Politik Amerika Syarikat Terhadap China dan Rusia

(Terjemahan Soal Jawab Amir Hizbut Tahrir)

Soalan:

Kerajaan baru Amerika di bawah pimpinan Biden mula menyerang China dan Rusia. Pada masa yang sama, ia juga mula memperkuatkan kerjasama dan menghidupkan semula pakatan lama dengan beberapa negara. Bagaimana Amerika meneruskan politiknya terhadap kedua negara ini dan apa tujuannya? Adakah pemerintahan ini berbeza dengan pendahulunya?

Jawapan:

Mari kita kaji tindakan pentadbiran baru ini dan memberi penjelasan mengenai identiti dan matlamat tujuan-tujuan politik Amerika yang sebenar:

Pertama: Presiden Amerika Biden pada 12/3/2021 mengadakan persidangan dengan pemimpin Australia Scott Morrison, pemimpin India Narendra Modi, pemimpin Jepun Shahidi Suga melalui internet, dengan mengingatkan bahawa negara-negara ini menjadi poros dalam usaha Amerika menghadapi kekuatan ketenteraan dan ekonomi China yang semakin meningkat. Biden berkata: “Kawasan bebas dan terbuka di Lautan Hindi dan Pasifik sangat penting untuk masa depan kita semua. Amerika komited untuk bekerjasama dengan anda dan dengan semua rakan dan sekutu kami di rantau ini untuk mencapai kestabilan” [Middle East, 13/3/2021].

Seterusnya, pada 13/3/2021 Setiausaha Pertahanan Amerika Lloyd Austin mengumumkan bahawa “Dia akan pergi ke Asia untuk lawatan satu minggu dan akan mengunjungi Tokyo, Seoul dan New Delhi membincangkan cara-cara untuk mempereratkan kerjasama ketenteraan di rantau ini dengan sekutu Amerika dan membina pertahanan yang dipercayai boleh menghadapi negara China”. Dia akan bersama-sama dengan Setiausaha Negara Amerika di Tokyo dan Seoul untuk bertemu dengan rakan-rakan sejawatnya di sana.

Itu berlaku sebelum pertemuan pertama pasukan Biden di Alaska dengan para pegawai di Kementerian Luar Negeri China: “Yang Jiechi yang bertanggungjawab dalam hubungan luar negeri dari Parti Komunis China dan Menteri Luar China Wang Yi” [Middle East, 14/3/2021] bagi membincangkan situasi di Hong Kong, Xinjiang (Turkestan Timur), Tibet, Taiwan dan pelanggaran hak asasi manusia.

Kedua: Pada 20/3/2021 Setiausaha Pertahanan Amerika Lloyd Austin berkata: “Kami pasti mendesak semua sekutu dan rakan kongsi kami untuk menjauhkan diri daripada peralatan Rusia dan daripada mendapatkannya dengan cara apa pun yang akan mengakibatkan sekatan dikenakan ke atas mereka”. Dia menambah, “India belum menerima pengiriman sistem pertahanan udara S400 Rusia dan oleh itu belum membincangkan kemungkinan akan diadakan sekatan” [Al-Jazeera, 20/3/2021].

Perdana Menteri India, Modi menandatangani perjanjian dengan Presiden Rusia Putin pada 2018 untuk membeli sistem pertahanan udara Rusia S400 dengan harga USD5.4 bilion. India membayar USD800 juta pada tahun 2019 sebagai pembayaran pertama perjanjian ini. Dianggarkan bahawa penghantaran fasa pertama peluru berpandu ini akan dilakukan pada tahun ini. Kunjungan Austin ke India yang akan datang adalah dalam rangka usaha Amerika untuk membentuk negara-negara sekutu yang bertujuan untuk menyekat pengaruh China di rantau ini dan juga membatasi pengaruh Rusia.

Sementara itu, syarikat pertahanan Amerika menandatangani perjanjian bernilai berbilion dolar untuk membekalkan India dengan peralatan ketenteraan termasuk pembelian 150 pesawat perang dan helikopter bagi tujuan pemodenan angkatan bersenjata India. India merancang untuk melabur sekitar 250 bilion dolar untuk tujuan ini. Perlu diingatkan bahawa Rusia adalah pengeksport senjata terbesar ke India. India dan Turki bimbang Amerika akan mengenakan sekatan kerana membeli sistem S400. Sejak Modi berkuasa pada tahun 2014, dia telah mempererat hubungan Amerika-India kerana Modi telah mengikuti percaturan politik Amerika.

Pada tahun 2016, Amerika mengkategorikan India sebagai “rakan pertahanan utama”. Sejak itu, Amerika menandatangani beberapa siri perjanjian dengan India untuk memudahkan pemindahan senjata-senjata tepat dan mempererat kerjasama ketenteraan. Amerika mahu India menahan diri sepenuhnya daripada membeli sistem pertahanan S400 Rusia dan senjata lain untuk terus memerlukan Amerika dalam persenjataan sebagai ganti. Ini berbeza dengan politik pro-British (yang diamalkan) Parti Kongres India.

Dahulu, selama sedekad pemerintahan Parti Kongres di India, Britain mendorongnya untuk membeli senjata dari Rusia semasa dan selepas Kesatuan Soviet hingga akhirnya Amerika menguasai India dan dapat memperluaskan pengaruhnya di sana. Tetapi ketika Amerika berjaya membentuk agen-agennya dalam Parti Bharatya Janata yang menjadi tampuk pemerintahan di India sekarang, Amerika mula berusaha untuk menghubungkan India dengannya dalam hal-hal senjata dan ketenteraan sehingga Amerika mengendalikan perkara-perkara ini secara politik dan ketenteraan di India dan menamatkan kewujudan pengaruh Britain di sana.

Ketiga: Pada masa yang sama, Amerika terlibat dalam perbincangan dengan China dan memberi tekanan langsung kepada China. Pembukaan pertemuan antara Kementerian Luar Negeri AS dan China di Alaska Amerika telah diadakan pada 18/3/2021. Setiausaha Negara AS Anthony Blinken berkata, “Tindakan China telah mengancam sistem yang berada di atas peraturan yang menjamin kestabilan global”.

Dia berkata, “Kami akan membincangkan kekhuatiran kami yang mendalam mengenai China di Xinjiang ‘Turkestan Timur’, Hong Kong, Taiwan serta serangan elektronik ke atas Amerika Syarikat dan paksaan ekonomi terhadap sekutu kami. Semua tindakan ini mengancam sistem yang sedang berdiri atas prinsip-prinsip dan peraturan yang menjaga kestabilan global”.

Sementara itu, Yang Jiechi, pegawai yang bertanggungjawab bagi Hubungan Luar dari Parti Komunis China, menjawab, “Bahawa China mengkritik keras campur tangan Amerika dalam urusan dalaman China. Kami menyatakan penolakan kami terhadap campur tangan seperti ini dan kami akan mengambil langkah-langkah tegas untuk bertindak balas. Apa yang perlu dilakukan adalah melepaskan diri dari fikiran ke arah perang dingin” [Reuters, 19/3/2021].

Oleh itu, Amerika ingin mendesak China secara langsung di bawah apa yang disebut sebagai dialog dalam ruang lingkup perang psikologi dan menggunakan media untuk mendedahkan kepada dunia tentang wujudnya tindakan melanggar hak asasi manusia oleh China, bukan kerana keprihatinan AS terhadap hak asasi manusia, sebaliknya digunakan sebagai tekanan terhadap China. Akan tetapi, China nampaknya tidak bersetuju kerana pegawai China tersebut tegas bertindak balas ketika mereka diserang. Kerana Amerika juga melanggar hak asasi manusia di dalam dan luar negaranya. Jadi Amerika juga dituduh seperti China. Selain fakta tersebut, Amerika menguasai negara-negara lain dan berusaha untuk memaksakan hegemoni ke atas negara-negara tersebut, memeras ugut dan merompak kekayaan mereka.

Keempat: Pemerintahan baru yang dipimpin oleh Biden telah memberi isyarat bahawa sekarang adalah waktunya untuk meneruskan perang perdagangan yang dilancarkan oleh pemerintahan Trump. Ini dilakukan dengan menggerakkan sekutu dan kekuatan lain bersamanya. Biden memilih Blinken sebagai Menteri Luar kerana telah terlibat dalam keputusan hukuman terhadap China. Dia telah mengumumkan di hadapan Suruhanjaya Hubungan Luar Negeri di Senat AS, “Tidak ada keraguan bahawa China telah menjadi cabaran yang lebih besar bagi kita daripada negara lain, tetapi itu adalah cabaran yang kompleks dan bahawa Amerika mesti mula mendekati China dengan sebuah prinsip kekuatan bukan sebagai prinsip kelemahan, dan sebahagian kekuatan itu adalah kerjasama dengan sekutu dan terlibat sama dengan institusi antarabangsa. Izinkan saya untuk mengatakan bahawa saya juga percaya bahawa Presiden Trump berhak untuk mengambil sikap tegas menentang China. Saya tidak begitu setuju dengan cara yang beliau ambil dalam beberapa bidang, tetapi dari sudut pandang prinsip asasnya betul, dan saya percaya bahawa ini benar-benar berguna untuk dasar luar kita” [Anadolu, 20/1/2021]. Ini bererti bahawa politik Amerika terhadap China pada dasarnya adalah satu, tetapi uslub yang diambil berbeza dari satu pemerintahan ke pemerintahan yang lain. Politik bertahan telah berakhir dan politik konfrontasi telah bermula demi membatasi perkembangan China di dalam dan di luar rantau ini.

Kelima: Amerika dengan jelas mengumumkan ketakutannya terhadap perkembangan China. Presiden Biden berkata, “Sekiranya kita tidak bergerak maka orang Cina akan memakan makanan kita. Mereka mempunyai inisiatif baru yang besar dalam bidang kereta api. China membuat kemajuan pesat dalam bidang teknologi kenderaan elektrik ”. Dia berkata, “Pada hari Rabu 10/2/2021 dia berbicara dengan rakan sejawatnya dari China, Xi Jinping selama dua jam mengenai beberapa isu termasuk hak asasi manusia dan keselamatan”. Jurucakap media Rumah Putih, Jane Psaki berkata, “Saya percaya bahawa pandangan Presiden ialah bahawa kita bersaing dengan China. Dan dia jelas mengenai dalamnya cabaran ini” [Wallstreet Journal, 12/2/2021].

Biden mengulangi keprihatinan negaranya sekali lagi dengan mengatakan, “Terdapat persaingan yang sengit antara Amerika Syarikat dan China. China berusaha untuk menjadi kuasa besar dunia dari segi kekuatan dan pengaruh. Dan dia berjanji bahawa itu tidak berlaku semasa dia berada di Rumah Putih dan bahawa dia akan berkomunikasi dengan ketua-ketua negara dari 27 buah negara untuk mengkoordinasi langkah seterusnya menentang Beijing. Kami akan meminta pertanggungjawaban China dan menuntut agar ia menghormati undang-undang terutama di Laut China Selatan” [Al-Jazeera, 25/3/2021].

Pentadbiran Biden pada awal bulan Mac mengeluarkan dokumen “Orientasi Strategi Kontemporari Terhadap Strategi Keselamatan Kebangsaan” yang berisi arahan pentadbiran baru untuk agensi keselamatan negara agar mereka dapat menangani cabaran global. China disebutkan sebanyak 15 kali dalam dokumen 20 halaman kecil sementara Rusia hanya disebut lima kali!

Keenam: Amerika berpandangan bahawa China sama sekali belum mampu memaksakan kawalannya di Laut China Selatan dan sekitarnya. China sedang berusaha untuk mencapainya. Amerika ingin mengelakkan China daripada dapat mengawal dan menduduki kawasan tersebut dengan menyibukkannya dengan negara-negara di rantau ini. Amerika berusaha menjadikan China sebagai pusat kuasa serantau yang dikepung dari semua sisi. Di Laut China Selatan ada beberapa negara termasuk Indonesia, Malaysia, Filipina, dan Vietnam yang sedang diusahakan oleh Amerika untuk digerakkan menentang China.

Berdekatan dengan laut ini, di Laut Pasifik terdapat Australia yang sedang bekerjasama dengan Amerika untuk menentang China. Di Laut China Timur terdapat Jepun, Taiwan dan Korea Selatan. Negara-negara ini adalah tergolong dengan sekutu kuat Amerika. Amerika telah menyedari bahawa China ingin bersatu dengan Taiwan di bawah syarat-syarat kesatuan secara sukarela. Pada zaman Trump, Amerika telah menarik balik pengiktirafan itu. Kemudian China mengancam untuk menyerang Taiwan. Oleh itu, Trump menyerah kalah dan mengakui perjanjian tersebut, iaitu perjanjian yang ditandatangani oleh Amerika dengan China pada tahun 1979 dengan ketentuan bahawa penyatuan itu berlaku melalui kesefahaman, beransur-ansur, dan melalui pendekatan ekonomi dan politik. Tetapi Amerika meletakkan beberapa halangan untuk mencapainya.

Amerika membekalkan senjata kepada Taiwan dan menyokongnya secara politik dan ekonomi. “Seorang laksamana Amerika, Philip Admison, komandan pasukan Amerika di wilayah Lautan Hindi dan Pasifik (ENDOPAM) pada 10/3/2021 memberi amaran bahawa China mungkin menyerang Taiwan dalam enam tahun, iaitu pada tahun 2027”. Dia berkata di hadapan Senat AS, “Saya khuatir orang-orang China akan mempercepatkan projek mereka untuk menggantikan Amerika Syarikat sebagai kekuatan ketenteraan terbesar di rantau ini pada tahun 2050” [Al-Jazeera, 11/3/2021].

Amerika takut bahawa dengan pengiktirafannya, China akan menggabungkan Taiwan yang dianggap sebagai sebahagian daripada China. Tetapi terdapat kelewatan dalam merealisasikannya. Tampaknya China telah bosan dengan penundaan dan permainan Amerika yang menghalang pelaksanaan penyatuan tersebut. China berpandangan bahawa Amerika tidak menginginkannya terjadi. Nampaknya ada ancaman serius dari China ke atas Taiwan. China mampu menggabungkan Taiwan dengan kekuatan. Tetapi China tidak mahu kehilangan hubungan perdagangannya dengan Amerika dan mungkin hubungannya dengan banyak negara lain, kerana Amerika akan mengumpulkan negara-negara lain menentang China jika China bergerak merealisasikan langkah ini.

Ketujuh: Masalahnya agak berbeza antara Rusia dengan China. Rusia menguasai pelbagai wilayah di Asia Tengah dan Kaukasus serta bahagian Eropah Timur hingga ke Ukraine, dan ini adalah wilayah pengaruh Rusia yang telah wujud lama sejak zaman Kesatuan Soviet lagi. Amerika bersaing dengan Rusia di wilayah pengaruh Rusia itu untuk menstabilkan kawasan tersebut dan memperluaskan pengaruhnya. Ini kerana, Amerika boleh masuk ke sana dan masih berusaha untuk memperluaskan pengaruhnya di beberapa bahagian tetapi masih belum mampu mencapai kestabilan. Pada masa yang sama, tekanannya terhadap Rusia terus berlanjutan lebih dari satu sudut iaitu politik, ekonomi, media, dan psikologi.

Kerana itu, Presiden AS Biden menyifatkan presiden Rusia Putin sebagai “pembunuh” dalam tindak balasnya terhadap peristiwa keracunan terhadap pembangkang Rusia Alexei Navalny. Biden berkata, “Akan ada natijah daripada percubaan Rusia untuk campur tangan dalam pilihan raya Amerika tahun lalu walaupun Kremlin bertegas menolak tuduhan itu”. Biden berjanji Rusia akan membayar harganya atas campur tangan mereka itu. Biden berkata, “Putin akan membayar harganya dan dia (Biden) memberi amaran tentang kemungkinan tindakan balas Amerika dalam perbualan telefon yang dilakukannya dengan Putin pada akhir Januari”.

Ketika menjawab persoalan mengenai akibat yang diharapkan, dia berkata: “Anda akan melihatnya dalam waktu terdekat” [ABC America, 17/3/2021]. Dia menunjukkan meningkatnya sekatan terhadap Rusia. Yang peliknya, tindak balas Putin begitu lemah malah memalukan. Putin berkata, “Moscow tidak akan memutuskan hubungan dengan Washington dan bahkan akan bekerjasama dengan Amerika Syarikat atas dasar kepentingan Rusia” [Televisyen Rusia, 18/3/2021].

Ini jauh menunjukkan bahawa Rusia lemah dan takut akan sekatan, tekanan, dan kempen Amerika menentang Rusia di Ukraine, Crimea, dan Eropah. Perlu diketahui bahawa, Pengerusi Majlis Persekutuan Negeri Duma (Parlimen), Vyacheslav Volodin menganggap serangan Biden terhadap Presiden Rusia Putin dan negaranya sebagai “serangan bagi semua rakyat Rusia”. Dia berkata, “Biden telah menghina warganegara kita dengan kenyataan ini. Keadaan yang kacau ini berpunca dari kelemahan. Putin adalah presiden kami dan serangan terhadapnya adalah serangan ke atas semua warganegara kita ” [Rusia Today, 17/3/2021].

Setakat yang dapat dilakukan oleh Rusia hanyalah meminta kedutaan besarnya ke Washington untuk berunding, tidak lebih dari itu! Presiden Rusia meminta diadakan perbincangan dengan Biden. Amerika menolak dan melontarkan penghinaan lain. Kementerian Luar Negeri Rusia mengeluarkan kenyataan yang mengatakan, “Adalah memalukan bahawa Amerika tidak menerima pelawaan Vladimir Putin untuk mengadakan perbincangan terbuka melalui persidangan video dengan Presiden Amerika Joe Biden pada 19 atau 22 Mac ini untuk membincangkan masalah yang terkumpul dalam hubungan dua hala, dan juga topik yang berkaitan dengan kestabilan strategik. Dan bahawasanya Amerika mempersia-siakan peluang baru untuk membincangkan jalan penyelesaian ke atas ketidaksepakatan yang terjadi dalam hubungan Rusia-Amerika kerana kesalahan Washington” [ITAR-TASS, 22/3/2021].

Kelapan: Oleh kerana itu, Amerika mengehendaki Turki meninggalkan persetujuan yang telah diberikan supaya Turki mengikuti Rusia dalam segala keputusan yang digunakan di Syria. Dalam masa yang sama, Amerika meminta Turki untuk memberi tekanan kepada Rusia. Menteri Luar Negeri, Blinken mengatakannya setelah pertemuannya dengan Menteri Luar Negeri Turki, Mevlud Oglu pada 23/3/2021 di Brussels, “Walaupun terdapat perbezaan umum dengan Ankara, Amerika dan sekutunya NATO mempunyai keinginan kuat untuk memastikan Turki tetap kuat dalam NATO. Turki adalah sekutu jangka panjang dan berharga” [Reuters, 23/3/2021]. Setiausaha Agung NATO, Pence Stoltenberg memuji Turki atas sumbangannya kepada negara-negara NATO dan pertahanan Eropah ketika dia berkata, “Turki yang tidak memiliki keanggotaan EU dan bersempadan dengan Syria dan Iraq memainkan peranan yang sangat penting dalam pertahanan NATO di sempadan tenggara” [Anadolu, 6/3/2021]. Erdogan menyatakan kegembiraannya. Dia menulis di akaun Twitternya setelah itu, “Turki sebagai sekutu di NATO akan terus memenuhi semua komitmennya dan mematuhi kehendak perdamaian dan keamanan global”.

Turki bersedia untuk bertindak balas terhadap tekanan Amerika bagi meninggalkan sistem pertahanan peluru berpandu S400 Rusia setelah AS pada awalnya membiarkan Turki membelinya dengan tujuan memikat Rusia untuk tetap berada di Syria demi memenuhi kehendak Amerika melindungi rejim Syria. Ini kerana Amerika sudah mula tidak memerlukan peranan Rusia di Syria. Ini adalah kesinambungan politik yang diambil Amerika pada masa Trump untuk memberi tekanan ke atas Turki. Pemerintah AS yang diketuai oleh Biden pada 5/2/2021 mengumumkan bahawa “Amerika mahu Turki meninggalkan peluru berpandu S400”. Jurucakap AS bagi pihak Kementerian Pertahanan, Kirby mengatakan, “Pendirian kami tidak berubah (mengenai perjanjian itu) dan menyeru Turki untuk meninggalkannya”.

Turki menunjukkan kesepakatan dengan menawarkan untuk bertindak seperti Greece, meletakkan peluru berpandu yang tiba di tempat simpanan tanpa digunakan. Menteri Pertahanan Turki Hulusi Akar mengatakan, “Turki bersedia untuk tidak menggunakan sistem peluru berpandu S400 yang dibeli dari Rusia sebagai sebahagian dari kemungkinan perjanjian dengan Amerika untuk meredakan ketegangan dalam isu ini”. Dia berkata, “Kami terbuka untuk berunding mengenai model serupa untuk digunakan pada peluru berpandu S300 di pulau Crete, Greece” [Akhbar Turki Huriyyet, 9/2/2021]. Cyprus telah membeli peluru berpandu ini pada tahun 1999 dari Rusia dan Turki menolaknya. Terdapat perjanjian persetujuan dengan Greece untuk menyimpannya di pulau Crete dan akan menjadi milik Greece, hanya sekali menggunakannya dalam latihan 2013.

Kesembilan: Nampaknya Amerika sedang merancang untuk melakukan serangan politik, ekonomi, media dan psikologi terhadap Rusia seperti yang telah dirancangkan terhadap China. Setiausaha Negara AS, Blinken dalam keterangan di hadapan Senat mengatakan bahawa “Rusia adalah agenda utama”. Dia berkata, “Kami membincangkan beberapa cabaran. Cabaran terhadap Rusia pada masa akan datang adalah salah satu cabaran yang paling getir ” [Anadolu, 20/1/2021].

Jurucakap Rumah Putih, Jane Psaki berkata, “Rusia akan bertanggungjawab atas tindakannya setelah laporan perisik AS memperkukuhkan tuduhan lama bahawa Rusia telah cuba campur tangan dalam pilihan raya Amerika 2020”. Dia berkata, “Dalam hubungan dengan Rusia Pentadbiran Presiden Biden mengambil pendekatan yang berbeza dari pendekatan yang diambil oleh presiden republik sebelumnya, Trump”. Ujarnya lagi, “Rakyat Rusia sudah tentu akan bertanggungjawab atas tindakan mereka” [Reuters, 17/3/2021]. Ini termasuk perang psikologi terhadap Rusia untuk menekan mereka dalam beberapa isu tertentu dan dapat dieksploitasi terutamanya demi menentang China setelah Rusia dipergunakan untuk menentang warga Muslim Syria yang memerangi Amerika dan ejennya.

Oleh kerana itu, jurucakap Rumah Putih, Karen Jean-Pierre menyatakan bahawa “Presiden Amerika Joe Biden akan bertemu Presiden Putin pada masa yang tepat, Biden tidak akan mengundurkan diri, akan berterus terang ​​dan terbuka mengenai hubungan dengan Rusia” [Reuters, 19/3/2021]. Amerika menggunakan cara yang menyerang sehingga nampak bahawa Amerika berada di pusat kekuasaan. Pada masa itu terdapat hubungan diplomatik untuk perundingan. Amerika mahu pihak lain berunding dengannya dari kedudukan mereka yang lemah.

Amerika memaksakan kepada mereka apa yang dia inginkan atau memaksakan kepada mereka apa yang dapat dipaksakan untuk mewujudkan kepentingannya. Kaedah ini juga digunakan Trump tetapi dengan cara yang kasar. Trump mengancam dan mengancam, dan pada masa yang sama hubungan diplomatik sedang berlangsung untuk memaksakan kehendak dan tuntutan Amerika kepada orang lain seperti yang dilakukannya dengan Korea Utara dan China. Pada masa yang sama, Biden ingin memperkukuhkan kedudukannya di negara-negara ini, bahawa pemerintahannya kuat dan bukan lemah.

Kesepuluh: Di antara strategi politik Amerika adalah berusaha mengikuti rentak Rusia dan China untuk menghancurkan hubungan rapat antara Rusia dan China. Amerika menghampiri Rusia dan menghasutnya menentang China. Nampaknya Amerika akan meneruskan strategi politik ini, namun setelah merendah-rendahkan Rusia. Oleh itu, Amerika mengambil dasar menyerang Rusia sehingga menekan dan menundukkannya untuk berjalan bersama Amerika menentang China. Perlu diingat bahawa Rusia mempunyai cita-cita agar Amerika bersama-sama Rusia dan terlibat dalam menguruskan urusan antarabangsa. Tetapi Amerika tidak mahu itu.

Di sisi lain, Amerika ingin menjadikan Rusia tunduk pada strategi politiknya dan ingin memanfaatkan Rusia menentang China dan menggunakannya dalam isu-isu lain sebagaimana Amerika telah mempergunakannya di Syria. Amerika tidak mahu meletakkan Rusia sebagai kuasa besar yang berkongsi dengan Amerika dalam urusan global atau urusan wilayah. Oleh itu, Amerika menurunkan taraf Rusia dalam urusan di Syria ke taraf Turki yang beredar dalam orbit Amerika. Amerika sentiasa dipenuhi dengan kesombongan, dan dikuasai oleh kebongkakan dan keangkuhan. Harus diingat bahawa tahap global mereka telah menurun. Amerika berada dalam tahap kemerosotan yang terus memburuk dan terhakis dari dalam.

Kesebelas: Rusia pula berusaha mengukuhkan China dalam politiknya untuk meneguhkan kedudukannya menentang Amerika. Mungkin Rusia sedar bahawa Amerika juga mahu menggunakannya untuk menentang China dan Rusia belum terjebak ke dalam perangkap itu hingga sekarang. Kementerian Luar Negeri Rusia menyatakan dalam sebuah pernyataan “Lavrov dijadualkan pada hari Selasa 23/3/2021 untuk mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar China Wang Yi mengenai isu-isu yang berkaitan dengan koordinasi strategik antara kedua negara dan pengaturan hubungan di tingkat tertinggi. Kedua-dua negara itu komited pada hubungan rapat atau kesesuaian bentuk penyelesaian untuk kebanyakan masalah global. Kedua negara terus tekad mengkoordinasikan langkah mereka dalam dasar politik luar ” [Novosty, 22/3/2021].

Semasa lawatan Menteri Luar Negeri Rusia, Lavrov, Kementerian Luar Negeri Rusia mengumumkan bahawa “Kedua-dua negara memperbaharui perjanjian bertetangga yang baik, persahabatan dan kerjasama antara mereka selama lima tahun lagi”. Menteri Luar Negeri China mengatakan, “Selama dua puluh tahun kebelakangan ini, perjanjian dua hala ini membentuk dasar undang-undang yang kuat untuk pertumbuhan berterusan bagi hubungan Rusia-China dan menyumbang ke arah mengembangkan hubungan dua hala” [Novosty, 23/3/2021].

Tetapi itu tidak mewujudkan ikatan pakatan antara mereka berdua dan tindakan antarabangsa yang padu antara mereka untuk menghadapi Amerika. Perjanjian berusia dua puluh tahun ini tidak menghasilkan tindakan bersama yang serius terhadap Amerika. Masing-masing dari dua negara (Rusia dan China) bertindak secara bersendirian untuk mempertahankan diri dan berusaha untuk mewujudkan persefahaman dan hubungan rapat dengan Amerika.

Nampaknya Rusia tidak mahu mendekati China yang akan menjadikan Rusia bersandar pada China kerana ini akan menyebabkan Rusia kehilangan kedudukannya di peringkat antarabangsa. Rusia ingin menjadi kuasa besar kedua di samping Amerika. Dan Rusia tidak mahu berseteru dengan Amerika, sebaliknya mahu terlibat sama dengan Amerika. Rusia tidak mahu meningkatkan hubungan buruk dengan Amerika sehingga Amerika tidak menimbulkan masalah bagi Rusia di Ukraine, Crimea, Asia Tengah, dan Kaukasus.

Kedua belas: Amerika sedang mengumpulkan sekutu-sekutunya. Amerika mengumumkan konfrontasinya dengan Rusia dan China. Pada masa yang sama, Amerika ingin memperbaharui hegemoni terhadap sekutunya. Setiausaha Negara AS, Blinken mengatakan dalam lawatan ke markas NATO setelah pertemuannya dengan Setiausaha Agung NATO, Stoltenberg, “Saya datang untuk menyatakan sokongan kuat Amerika Syarikat dan bahawa Amerika Syarikat ingin kembali semula ke rakan kongsinya. Kami ingin mengaktifkan pakatan dengan rakan-rakan kami di NATO pada kedudukan yang utama”.

Dia berkata, “NATO berada pada kedudukan yang menentukan untuk menghadapi ancaman di seluruh dunia. Amerika terus mengkaji pilihannya di Afghanistan dan akan berunding dengan sekutunya mengenai perkara ini” [France 24, Reuters, 23/3/2021]. Amerika mahu membunuh dua ekor burung dengan satu batu dengan memperbaharui hegemoni ke atas sekutunya di NATO. Amerika mengumumkan konfrontasinya dengan Rusia dan China di Eropah. Amerika menekan Jerman untuk meninggalkan saluran paip North Stream-2 yang memindahkan gas Rusia ke Jerman dan Eropah melintasi Laut Baltik antara Rusia dan Jerman.

Amerika pada akhir tahun lalu, Disember 2020, mengenakan sekatan ke atas syarikat yang mengambil bahagian dalam projek pemasangan, dan dengan sombong dan bongkak mendesak mereka untuk berhenti memasang paip. Amerika ingin mengenakan sekatan ke atas dana Jerman yang membiayai projek tersebut. Kabinet Jerman bertindak balas dengan mengatakan, “Dengan berlatarbelakangkan sekatan asing sepihak terhadap syarikat Jerman dan Eropah, mustahil bagi pemerintah Jerman untuk menjauhkan diri dari kemungkinan sekatan juga tidak ditujukan terhadap dana. Berlin menolak sekatan Amerika terhadap saluran paip North Stream-2 dan menganggapnya sebagai pelanggaran kedaulatan Eropah” [Sputnik, 1/3/2021].

Jurucakap Setiausaha Negara AS, Ned Price berkata, “Setiausaha Negara, Blinken bertemu Menteri Luar Negeri Jerman, Heiko Maas di luar perbincangan dengan Menteri-menteri Luar Negeri NATO di Brussels, dan Blinken menyatakan komitmen Amerika Syarikat untuk bekerjasama dengan sekutu dan rakannya menentang usaha Rusia yang akan menghancurkan keselamatan kolektif kita. Dia menekankan dalam konteks penentangan Amerika Syarikat terhadap North Stream-2 ” [DPA, 24/3/2021]. Dasar ini digunapakai oleh Amerika semasa era Trump dan diteruskan semasa era Biden. Amerika ingin memukul Rusia secara ekonomi dan mengeratkan hubungannya dengan Eropah, dan memaksa Jerman untuk membeli gas Amerika pada harga yang lebih tinggi dengan kualiti yang lebih rendah!

Ketiga belas: Terakhir, negara-negara inilah yang menilai diri mereka sebagai kuasa-kuasa besar di dunia. Mereka mengelilingi dunia dengan sewenang-wenangnya dan melakukan perancangan buruk terhadap negara dan warganya. Maha Benar Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Kuasa yang berfirman:

﴿أَفَأَمِنَ الَّذِينَ مَكَرُوا السَّيِّئَاتِ أَنْ يَخْسِفَ اللَّهُ بِهِمُ الْأَرْضَ أَوْ يَأْتِيَهُمُ الْعَذَابُ مِنْ حَيْثُ لَا يَشْعُرُونَ * أَوْ يَأْخُذَهُمْ فِي تَقَلُّبِهِمْ فَمَا هُمْ بِمُعْجِزِينَ

Maka apakah orang-orang yang membuat makar yang jahat itu, merasa aman (dari bencana) ditenggelamkannya bumi oleh Allah bersama mereka, atau datangnya azab kepada mereka dari tempat yang tidak mereka sedari. Atau Allah mengazab mereka di waktu mereka dalam perjalanan, maka sekali-kali mereka tidak dapat menolak (azab itu)” [TMQ an-Nahl (16): 45-46]. []

17 Sya’ban 1442 H

30 Mac 2021 M

http://www.hizb-ut-tahrir.info/ar/index.php/ameer/political-questions/74628.html

http://www.hizb-ut-tahrir.info/en/index.php/qestions/political-questions/21237.html