada-keluarga-bermasalah-dr-fadzillah-kamsah-100904
  3. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/870290/140608-hilang-kerja-akibat-covid-19
  4. https://www.getaran.my/artikel/semasa/11612/perceraian-jejas-emosi-fungsi-individu