PRN Sabah 2025: Demokrasi terus gagal menawarkan pemimpin yang benar-benar amanah
PRN Sabah 2025 sekali lagi membuka mata kita terhadap satu realiti yang tidak boleh dinafikan – demokrasi tidak mampu melahirkan kepimpinan yang benar-benar bersih, amanah, dan stabil. Tidak ada satu parti pun yang berjaya mendapat majoriti hingga terpaksa membentuk gabungan. Di saat tidak terlihat apa-apa pun dokumen rasmi, apatah lagi yang sah dari segi undang-undang untuk gabungan tersebut membentuk kerajaan, tiba-tiba kerajaan telah terbentuk secepat kilat seawal jam 3.05 pagi.
Kita “bersangka baik” mungkin wujudnya rundingan di pagi-pagi buta pada 30 November itu tanpa diumumkan, dan tidak perlu diumumkan. Fakta yang pasti ialah kerajaan Sabah telah terbentuk tanpa pengetahuan rakyat, khususnya para pengundi yang dengan ikhlas telah mengundi “wakil mereka” untuk mewakili kehendak dan aspirasi mereka.
Jadi persoalannya, adakah kerajaan yang baru terbentuk itu telah terbentuk atas kehendak dan aspirasi rakyat, atau dengan kata lain telah terbentuk atas mandat rakyat, sebagaimana kehendak demokrasi? Atau ia hanya terbentuk atas kehendak dan hawa nafsu “wakil rakyat” yang telah menang?
Pengalaman pilihan raya di Malaysia membuktikan bahawa PRN Sabah 2025 ini bukanlah kali pertama, dan bukanlah satu-satunya kerajaan yang terbentuk tanpa kejelasan mandat rakyat. Sudah banyak kali kerajaan bertukar, baik di peringkat pusat mahu pun negeri, hasil daripada proses tawar-menawar politik yang berlangsung di belakang tabir. Rakyat tidak pernah ditanyakan atau diminta pendapat, malah langsung tidak dipedulikan pun, yang sekali gus membuktikan pembohongan demokrasi kononnya kerajaan yang naik merupakan manifestasi daripada kehendak rakyat.
Sungguh ironi apabila beberapa tokoh yang sebelum ini pernah terpalit dengan isu integriti, rasuah dan pelbagai kontroversi, masih lagi dibenarkan bertanding dan ada yang menang. Namun, begitulah hakikat demokrasi – tidak ada keperluan untuk seseorang calon itu bertakwa, amanah atau berakhlak untuk bertanding dalam sesuatu pilihan raya. Apa yang penting ialah mereka mempunyai pengaruh dan wang yang banyak, biar pun telah jelas yang mereka merupakan orang yang khianat, fasiq, fajir, tidak bermoral dan sebagainya.
Dalam pilihan raya pada hari ini, rakyat sering terpaksa memilih antara pilihan yang buruk atau lebih buruk. Biar pun tahu bahawa mana-mana calon tidak akan memberi harapan besar kepada perubahan, namun ramai dalam kalangan rakyat yang memaksakan diri untuk terjun membuat pilihan. Bagi mereka yang sudah teramat kecewa, atau mempunyai ketakwaan yang teguh, tindakan berkecuali menjadi pilihan, daripada memikul dosa membuat pilihan yang salah.
Pelantikan semula Ketua Menteri yang sama seperti penggal sebelumnya menimbulkan persoalan penting untuk rakyat Sabah – adakah masalah yang telah wujud dan gagal di atasi di sepanjang tempoh pemerintahan yang lalu, akan terus kekal dan mungkin akan bertambah di penggal yang baru ini? Sesungguhnya Sabah adalah antara negeri yang paling banyak masalah di Malaysia, dan meletakkan orang yang sama sebagai Ketua Menteri, apatah lagi orang yang telah terpalit dengan pelbagai macam skandal, sudah tentu hasilnya dapat dijangka dengan mudah.
Itu dari satu sudut. Dari sudut lain, jika wajah pemegang takhta berubah sekali pun sebagaimana yang sering juga berlaku dalam mana-mana PRN mahupun PRU, hakikatnya sistem demokrasi yang terbukti menyuburkan pelbagai bentuk rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa ini tetap tidak berubah, maka pola yang sama akan terus berulang. Kita perlu ingat bahawa kitaran kerosakan bukan disebabkan oleh orangnya semata-mata, tetapi juga sistemnya.
Realiti Politik Sabah
Realiti politik Sabah tidak banyak berubah sejak dulu. Dalam aspek pemerintahan, rundingan antara parti-parti politik menjadi penentu pembentukan kerajaan, bukannya dasar atau prinsip, jauh sekali kepentingan rakyat. Ada parti yang menang banyak kerusi, tetapi tetap memerlukan sokongan pihak lain untuk membentuk kerajaan. Ada pula calon bebas dan parti kecil yang tiba-tiba menjadi penentu masa depan negeri. Semua ini menggambarkan politik yang sangat bergantung kepada percaturan kuasa dan hawa nafsu pemenang, bukan kepentingan rakyat.
Lebih buruk, ada parti yang, sejurus sebelum pilihan raya, riuh berkokok tidak akan bekerjasama dengan parti lain semasa pilihan raya, malah sanggup keluar dari gabungan sedia ada demi membuktikan kata-kata, namun sebaik sahaja keputusan pilihan raya diumumkan, terus sahaja bekerjasama dengan parti yang baru sahaja ditolaknya. Begitulah politikus dan parti politik dalam demokrasi pada hari ini yang sudah tidak ada maruah dan tidak tahu malu. Rakyat terus diperbodohkan oleh mereka.
Hakikatnya sejak sekian lama, calon dan parti mana pun yang menang, rakyat Sabah masih berdepan masalah yang sama – kemiskinan tegar, peluang pekerjaan terhad, kos sara hidup meningkat, infrastruktur yang ketinggalan, jalan raya berlubang dan rosak di sana sini, hasil negeri yang dikaut oleh pemenang pilihan raya dan banyak lagi. Rakyat terus menjadi pemerhati dan menderita dalam sebuah drama politik kotor yang berulang-ulang.
Dalam sistem demokrasi di Malaysia pada hari ini, PRN merupakan sebuah episod politik biasa yang sudah berulang-ulang berlangsung sejak merdeka. Dalam masa yang sama, ia telah mempamerkan banyak kelemahan dan kerosakan sebagai cerminan sistem demokrasi itu sendiri, yang juga sudah berulang-ulang berlangsung dan disaksikan oleh rakyat sejak merdeka.
Justeru, rakyat seharusnya faham bahawa selagi demokrasi menjadi kerangka politik, selagi itulah rakyat akan terus melihat amalan rasuah yang semakin subur, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, ketidakstabilan, pertembungan kepentingan, calon tidak berintegriti yang kembali menang, dan rakyat terus menunggu perubahan yang tidak kunjung tiba.
Kesimpulan
Walaupun terdapat sedikit angin perubahan yang mengejutkan di Sabah selepas keputusan PRN baru-baru ini, namun sudah tiba masanya untuk rakyat Sabah sedar dan berubah secara total, bukan secara partial. Perubahan hakiki tidak akan datang melalui pertukaran wajah calon atau parti, tetapi melalui pertukaran sistem – daripada sistem kufur demokrasi kepada sistem Islam (Khilafah) yang akan menjadikan kepimpinan sebagai amanah, bukan komoditi; sistem di mana pelantikan pemimpin dinilai berdasarkan syarak, bukan populariti atau wang. Sistem yang memastikan kepentingan rakyat terpelihara, bukan dijadikan alat tawar-menawar; sistem yang akan menerapkan Al-Quran dan As-Sunnah secara kaffah insya Allah.
Wallahu a’lam.