Perhambaan Dalam Kemerdekaan
Tanggal 31 ogos 1957 telah diiktiraf sebagai Hari Kemerdekaan Malaysia. Bagi Sabah pula, tarikh 31 Ogos 1963 telah dipilih sebagai Hari Sabah manakala Sarawak pula pada 22 Julai 1963. Sabah dan Sarawak telah bergabung dengan Tanah Melayu membentuk persekutuan Malaysia pada 16 September 1963, yang pada ketika itu Singapura masih bersama. Tarikh 31hb Ogos tersebut telah menandakan bahwa penjajahan British ke atas Tanah Melayu sudah berakhir.
Adakah kita sudah benar-benar merdeka? Jawabnya Ya, iaitu merdeka secara fizikal iaitu dari segi campurtangan kuasa asing dalam pemerintahan. Namun, dari segi perlaksanaan sistem di dalam negara kita daripada sudut politik, ekonomi, sosial, pendidikan, perundangan, hubungan luar negara seperti beberapa contoh sebelumnya, amat jelas bahawa kita masih lagi mewarisinya daripada penjajah. Sebagai umat Islam di negara ini, kemerdekaan yang hakiki masih belum wujud. Ini adalah kerana, kita perlu mengabdikan diri kepada Allah, Tuhan sekalian alam sebagaimana kata-kata Rabi’ bin Amir r.a ketika berhadapan dengan Rostum, Panglima Perang tentera Parsi:
“Allah telah membangkitkan kami untuk mengeluarkan sesiapa sahaja yang Dia kehendaki dari perhambaan terhadap sesama hamba kepada perhambaan kepada Allah, daripada kesempitan dunia kepada keluasannya, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.”
Bagi memahami bentuk perhambaan sesama manusia dalam konteks ucapan Rabi’ bin Amir ini, penjelasannya boleh kita dapati daripada hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh ‘Adi bin Hatim:
Dari ‘Adi bin Hatim, dia berkata, “Aku mendatangi Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam , sedangkan pada leherku ada (kalung) salib yang diperbuat daripada emas. Maka baginda bersabda, ‘Hai ‘Adi, buanglah berhala itu darimu!” Dan aku mendengar baginda membacakan ayat:
اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ
“Mereka (orang-orang Yahudi dan Nashrani) menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai rabb-rabb (tuhan-tuhan) selain Allâh”)[TMQ At Taubah: 31]….lalu baginda bersabda, ‘Sesungguhnya mereka itu (para pengikut) tidaklah beribadah kepada mereka (orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka). Akan tetapi jika mereka (orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka) menghalalkan sesuatu untuk mereka, merekapun menganggap halal. Jika mereka (orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka) mengharamkan sesuatu untuk mereka, merekapun menganggapnya haram”. [HR. Tirmidzi, no: 3095; dihasankan oleh Syaikh al-Albâni]
Inilah maksud dengan perhambaan sesama manusia yang cuba disampaikan oleh Rabi’ bin Amir kepada Rostum iaitu perhambaan dalam konteks manusia mengikuti serta mentaati para pendeta atau para pemimpin mereka yang membuat hukum untuk mereka. Apa yang dihalalkan oleh para pemimpin, mereka ikut menghalalkan manakala apa yang diharamkan oleh pemimpin mereka, mereka turut mengharamkan. Mereka tidak mengikuti suruhan Tuhan mereka sebaliknya mengikuti suruhan pemimpin mereka. Inilah yang dikatakan sebagai perhambaan sesama manusia. Hal ini juga telah pun terjadi kepada Bani Israel apabila mereka mentaati kehendak para pendeta dan bukan lagi perintah Allah SWT. Ini dijelaskan oleh Ibnu Taimiyah dalam Majmu’ Fatawanya:
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata, “ar-Rabî’ bin Anas berkata, ‘Aku bertanya kepada Abul ‘Aliyah, ‘Bagaimana rububiyah yang ada pada Bani Israil (yakni para pengikut yang menjadikan para pendeta sebagai tuhan) ?’ Beliau menjawab, “Rubûbiyah (pada mereka) itu adalah bahawa mereka mendapati dalam kitab Allah apa-apa yang diperintahkan dan dilarang buat mereka, lalu mereka mengatakan, “Kita tidak akan mendahului para pendeta kita dengan sesuatupun. Apa yang mereka perintahkan kepada kita, kita laksanakan, dan apa yang mereka larang, kita tinggalkan kerana perkataan mereka.” Mereka meminta nasihat daripada manusia (para tokoh mereka) dan membuang kitab Allah di belakang punggung mereka. Nabi SAW telah menjelaskan bahawa peribadahan para pengikut itu kepada para pendeta adalah dalam hal menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal, bukan dengan melakukan shalat dan puasa untuk para pendeta (dan bukan pula) berdo’a kepada mereka selain daripada Allâh. Inilah peribadahan (penyembahan) kepada manusia. [Majmû’ Fatâwâ, 7/66]
Pada hari ini, umat Islam masih belum boleh dikatakan telah merdeka di dalam ertikata telah membebaskan manusia daripada perhambaan kepada sistem buatan manusia menuju perhambaan kepada Allah SWT. Kita masih menjadi hamba kepada manusia yang lain terutamanya kepada para elit pemerintah dan para kapitalis yang mempunyai kepentingan dalam pembuatan undang-undang. Inilah bentuk perhambaan moden yang tidak disedari oleh kebanyakkan daripada kalangan umat Islam.
Perintah Allah mengarahkan manusia menjadi khalifah di muka bumi dan menjadi abdi kepada Allah. Manusia disuruh beribadah kepada Tuhan Maha Esa yang telah mencipta mereka. Ahli ibadah digelar ‘abid. Istilah itu berkait dengan ‘abd, dan ketika disandingkan dengan kalimah Allah, jadilah ia ‘abdullah, iaitu hamba Allah. Di antara ciri-cirinya adalah mematuhi perintah dan larangan Allah. Ukurannya pula adalah dosa dan pahala. Jika kita renungkan firman Allah:
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” [TMQ Az-Dzariyat: 56]
Ibadah itu ada yang umum dan khusus. Bagi seseorang manusia, bentuk perhambaannya yang sebenar adalah melakukan perintah dan meninggalkan larangan Allah sesuai kapasitinya sebagai individu. Ketika bermasyarakat, mereka dituntut untuk melakukan perintah Allah dan segala kefarduannya termasuklah melaksanakan perintah amar makruf nahi mungkar. Ketika manusia memegang urusan pemerintahan, maka ketika itu datang taklif atau bebanan hukum bagi negara sebagaimana yang telah ditetapkan oleh syarak. Jadi, negara tidak boleh merdeka daripada hukum Allah. Tetapi mereka wajib merdeka daripada hukum manusia. Yang layak memperhambakannya manusia itu hanya Allah azzawajalla. Wallahu a’lam.