Politik kufur perlu dijauhi

Berita:

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Penubuhan Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan yang diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja Melayu minggu lalu merupakan langkah pertama bagi mengelakkan Islam daripada terus dipolitikkan di negara ini.

Perkara itu dijelaskan oleh Timbalan Pengerusinya, Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan (Perak), Datuk Dr. Afifi Al-Akiti yang menyifatkan langkah meletakkan jawatankuasa tertinggi itu di bawah kuasa Majlis Raja-raja Melayu sebagai tepat serta mendapat sokongan parti politik di negara ini, sama ada di pihak kerajaan mahu pun pembangkang.

Berita penuh: utusan.com.my


Komentar:

Apabila sesuatu hal disandarkan kepada Islam, maka pastinya ia menjadi mulia, suci kerana Islam. Asal Islam ialah suci lagi mulia kerana ia diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW (termasuk kita), umatnya.

Tetapi jika suatu hal atau perkara yang berasal daripada kekufuran, maka pastinya ia satu perkara yang hina lagi jijik. Ia perlu dijauhi oleh kaum muslimin kerana setiap kekufuran dan produknya merupakan perkara nista.

Begitu halnya juga dengan politik. Jika digandingkn politik dengan Islam, maka hasilnya suatu yang mulia lagi menguntungkan. Politik Islam bermaksud mengatur setiap urusan umat dengan syariah baik di dalam mahupun luar negeri. Politik Islam menjadikan syariah sebagai satu-satunya idea untuk penyelesaian setiap masalah manusia. Penerapan, pemeliharaan dan pengembangan syariah inilah tugas mulia bagi politik Islam dan petugasnya yakni umat Islam.

Sebaliknya, politik kufur seperti Machiavellian akan menjadikan apa saja maneuver atau helah untuk mendapatkan matlamatnya. Tidak kiralah sama ada ia halal atau haram, bahaya atau selamat, rugi atau untung, politik Machiavellian tetap menjadikan prinsip “matlamat menghalalkan cara”. Dengan demikian, politik kufur ini sangat keji.

Maka, jika kita sedang mengamalkan praktik politik Machiavellian, memang benarlah bahawa Islam perlu dijauhkan daripada politik kerana tidak mungkin Islam dapat digandingkan dengan politik kufur.

Namun yang benar dan tepat ialah praktik politik kufur itu perlu dihentikan kerana kekejian dan kehinaannya. Dengan demikian, kita perlu menjadikan kehidupan manusia ini mulia dengan politik Islam. Itulah kemuliaan yang didambakan oleh manusia.

Ridhuan Hakim
Aktivis HTM