Program transformasi negara, adakah berpijak di bumi nyata?

transformasi-najibPerdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilapor oleh Bernama sebagai gembira dengan Program Transformasi Negara (NTP) yang kini mencecah lima tahun pelaksanaannya yang telah menunjukkan pencapaian meskipun negara berhadapan dengan kemelut ekonomi global.

Najib dipetik berkata, Program Transformasi Kerajaan (GTP) daripada aspek Keberhasilan Utama Negara telah mencapai 99 peratus petunjuk prestasi utama (KPI) manakala Program Transformasi Ekonomi (ETP) menerusi Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) mencapai 111 peratus KPI.

Dalam perkembangan berkaitan, menerusi Inisiatif Pembaharuan Strategik pula, 108 peratus KPI telah dicapai berdasarkan Laporan Tahunan Transformasi Negara di Kuala Lumpur pada 26 April lalu.

Beginilah propaganda kejayaan kerajaan yang ternyata indah khabar dari rupa. Di sebalik semua “kejayaan” tersebut, realitinya rakyat semakin terhimpit dengan pelbagai masalah dan penderitaan.

Salah satu keberhasilan NKRA yang dilaporkan ialah sebanyak 1.8 juta pekerjaan baharu diwujudkan dari 2010 hingga 2015. Namun realitinya kita menyaksikan rakyat yang menganggur ada di sekeliling kita sama ada itu adalah saudara-mara kita sendiri, sahabat taulan, jiran-jiran dan semua itu belum termasuk berita-berita pengangguran yang kita dengar dan baca dari semasa ke semasa, termasuklah dalam kalangan siswazah.

Menurut MIDF Research, trend kadar pengangguran Malaysia menunjukkan peningkatan meskipun ia berlegar di sekitar 3 ke 3.2 peratus. Pada akhir 2014, trend itu semakin meningkat dengan bulan Disember berada pada 3.3 peratus. Pada Disember 2014, jumlah penduduk yang menganggur ialah seramai 478,100 orang [http://www.astroawani.com/berita-bisnes/trend-pengangguran-negara-meningkat-midf-research-94950].

Berapa banyak sekalipun program dan istilah baru yang direkacipta, realitinya ia sedikit pun tidak mencerminkan kesejahteraan hidup rakyat. Orang kampung mungkin tidak mengerti apa itu NKRA, ETP, KPI, NTP dan macam-macam bentuk program transformasi yang kerajaan laksanakan, tetapi apa yang mereka pasti mengerti ialah kehidupan mereka yang rata-ratanya tidak berubah dan terus kais pagi makan pagi kais petang makan petang, di sebalik semua program transformasi yang gah-gah.

Itu belum mengambil kira keseluruhan golongan berpendapatan rendah dan sederhana, apatah lagi yang makan gaji dan tinggal di Lembah Kelang atau lain-lain bandar utama, betapa besar sekalipun pengumuman kerajaan akan kejayaan program transformasi negara, realitinya mereka terus terhimpit dengan kesempitan hidup akibat GST dan lain-lain cukai, peningkatan harga barangan dan perkhidmatan, kenaikan petrol dan tol dan bermacam lagi.

Itulah realitinya di lapangan, berbanding di atas kertas yang serba indah!

Satu fenomena yang biasa kita lihat juga adalah di muka hadapan akhbar yang sering dihidangkan dengan kehebatan pencapaian ekonomi negara, namun pada muka surat lain akhbar yang sama, kita dihidangkan dengan kisah-kisah penderitaan dan keperitan hidup rakyat. Sama seperti berita-berita yang kita saksikan di kaca TV, di awalnya dipenuhi dengan kisah peningkatan ekonomi negara yang begitu hebat, manakala di tengah-tengah siaran, kita didedahkan dengan realiti hiba penderitaan sebahagian rakyat yang terpinggir sehingga terpaksa menagih simpati dan bantuan daripada orang ramai!

Sampai bila agaknya kerajaan akan menipu rakyat dengan angka-angka statistik yang indah-indah? Inilah sebuah pengurusan ekonomi yang hakikatnya bersifat “syok sendiri” serta terpisah daripada realiti di lapangan. Dengan kata lain, program transformasi negara ini sebenarnya lebih sudu dari kuah sejak dari awal pelaksanaannya lagi!