PKPB: Sarawak Terus Bermasalah

Pada hari ini (2 Mei 2020) Sarawak merekodkan pertambahan 9 kes positif Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif kes adalah 518. Pertambahan kes positif melalui jangkitan dalam komuniti ini amat membimbangkan. Pagi semalam, Perdana Menteri Malaysia mengumumkan kelonggaran PKP bermula pada 4 Mei 2020 dengan diberi jenama baharu sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Namun pada petang hari ini, kerajaan Sarawak mengumumkan bahawa negeri Bujang Senang ini tidak akan mengikuti PKPB yang diumumkan oleh kerajaan pusat. Malahan, mana-mana syarikat yang sudah mendapat kebenaran untuk beroperasi daripada MITI, masih perlu membuat permohonan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri sekiranya ingin beroperasi.

Pelik! Sebelum ini ketika kerajaan negeri dipersoalkan kenapa kilang-kilang di Samajaya masih dibenarkan beroperasi sejak PKP yang pertama dimulakan, jawapan yang diberikan ialah, ia di bawah kuasa MITI! Kali ini lain pula jawapannya apabila kerajaan Sarawak boleh pula menggunakan ‘veto’ untuk menghalang mana-mana syarikat dalam negeri ini daripada beroperasi. Kalau ditanya kenapa masjid belum dibuka untuk solat Jumaat, lagilah entah ke mana jawapannya.

Sekiranya dibuat perbandingan jumlah kes aktif di Sarawak ketika ini dan dibandingkan dengan negeri yang paling teruk terjejas di Malaysia, iaitu Selangor, ternyata jumlah kes aktifnya adalah sebanyak 233 kes berbanding Selangor dengan 157 kes aktif (setakat 1 Mei 2020).

Dari segi peratusan jumlah kes positif berbanding dengan jumlah ujian yang dijalankan, Sarawak mencatatkan peratusan lebih daripada 10% berbanding peratusan peringkat kebangsaan yang hanya 3.71%.

Dibandingkan dengan kes sembuh pula, peratusannya adalah 52.32% berbanding 70.05% di peringkat kebangsaan.

Bukankah statistik ini menggambarkan keadaan perkembangan kes Covid-19 di Sarawak adalah tidak setara dengan perkembangan keseluruhan di Malaysia?

Apa yang sedang berlaku amat berbeza dengan apa yang dinyatakan oleh Ketua Menteri pada 26 Mac 2020 yang lalu. Katanya kes di Sarawak lebih mudah terkawal kerana ada Laut China Selatan sebagai pemisah dengan Semenanjung yang lebih teruk terjejas. Namun apa yang berlaku ketika ini ternyata sebaliknya – tatkala kes di Semenanjung sudah berkurang, Sarawak pula sedang bergelut!

Hakikatnya, di Sarawak masih terdapat banyak kluster-kluster kes yang aktif dan kes-kes sporadik yang tidak tahu dari mana asalnya. Di awal PKP dahulu, kerajaan Sarawak sibuk mengagihkan bantuan makanan ke kawasan pedalaman (pastinya dengan iringan ramai wartawan). Harapnya segala bantuan sampai sebagaimana yang ditetapkan dan bukannya masuk ke kocek orang politik di kala parti kerajaan sudah semakin hilang sokongan di kawasan pedalaman. Apatah lagi di saat pilihanraya negeri sudah semakin hampir, peluang yang ada mesti digunakan sebaiknya untuk menarik hati pengundi. Bukankah penduduk di pedalaman memiliki pelbagai sumber makanan di sekeliling mereka berbanding dengan penduduk di bandar? Bukan ingin menafikan hak mereka untuk mendapatkan bantuan, tetapi ada tanda tanya di situ!

Dari segi kesediaan hospital pula, Hospital Umum Sarawak yang sudah cukup sesak, ditambah pula dengan kes Covid-19 yang tidak putus-putus, pastinya ia cukup meletihkan kakitangan kesihatan yang bilangannya semakin berkurangan kerana ada dari kalangan mereka yang turut terjangkit.

Manakala jarak di antara satu hospital ke satu hospital Covid-19 pula bukannya dekat, yang paling dekat ialah 200km. Kalau dari Hospital Umum Sarawak di Kuching ke Hospital Sibu, jaraknya adalah lebih 300km dan memakan masa lebih 6 jam dengan laluan umpama dipukul ombak dan badai meskipun hanya berkelana di daratan – satu perjalanan yang membuatkan orang sihat pun boleh jatuh sakit!

Sesungguhnya pandemik ini semakin menzahirkan betapa daifnya kemudahan kesihatan di Sarawak. Negeri yang kaya raya ini nampak hebat di depan mata kerana kekayaan sumber alamnya, akan tetapi kemudahan awam untuk rakyat tidak pernah seimbang. Kerajaan negeri sepatutnya membina lebih banyak hospital di bandar-bandar besar seperti Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri. Di samping itu perlu menambah bilangan kakitangan kesihatan yang bertugas di setiap hospital yang sedia ada. Malangnya perkhidmatan kesihatan di klinik-klinik untuk ibu mengandung serta khidmat selepas bersalin pun sungguh mendukacitakan kerana jumlah staf yang tidak mencukupi, selain keadaan yang sangat daif.

Untuk menangani kes Covid-19, kerajaan negeri serta persekutuan seharusnya mengambil langkah yang lebih drastik serta tepat untuk membendung penularan penyakit ini daripada semakin tidak terkawal. Jika tidak, Sarawak akan terus bergelut dengan virus ini dan akan terus tercungap-cungap ditengah jalan tatkala orang lain sudah tiba di garisan penamat.

Ir. Yusuf M.